Angkasa sasar tiga koperasi ke peringkat global

Angkasa sasar tiga koperasi ke peringkat global

YAN – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan tiga lagi koperasi di negara ini untuk disenaraikan di peringkat global pada tahun 2025.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya sudahpun mempunyai perancangan strategik bagi tempoh 2025 hingga 2030 bagi memperkasakan koperasi di negara ini.

Katanya, ketika ini terdapat dua koperasi Malaysia yang tersenarai di peringkat global iaitu Bank Rakyat dan Koperasi Felda.

“Jadi, kita mahu tiga lagi koperasi di negara ini berada dalam peringkat global dan tiga itu nanti kita akan cari dalam kalangan 100 koperasi terbaik di Malaysia,” katanya pada sidang media program Angkasa bersama komuniti di Kampung Teroi Bukit, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah turut mengulas Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Abdul Fattah berkata pihaknya akan mengambil peranan bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta kementerian berkaitan untuk menyokong usaha kerajaan itu sekali gus merealisasikan dasar berkenaan.

“Telah dinyatakan akan peranan koperasi yang jelas di mana koperasi berperanan untuk memastikan kumpulan tertentu dimajukan melalui dasar ini,” katanya.

Tambah Abdul Fattah, Angkasa telah mengambil pendekatan daripada dasar berkenaan untuk menggalakkan budaya keusahawanan dalam kalangan pemimpin koperasi serta ahlinya untuk bersama-sama membantu kerajaan menjadikan dasar suatu kenyataan.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *