Cyberjaya mampu jadi lokasi pilihan pelaburan teknologi – PM

Cyberjaya mampu jadi lokasi pilihan pelaburan teknologi – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Cyberjaya yang pembangunannya dipacu menerusi Pelan Induk Cyberjaya, mampu menjadi lokasi pilihan pelaburan teknologi melalui penyertaan syarikat-syarikat teknologi tempatan dan juga antarabangsa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Pelan Induk Cyberjaya yang dilancarkan pada 2019, sebagai strategi untuk Cyberjaya membangun selari dengan perkembangan teknologi dan inovasi, memberi tumpuan kepada tiga tunggak utama iaitu mobiliti pintar, penjagaan kesihatan pintar dan digital kreatif.

Dalam ucapannya pada majlis penutup InnoEx 2023 di sini pada Sabtu yang dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, Anwar menyenaraikan syarikat-syarikat terkemuka yang telah memilih Cyberjaya sebagai lokasi untuk bertapak.

Antaranya syarikat multinasional tempatan seperti Aerodyne Technologies iaitu syarikat penyelesaian dron nombor satu dunia yang memberikan penyelesaian automasi di bidang pertanian dan penyeliaan.

Selain itu, katanya, syarikat dari Amerika Syarikat, Hematogenix, telah memilih Cyberjaya untuk menubuhkan Pusat Makmal Onkologi mereka bagi seluruh Asia Pasifik.

Terbaharu, katanya, Cyberjaya telah dipilih sebagai ibu pejabat serantau untuk Tesla dan menurut perunding hartanah global Knight Frank, Cyberjaya adalah destinasi terkemuka di Asia Tenggara untuk pelaburan pusat data global.

Cyberjaya juga menjadi tumpuan penggiat seni animasi dan digital kreatif tempatan seperti Monsta Studios, Wau Animation dan Durioo+, katanya.

Anwar berkata, difahamkan Cyberjaya kini mempunyai lebih 146,000 penduduk dengan kira-kira 40,000 daripadanya bekerja di lebih 400 syarikat berstatus Malaysia Digital.

Beliau berkata, Cyberjaya telah membimbing lebih 400 syarikat pemula seperti Campfyre, Laundrydone, Beebotic, ERTH dan Kumpool.

“Beberapa syarikat pemula kini meneroka pasaran global dan diiktiraf melalui pelbagai anugerah dan pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa,” kata beliau dan menamakan Monsta Studios, Wau Animation, BillPlz, Supagene, dan IX Telecom sebagai antara syarikat itu.

“Saya amat berbangga dengan kejayaan anak-anak tempatan kita yang telah sekian lama bertapak dan mengusahakan pembangunan aplikasi, harta intelek digital, solusi teknologi dan pelbagai produk dan perkhidmatan berteraskan inovasi,” katanya.

Anwar berkata, Cyberview, yang menerajui pembangunan Cyberjaya dan merupakan pemaju hub teknologi, telah memainkan peranan dalam menyokong pertumbuhan syarikat-syarikat pemula melalui pemberian galakan khususnya di bawah program Cyberview Living Lab Accelerator Programme (CLLA).

“CCLA telah lama dan terawal dalam menawarkan khidmat, bimbingan dan akses dan setakat ini berjaya menyuntik RM6 juta bagi membimbing lebih 90 syarikat pemula sejak ditubuhkan,” kata beliau. Difahamkan 70 peratus daripada jumlah syarikat itu masih aktif.

Secara kolektif, katanya syarikat bimbingan CLLA telah menarik lebih RM256 juta nilai pelaburan yang secara langsung juga telah memberi impak kepada ekonomi dengan mewujudkan lebih 1,400 pekerjaan. – Bernama

Sumber