Penyanyi dan komposer berbakat, Andi Bernadee kembali memeriahkan industri muzik dengan single terbarunya berjudul Siapakah Namamu. Lagu ini mengisahkan keindahan pertemuan cinta yang tidak disangka-sangka, hasil kolaborasi erat bersama Kuizz dan The T, dengan Kuizz mengambil peranan sebagai penerbit serta penyusun muzik.
Bagi Andi, Siapakah Namamu membawa pendengar merasai detik manis saat hati terpaut pada pandangan pertama, di mana rasa ingin mengenali insan istimewa itu mula berputik. Ia bercerita tentang penantian seseorang terhadap cinta, dan apabila cinta itu akhirnya hadir, keindahan rupa dan pesonanya membuatkan hati terpanggil untuk mendekati.
Inspirasi lagu ini bermula apabila Andi menerima sebuah melodi daripada The T yang terus menarik perhatiannya sejak pertama kali didengar. Menurutnya, melodi tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri dan berbeza daripada rentak yang pernah dihasilkan dalam karya-karya terdahulunya.
Selain menjadi penyanyi, Andi atau nama penuhnya Andi Azrul Andi Mapangile turut terlibat dalam penulisan lirik bagi memberi sentuhan peribadi. Beliau mahu memastikan karya ini menampilkan identiti dirinya supaya ia lebih dekat di hati peminat.
Proses rakaman berjalan lancar tanpa mengambil masa terlalu lama, namun Andi mengakui cabaran utama terletak pada teknik kawalan vokal. Walaupun melodinya kedengaran ringkas, ia memerlukan kawalan yang tepat terutama pada bahagian melodi yang turun naik. Keunikan inilah yang menjadi daya tarikan utama lagu ini.

Andi turut mengucapkan penghargaan kepada Kuizz dan The T atas dedikasi mereka sepanjang proses penghasilan lagu ini. Beliau berasa selesa bekerjasama dengan mereka dan terbuka untuk meneruskan kolaborasi pada masa akan datang.
Menurut Andi, lagu ini sesuai dinikmati ketika sedang asyik mengenali seseorang yang baru menawan hati. Cukup sekadar memainkannya untuk merasai sendiri getaran cinta yang diceritakan.
Siapakah Namamu boleh mula didengar di semua platform penstriman digital pada 15 Ogos 2025, manakala muzik videonya akan dilancarkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Andi Bernadee.