KUALA LUMPUR — Pertikaian berhubung dakwaan pemindahan dana berjumlah kira-kira USD4.6 juta tanpa kebenaran awal Lembaga Pengarah menjadi punca utama sekumpulan pemegang saham Industronics Berhad (Kod Saham: 9393) mengemukakan tuntutan rasmi bagi mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM). Kumpulan pemegang saham yang memegang sekurang-kurangnya 10% daripada modal saham terbitan Syarikat itu menyifatkan isu tadbir urus dan pendedahan kepada prosiding undang-undang yang berterusan telah menjejaskan keyakinan mereka terhadap barisan kepimpinan semasa.
Kemelut berkenaan berpunca daripada perjanjian pinjaman bertarikh 24 Mac 2025 yang menyaksikan Bluemount Investment Fund SPC – Global Strategy Fund SP bersetuju menyalurkan pinjaman USD4.6 juta kepada Industronics. Menurut notis berkanun pemegang saham bertarikh 12 Oktober 2026, walaupun pinjaman tersebut diluluskan oleh Lembaga Pengarah, kebimbangan timbul apabila dana berkenaan didakwa dipindahkan pada awal Mei 2026 bagi tujuan pelaburan dalam AMES Hotel (Melaka) Sdn Bhd tanpa kelulusan Lembaga Pengarah terlebih dahulu.
Dalam mesyuarat Lembaga Pengarah pada 5 Jun 2026, para pengarah dilaporkan dimaklumkan bahawa dana yang sebelum ini dinyatakan berada dalam pegangan sebuah firma guaman itu telah pun dipindahkan, sebelum satu Resolusi Pekeliling Pengarah tidak bertarikh diedarkan pada 12 Jun 2026 bagi memohon kelulusan secara retrospektif. Susulan itu, notis di bawah Seksyen 310(b) Akta Syarikat 2016 difailkan pada 25 November 2026 untuk mengadakan EGM pada 5 Januari 2027 di Mid Valley City, melibatkan tujuh resolusi termasuk penyingkiran tiga pengarah sedia ada dan pelantikan tiga pengarah baharu.












