Bursa Malaysia kekal tinggi sesi dagangan tengah hari

Bursa Malaysia kekal tinggi sesi dagangan tengah hari

BURSA Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan lebih positif, menjejaki pergerakan rancak semalaman di Wall Street, kata seorang peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.70 mata kepada 1,448.68 daripada 1,436.98 penutup Rabu.

Indeks penanda aras dibuka 4.18 mata lebih tinggi pagi ini kepada 1,441.60.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 426 berbalas 303, manakala 382 kaunter tidak berubah, 1,177 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.23 bilion unit bernilai RM580.80 juta.

Hong Leong Investment Bank Research menerusi nota penyelidikannya berpendapat kenaikan berturut-turut di Wall Streets akan memanfaatkan Bursa Malaysia hari ini, melonjakkan FBM KLCI untuk menguji semula paras 1,440-1,460.

“Bagaimanapun, sentimen asas dijangka kekal lemah dengan ketiadaan pemangkin baharu seperti yang dilihat pada purata nilai harian yang didagangkan. Justeru, pelabur akan memantau keputusan suku kedua 2022 Amerika Syarikat (AS) dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan berlangsung pada 26-27 Julai,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kedua-dua Maybank dan Public Bank meningkat satu sen kepada RM8.70 dan RM4.44, Petronas Chemicals menokok lapan sen kepada RM8.63, IHH Healthcare menambah lima sen menjadi RM6.48 dan CIMB Group mengukuh sembilan sen kepada RM5.18.


Bagi saham aktif, Focus Dynamics Group dan Infoline Tec Group masing-masing naik satu sen kepada tiga sen dan 29 sen, Hibiscus Petroleum meningkat 2.5 sen kepada 85 sen, Bintai Kinden Corporation susut setengah sen kepada 11.5 sen dan MMAG Holdings tidak berubah pada lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 82.60 mata kepada 10,282.57, Indeks FBM Emas Syariah menambah 78.64 mata kepada 10,378.05 dan Indeks FBM 70 meningkat 116.58 mata menjadi 12,347.61.

Sementara itu, Indeks FBMT 100 turut menokok 84.27 mata kepada 10,043.41 dan FBM ACE mengukuh 23.44 mata kepada 4,711.86.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 73.11 mata kepada 6,862.37, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 135.60 mata kepada 16,202.46, Indeks Tenaga meningkat 3.88 mata menjadi 635.67 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.78 mata kepada 175.65. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber