‘Fly Borneo Specials’ tawar diskaun sehingga 40 peratus

‘Fly Borneo Specials’ tawar diskaun sehingga 40 peratus

TOURISM Malaysia (TM) dengan kerjasama Malaysia Aviation Group (MAG), menawarkan pakej ‘Fly Borneo Specials Vol.1 – The Adventure Begins Here!’ untuk mempromosikan pakej percutian perjalanan dalam dan antara negeri di Sabah, Sarawak dan Labuan menerusi rakan kongsi syarikat penerbangan Firefly serta MASwings.

Lebih 44 pakej percutian bertema disusun untuk memenuhi permintaan pelancong dalam dan luar negara dengan potongan harga tambang kapal sehingga 40 peratus.

Pakej mampu milik itu dirangka khusus untuk pelancong merasai pengalaman menarik seperti meneroka tempat-tempat pengembaraan, menghayati budaya berwarna-warni di samping melihat sendiri flora dan fauna eksotik.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, kerjasama dengan MAG menandakan kejayaan dalam meningkatkan trafik domestik, khususnya di Malaysia Timur melalui rangkaian syarikat penerbangan itu.

“Saya berharap pakej ini akan dapat membantu merangsang pelancongan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Firefly dan MASwings bergabung menawarkan tambang penerbangan dengan diskaun sebanyak 40 peratus bagi menyokong pakej percutian tempatan,” katanya ketika berucap melancarkan pakej Fly Borneo Specials Vol.1 – The Adventure Begins Here! di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Puan Noredah Othman; Ketua Bahagian Tengah (Central Region) Malaysia Aviation Group; Nurhayati Aziz Rashid; Area Sales Manager Malaysia Aviation Group, Chali Awang; Timbalan Pengarah Kanan, Mohd Faharuddin Hatmin dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Puan Trecey Tojuka.

Ammar berkata, pelancong domestik ke Sabah mencatatkan jumlah ketibaan 853,100 dari Januari hingga Jun 2023, berbanding 664,533 dalam tempoh sama pada 2022, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 22 peratus.

“Statistik terkini ini menunjukkan pertumbuhan pelancongan yang positif untuk Sabah,” jelasnya.

Menawarkan landskap semula jadi yang menakjubkan dan kaya dengan sejarah serta budaya, pelancong boleh mendapatkan pakej serendah RM210 seorang.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui website Tourism Malaysia, www.malaysia.travel, MASwings, Fireflyz dan platform sosial media.

Sumber