IP Malaysia catat 111.3 mata pada Ogos

IP Malaysia catat 111.3 mata pada Ogos

Pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus bergerak dalam aliran menaik. - Foto 123RF

Pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus bergerak dalam aliran menaik. – Foto 123RF

INDEKS Pelopor (IP) Malaysia merekodkan peningkatan sebanyak 4.0 peratus kepada 111.3 mata pada Ogos 2022 berbanding 107.0 mata yang dicatatkan pada Ogos 2021, sekali gus menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi akan terus bergerak dalam aliran menaik.

IP adalah alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan pada Ogos 2022 ini disokong terutama oleh kenaikan kukuh dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan, import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain serta bilangan syarikat baru didaftar.

“Berbanding bulan sebelumnya, IP kembali kepada pertumbuhan positif 1.6 peratus pada Ogos 2022 daripada negatif 2.0 peratus didorong terutama oleh bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (1.1 peratus) dan import benar semikonduktor (1.0 peratus),” tambahnya dalam kenyataan pada Selasa.

DOSM menjelaskan, dalam melangkah ke hadapan, terdapat tanda-tanda bahawa Malaysia akan terus mengekalkan momentum pertumbuhannya seperti yang dijejaki oleh indeks arah aliran jangka panjang terlicin memandangkan ia kekal melepasi 100.0 mata.

“Walau bagaimanapun, prestasi pertumbuhan ekonomi bergantung kepada inisiatif yang diambil untuk menangani kos sara hidup dan usaha dalam mengurangkan kesan pertumbuhan ekonomi dan aktiviti perdagangan global yang perlahan,” tambahnya. – Bernama

Sumber