Arrayyan mahu kuasai pasaran produk Muslim

Al Haddad Group melalui anak syarikatnya, Arrayyan Multitrade Sdn Bhd (Arrayyan) menyasarkan untuk memperkenalkan 10 produk baharu menjelang tahun 2020 bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran.

Pengarah Urusannya, Syed Salahuddin Syed Mohd Mahayadin berkata, Arrayyan optimis produk baharu tersebut akan memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan produk Muslim halal sekali gus memacu peningkatan jualan rangkaian produk Arrayyan.

”Pada peringkat permulaan, syarikat akan melancarkan dua produk baharu iaitu minuman ice cool lemon tea dan air mineral semula jadi pada Ogos tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar.

Syed Salahuddin berkata, penubuhan Arrayyan bertujuan memasarkan pelbagai produk keperluan Muslim yang berkualiti tinggi, halal dan sihat serta mampu memenuhi keperluan pengguna setiap hari.

“Selain memasarkan produk dari kilang sendiri, Arrayyan juga akan bekerjasama dengan pengeluar Bumiputera untuk memasarkan produk-produk lain daripada segmen makanan dan minuman, penjagaan diri, keperluan rumah dan juga barangan basah,” katanya.

Tambahnya, kerjasama itu akan menjadi platform syarikat untuk memasarkan produk Muslim halal di seluruh pasar raya besar di seluruh negara, pasaran runcit dan eksport.

“Ia turut akan membekalkan barangan untuk ditawarkan di Al Haddad Mart, rangkaian pasar raya mini milik Al Haddad Group,” katanya.

Syed Salahuddin berkata, syarikat bercadang untuk membuka Al Haddad Mart di seluruh negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Cawangan pertama pasar raya mini akan dibuka di Kepala Batas, Pulau Pinang dalam masa terdekat. Rangkaian tersebut akan diuruskan oleh syarikat kami manakala cawangan di negeri-negeri lain akan ditawarkan kepada para pengedar yang berminat, berkelayakan dan berpengalaman.

“Kami sedang berbincang dengan pengedar berpotensi untuk menawarkan pakej perniagaan bagi mengusahakan Al Haddad Mart di seluruh negara. Modal yang diperlukan ialah kira-kira RM300,000 bergantung kepada lokasi, saiz cawangan dan kos lain,” katanya.

Sebelum ini, pelanggan produk keluaran Al Haddad boleh diperoleh daripada 500,000 pengedar dan 500 stokis di seluruh negara.

“Ini merupakan masa terbaik buat syarikat mempromosikan produk dan menawarkannya secara besar-besaran di pasaran terbuka termasuk di pasar raya besar selain mengembangkan pasaran eksport sedia ada yang telah menembusi ke 10 buah negara termasuk pasaran di Asia Tenggara dan China,” katanya.



Sumber

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *