Black Hanifah dan Adira Suhaimi kembali menyatukan bakat dalam sebuah lagu balada duet berjudul Memilih Kamu. Lagu ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito ini hadir dengan sentuhan emosi yang mendalam, hasil karya dua komposer muda yang sering mencuri perhatian di pentas Anugerah Juara Lagu. Menurut Black, lagu ini membawa kisah persahabatan seorang lelaki dan wanita, namun dalam diam lelaki itu menyimpan rasa cinta yang tidak pernah diluahkan. Dia memilih untuk memendam perasaan dan hanya mendoakan kebahagiaan sahabatnya walaupun hatinya terluka melihat wanita tersebut bersama orang lain. Akhirnya, takdir mempertemukan mereka berdua sebagai pasangan, penamat yang disifatkan Black sebagai penuh syukur.
Bagi Adira, Memilih Kamu menjadi simbol cinta yang tidak tercapai. Walaupun tidak dapat bersama, kasih yang hadir tetap ingin disampaikan, malah individu itu tetap memilih untuk ada dan menyokong dari kejauhan. Adira menambah, proses rakaman berjalan lancar walaupun dilakukan secara berasingan kerana melodi dan lirik sudah cukup kuat untuk menyampaikan rasa. Tanpa perlu berada dalam studio bersama Black, emosi lagu tetap dapat diterjemahkan dengan baik.
Black pula menganggap pengalaman rakaman ini memberikan kelainan baharu pada karya seninya. Dengan tempoh kurang daripada satu jam, sesi rakaman berjalan pantas hasil kerjasama profesional bersama Mas Dewangga. Baginya, hasil akhir lagu ini memperlihatkan warna muzik yang segar dan berbeza daripada karya terdahulu.
Penggambaran muzik video dilakukan di Bukit Fraser, lokasi yang menurut Black memberikan suasana indah dan kenangan istimewa. Walaupun perjalanan bermula seawal pagi dan penggambaran hanya dapat dijalankan selepas matahari terbit, ia tetap menjadi pengalaman yang berharga.
Mas Dewangga menjelaskan bahawa lagu ini memang dicipta khusus untuk Black dan Adira kerana ia dipilih sebagai lagu tema sebuah drama. Sejak awal, format duet sudah ditetapkan agar sesuai dengan jalan cerita yang mengangkat watak utama lelaki dan wanita. Memilih Kamu diterbitkan oleh Nova Music Malaysia dan boleh distrim di semua platform digital bermula Jumaat, 22 Ogos 2025. Video muzik rasminya turut akan dilancarkan pada hari yang sama jam 3 petang di saluran YouTube Nova Music Videos melalui pautan https://youtu.be/W1Cc7KqbTjk?si=97cugvxJzePm_kf_.