Didik anak degil dengan agama

Soalan pembaca:

NAMA saya Mariam Zakaria berusia 43 tahun dan ada empat orang anak. Kesemua anak saya jenis mendengar cakap melainkan anak ketiga yang berusia 10 tahun yang agak degil. Dia bukan sahaja tidak mahu ke sekolah bahkan juga enggan membaca buku, mengaji termasuk menunaikan solat. Apabila saya marah, dia protes. Jadi, bagaimana tatacara untuk saya mendidik anak saya ini?

Jawapan:

BAGI menyelesaikan permasalahan tersebut, caranya adalah melalui penerapan pendidikan yang terbaik. Pertama sekali adalah melalui tunjuk ajar. Dalam konteks ini, ibu bapa harus mempraktik dan menunjukkan unsur-unsur kebaikan kepada anak-anak. Ini namanya kepimpinan melalui teladan sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW “Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku bersolat.” (HR Bukhari)

Kedua, melazimi solat berjemaah bersama anak-anak. Mengikut psikologi, satu kebaikan dilakukan selama 15 hari, ia akan kekal sebagai amalan rutin seharian. Ia disebut sebagai ‘pelaziman’ minda.

Bakhtiar Fitri

Bakhtiar Fitri

Dalam Islam, suatu ibadah akan menjadi istiqamah jika dilaksanakan selama 40 hari dan ini bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang solat kerana Allah selama 40 hari secara berjemaah dengan mendapatkan takbir pertama (takbiratul ihramnya imam), maka ditulis untuknya dua kebebasan iaitu kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat kemunafikan.” (HR Tirmidzi).

Dua proses didikan ini sangat memberi kesan positif sebelum mengenakan hukuman kepada anak-anak yang degil ini. Jika didikan telah dibuat dan masih gagal, maka hukuman adalah tindakan yang boleh dikenakan.

Bagi yang meninggalkan solat, Nabi Muhammad SAW memberi hukuman secara khusus dengan merotan anak. Sabda Nabi Muhammad SAW: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.” (HR Imam Ahmad dan Ibnu Majah).

Saya sarankan agar ibu bapa mengambil pendekatan yang lebih menyentuh emosi dan psikologi anak-anak. Antara yang disebut oleh Dr Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam kitabnya ialah apabila anak-anak enggan mengikut perintah Allah dan ibu bapa, jangan dilayan segala kehendaknya dan biarkan dia bersendirian tanpa apa-apa layanan.

Anak yang degil biasanya enggan bertolak ansur

Anak yang degil biasanya enggan bertolak ansur

Jika mereka meminta sesuatu, beritahu kepadanya bahawa anda akan lunaskan permintaannya jika mereka laksanakan apa yang disuruh. Sebagai contoh, anda berkata kepada anak, ‘kalau abang solat, ayah akan beri abang main bola di padang. Jika tidak solat, abang tak boleh main bola di padang’.

Seperkara yang lebih penting, ibu bapa juga perlu memperbanyakkan komunikasi dengan anak-anak. Ceritakan harapan selepas anda meninggal dunia agar anak kita tergolong dalam kalangan anak-anak yang soleh, terus melaksanakan solat dan membaca al-Quran. Perbualan sebegini biasanya menyentuh hati mereka agar insaf daripada kejahatan serta kembali mentaati ibu bapa.

Pendakwah dan perunding motivasi,

Bakhtiar Fitri Abdul Hamid



Sumber

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *