Gerbang masuk pelaburan Malaysia-Turkiye – Sinar Harian

Gerbang masuk pelaburan Malaysia-Turkiye – Sinar Harian

LEMBAGA Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membuka pejabatnya di Istanbul bagi menyediakan peluang ekonomi baharu dan memacu pertumbuhan mantap dalam perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Türkiye.

Pejabat MIDA di Istanbul akan berfungsi sebagai pintu masuk untuk pelabur Türkiye yang bercita-cita mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia dan sebaliknya, kata MIDA dalam satu kenyataan hari ini.

“Para pelabur akan dapat mengakses maklumat terkini mengenai dasar dan peluang pelaburan, perkongsian usaha sama atau kerjasama teknologi,” kata kenyataan itu.

MIDA berkata, banyak peluang perniagaan menanti pelabur Türkiye, terutamanya dalam industri mesin dan peralatan, aeroangkasa, teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi digital, pembuatan makanan termasuklah segmen halal.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan pembukaan pejabat MIDA di Istanbul adalah paling tepat pada masanya untuk mengeksploitasi sepenuhnya potensi pelaburan Türkiye yang dipertingkatkan dalam pembuatan dan perkhidmatan termasuk pembuatan termaju, mesin dan peralatan, aeroangkasa dan pelaburan digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, selain membantu MIDA menarik peluang pelaburan baharu ke negara ini, Malaysia juga sedang mencari kerjasama baharu untuk berkembang secara bersama.

Pejabat baharu itu akan membantu meluaskan program jangkauan mereka dengan rakan dagangan Türkiye termasuk negara-negara seperti Rusia, Greece, Cyprus, Azerbaijan, Georgia dan tujuh negara “Stan” di Asia Tengah.

“Pelabur Türkiye yang berminat untuk mencari perkongsian usaha sama atau kerjasama teknologi dengan perniagaan Malaysia boleh mendapatkan maklumat di pejabat ini.” katanya.

MIDA berkata, bagi separuh pertama 2022 Malaysia menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM123.3 bilion (AS$28.0 bilion) dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan melibatkan 1,714 projek. Projek tersebut mampu menjana kira-kira 57,771 peluang pekerjaan di negara ini.

Pelaburan langsung asing kekal sebagai penyumbang utama, yang mewakili 70.9 peratus atau RM87.4 bilion (AS$19.9 bilion), manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 29.1 peratus yang berjumlah RM35.9 bilion (AS$8.2 bilion).

“Dengan pejabat baharu MIDA di Istanbul, Türkiye sudah pasti akan menyumbang secara besar-besaran kepada pembangunan sosio-ekonomi dan membawa pertumbuhan baharu ke dalam landskap pelaburan Malaysia,” tambahnya. – Bernama

Sumber