Kekaboo perkenal Tudung Bawal Rahmah

Kekaboo perkenal Tudung Bawal Rahmah

BAGI menyahut seruan kerajaan untuk membantu golongan memerlukan menerusi inisiatif Rahmah, syarikat pengeluar tudung bawal jenama Kekaboo, Kekaboo Sdn Bhd (Kekaboo) tampil memperkenalkan Tudung Bawal Rahmah.

Ia sekali gus turut menjadi satu ‘sumbangan’ Kekaboo menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini kepada peminat dan pemakai tudung bawal di negara ini.

Tudung Bawal Rahmah didatangkan dengan dua koleksi iaitu Tudung Rahmah Laddora yang menggunakan fabrik kapas dan Tudung Rahmah Lea Miranda berfabrik sifon yang dijual pada harga rendah iaitu hanya RM15 sehelai.

Pengasas Bersama merangkap Pengarah Pemasaran Kekaboo, Nur Hazwani Zainal berkata, dua koleksi Tudung Bawal Rahmah berkenaan mendapat sambutan luar biasa apabila terjual hampir 200,000 helai dalam tempoh tiga jam ketika dilancarkan pada 1 Mac lalu.

Katanya, daripada sambutan hangat yang diterima itu ia menunjukkan bahawa orang ramai sememangnya mahukan sesuatu benda atau barang keperluan yang mampu milik.

“Tambahan lagi sekarang pastinya ramai yang agak berkira-kira untuk berbelanja kerana musim persekolahan baharu akan bermula diikuti bulan puasa dan sambutan Aidilfitri.

Tudung Rahmah Lea Miranda tampil dengan 23 rekaan.

Tudung Rahmah Lea Miranda tampil dengan 23 rekaan.

“Jadi masa ini memang waktu terbaik untuk kita perkenalkan Tudung Bawal Rahmah terutama kepada peminat tudung bawal di luar sana,” katanya.

Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 31 Januari lalu melancarkan inisiatif Menu Rahmah bagi membantu golongan miskin tegar dan golongan kurang berkemampuan yang memerlukan makanan siap dimasak di mana set makanan itu ditetapkan pada harga RM5 dan ke bawah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 9 Februari lalu dilaporkan berkata, konsep Menu Rahmah tersebut turut menarik minat sektor lain termasuk perubatan untuk menyediakan harga murah kepada golongan memerlukan terutama B40.

Mengulas lanjut, Nur Hazwani menjelaskan, koleksi tudung keluaran syarikat itu yang menggunakan fabrik seperti Tudung Bawal Rahmah sebelum ini dijual pada harga RM25.

“Harga sebenar bagi koleksi Laddora dan Lea Miranda ini RM25 sehelai tetapi istimewa untuk sambutan hari raya ini menerusi kempen Rahmah kita kurangkan harganya ke RM15 tetapi materialnya masih sama iaitu kekal premium.

“Jahitannya juga tetap kemas dan coraknya cantik iaitu flora, abstrak dan warna lebih menyerlah (bold) dengan saiz bidang 45,” tambahnya.

Sementara itu, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksklusif (CEO) Kekaboo, Tajuddin Nor memberitahu, koleksi Tudung Bawal Rahmah Laddora menampilkan 50 rekaan pelbagai corak dan warna.

Menurutnya, Tudung Bawal Rahmah Lea Miranda pula menawarkan 23 rekaan dengan kedua-dua koleksi berkenaan dihasilkan di kilang luar negara.

“Sekarang kita masih promosikan rekaan yang masih ada selain setiap minggu kita lancarkan rekaan baharu hingga 1 Ramadan nanti. Kemudian kita akan habiskan stok koleksi ini hingga dua minggu ke seminggu sebelum Hari Raya,” jelasnya.

Proses cetakan tudung bawal Kekaboo di kilang mereka di Batu Caves, Selangor.

Proses cetakan tudung bawal Kekaboo di kilang mereka di Batu Caves, Selangor.

Katanya, untuk memberi banyak pilihan bagi koleksi Aidilfitri, Kekaboo juga menawarkan tiga koleksi lain iaitu Lady Boss Menjelang Raya, Mekar Raya dan Tulus Bidang 50.

Tajuddin memaklumkan, koleksi Tulus Bidang 50 menawarkan tudung yang lebih labuh dengan 13 rekaan yang mempunyai peminat tersendiri.

Kata beliau, menerusi kesemua koleksi Aidilfitri berkenaan, Kekaboo menyasarkan jualan sebanyak RM5 juta untuk musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

“Tahun lepas jualan yang direkodkan sebanyak RM2.5 juta tetapi waktu itu tidak ada kempen besar seperti Tudung Bawal Rahmah ini yang kita buat dan kita hanya keluarkan kolelsi tudung untuk mak, anak dan Bidang 50 sahaja,” ujarnya.

Sumber