Inflasi harga pengguna Malaysia dijangka menyederhana

Inflasi harga pengguna Malaysia dijangka menyederhana

INFLASI harga pengguna utama Malaysia dijangka menyederhana antara 2.5 dan 3.0 peratus pada 2023 berbanding 3.3 peratus yang dianggarkan semasa 2022, selepas didorong oleh pelonggaran dalam kekangan bekalan global dan penstabilan harga komoditi.

Bank Dunia berkata, unjuran itu berdasarkan andaian bahawa siling harga bahan api runcit termasuk langkah kawalan harga ke atas barangan makanan terpilih kekal dilaksanakan sepanjang tahun, mengehadkan tekanan kos daripada harga minyak dan makanan global semasa.

“Sementara itu, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras (tidak termasuk harga makanan dan bahan api), dijangka kekal sekitar 3.0 peratus,” katanya dalam laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia terbaharu yang bertajuk ‘Memperluas Sempadan Digital Malaysia’ yang dikeluarkan hari ini.

Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia akan terus menghadapi risiko besar yang akibat pengaruh daripada persekitaran luaran.

“Kejutan kepada pertumbuhan global termasuk inflasi yang lebih tinggi daripada apa yang diramalkan, keadaan kewangan yang lebih ketat, kegawatan dalam ekonomi utama, perang Rusia-Ukraine yang berpanjangan dan sekatan pergerakan yang berterusan di China, boleh menyebabkan kelembapan yang lebih ketara daripada jangkaan dalam pertumbuhan global,” katanya.

Laporan itu juga menganggarkan penurunan satu mata peratusan dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ekonomi G7 dan China, boleh merencatkan pertumbuhan Malaysia antara 1.0 dan 0.7 mata peratusan.

Katanya, tekanan harga yang berterusan di Malaysia mungkin memerlukan pelarasan dasar monetari selanjutnya bagi mengurangkan permintaan domestik dalam tempoh terdekat, manakala penurunan pendapatan isi rumah boleh guna sebenar daripada harga yang lebih tinggi juga mampu melontarkan impak kepada kekuatan perbelanjaan pengguna.

“Selain itu, tahap hutang korporat bukan kewangan termasuk peningkatan hutang isi rumah di tengah-tengah keadaan kewangan yang ketat boleh memberi kesan yang lebih besar kepada pelaburan dan penggunaan swasta,” katanya.

Inflasi harga pengguna di Malaysia menyederhana kepada 3.8 peratus pada Disember 2022 berbanding 4.0 peratus yang direkodkan semasa November, manakala inflasi teras dianggarkan pada 4.1 peratus daripada 4.2 peratus sebulan sebelumnya.

“Kesederhanaan inflasi harga pengguna dalam harga makanan dan minuman menyumbang kepada kenaikan inflasi negara yang lebih rendah. Bagaimanapun, berbanding dengan negara-negara rakan serantau serta di seluruh dunia, inflasi kekal stabil secara meluas di Malaysia, kebanyakannya disebabkan oleh subsidi bahan api menyeluruh dan kawalan harga.

“Anggaran menunjukkan bahawa penghapusan sepenuhnya subsidi harga bahan api mungkin akan menyebabkan kenaikan harga pengguna sebanyak 9.0 peratus dan kesan di seluruh sektor dijangka tidak sekata,” katanya. – Bernama

Sumber