Koperasi PDRM agih dividen RM26.7 juta

Koperasi PDRM agih dividen RM26.7 juta

Razarudin menyampaikan pampasan takaful kepada waris Allahyarham Mohamad Sabri sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-88, di Kuala Lumpur pada Rabu.

Razarudin menyampaikan pampasan takaful kepada waris Allahyarham Mohamad Sabri sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-88, di Kuala Lumpur pada Rabu.

KOPERASI Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) mengumumkan agihan dividen tahunan sebanyak lima peratus atas modal yuran dan enam peratus atas modal syer kepada 109,185 anggota koperasi dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM26.7 juta.

Pengumuman agihan itu dibuat Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid merangkap Timbalan Yang Dipertua Koperasi PDRM Berhad, sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-88 di sini pada Rabu.

KPDRM dalam satu kenyataannya berkata, bayaran dividen tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun anggota yang membuat simpanan bermula 23 Jun ini.

“KPDRM turut mencatat perkembangan positif dengan mencatat peningkatan prestasi apabila menduduki tangga ketiga dalam indeks 100 koperasi terbaik Malaysia,” katanya pada Rabu.

Sementara itu, pada majlis sama, penyampaian pampasan takaful turut diberikan kepada dua orang waris anggota iaitu Penolong Pengarah Pengurusan (Kebajikan) Bukit Aman, Allahyarham Rusli Abas yang meninggal dunia akibat kemalangan motosikal.

Untuk tujuan tersebut, waris Allahyarham menerima pampasan berjumlah RM177,500, manakala seorang lagi waris iaitu anak kepada Allahyarham Mohamad Sabri Ayob menerima sejumlah RM 92,500.

Jelas kenyataan itu, KPDRM turut menawarkan caruman serendah RM11 satu unit atau sebulan untuk takaful kelompok kepada ahli bagi memberi perlindungan kepada anggota dan waris sekiranya berlaku perkara atau kejadian yang tidak diingini.

Tambahnya, anggota boleh menambah unit insurans sehingga maksimum enam unit, selain terbuka kepada pasangan serta anak-anak anggota.

Selain itu, penganugerahan khas diberikan kepada anggota yang mempunyai modal yuran paling tinggi, anggota paling setia sama ada masih berkhidmat atau bersara.

Menurutnya, anugerah turut diberikan kepada Ahli Jawatankuasa Kecil Daerah (AJKKD) yang paling komited, Koperasi Daerah paling aktif dan pemenang utama pertandingan rekacipta logo dan nama sistem KPDRM.

“Semua pemenang menerima wang tunai, sijil penghargaan dan trofi,” ujar kenyataan itu.

Sumber