Andalusia tawar pakej umrah Rahmah dengan layanan premium

Andalusia tawar pakej umrah Rahmah dengan layanan premium

Md Daud (kiri) bersama Ida Riswana ketika Majlis pelancaran Umrah Rahmah CSR Andalusia dalam Persidangan Haji Umrah dan Islam Asia (AITEX) di Sunway Pyramid Convention Centre pada Rabu.

Md Daud (kiri) bersama Ida Riswana ketika Majlis pelancaran Umrah Rahmah CSR Andalusia dalam Persidangan Haji Umrah dan Islam Asia (AITEX) di Sunway Pyramid Convention Centre pada Rabu.

SYARIKAT Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia) menawarkan pakej Rahmah dengan layanan premium kepada masyarakat yang kurang berkemampuan untuk mengerjakan ibadah umrah.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, tawaran istimewa tersebut boleh dinikmati oleh orang ramai yang menggunakan pakej Andalusia atau mendaftar bersama anak syarikat pengendalian umrah dan haji milik mereka.

Antara anak syarikat kendalian mereka adalah Fa Izin International Travel and Tours Sdn Bhd, Maqbul Travel and Tours Sdn Bhd, Mahabbaten Travel and Tours Sdn Bhd, Labbaik Travel and Tours Sdn Bhd dan Haneen Travel and Tours Sdn Bhd.

Selain itu, terdapat anak syarikat yang mengendalikan urusan perubatan dan makanan kepada jemaah umrah seperti Andalusia Pharmacy Sdn Bhd, Andalusia Tijarah Sdn Bhd serta Andalusia Food Industries Sdn Bhd.

“Usaha ini bagi memastikan semua golongan yang kurang berkemampuan berpeluang mengerjakan ibadah di tanah suci.

“Layanan kita kepada jemaah sama sahaja kerana syarikat tetap sediakan mutawif yang boleh membantu mereka termasuk juga pakej makan tiga kali sehari.

“Kami turut menyediakan kursus supaya mereka boleh melaksanakan ibadah dengan baik. Saya boleh katakan inisiatif Rahmah ini sama sahaja seperti pakej premium umrah Andalusia,”katanya ketika Majlis pelancaran Umrah Rahmah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Andalusia dalam Persidangan Haji Umrah dan Islam Asia (AITEX) di Sunway Pyramid Convention Centre pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah dan juga Penasihatnya, Ida Riswana Idris berkata, harga pakej Rahmah bermula daripada RM5,990 berbanding harga asal RM6,990 dengan penjimatan sebanyak RM1,000 hingga RM1,400 bergantung kepada keadaan semasa.

Ulasnya, inisiatif berkenaan merupakan usaha syarikat bagi membantu orang ramai yang terkesan dengan kenaikan harga tiket penerbangan dan hotel selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Setakat ini kita sudah menghabiskan lebih RM400,000 bagi program CSR sekali gus membantu orang ramai daripada terus tertipu dengan pelbagai pakej umrah dan haji daripada pihak lain.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada orang ramai,” katanya.

Sumber