SETIAP insan diciptakan ALLAH SWT dengan kepelbagaian termasuklah dari segi warna kulit, bangsa dan sikap. Apabila bercakap tentang sikap, ada dalam kalangan kita yang lebih suka meminta-minta untuk mendapatkan sesuatu berbanding berusaha sendiri. Golongan seperti itu beranggapan, meminta lebih mudah untuk meraih simpati daripada orang lain. Hakikatnya, perbuatan meminta-minta itu tidak digalakkan dalam Islam kerana ALLAH mahu hamba-Nya berusaha. Kerana apa? Sebab ALLAH SWT sudah mengurniakan pelbagai nikmat seperti badan yang sihat, tenaga, akal fikiran dan pancaindera yang sempurna untuk memudahkan kita mencari rezeki. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jika seseorang di antara kamu membawa tali-talinya dan pergi ke bukit mencari kayu api, lalu dipikul di belakangnya untuk dijual sehingga dia mampu memenuhi keperluan keluarga dan hidupnya adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain sama ada mereka memberi atau tidak.” (Riwayat al-Bukhari) Hadis itu sebenarnya mahu memotivasikan kita supaya berusahalah dengan tenaga sendiri untuk mendapatkan apa yang dihajati. Dalam hadis ini, ayat ‘membawa tali-tali dan pergi ke bukit’ membawa maksud supaya orang berusaha. Bayangkan, jika kita hanya duduk diam, kita tidak dapat apa-apa, bukan? Malah, Rasulullah SAW sendiri mencela sikap orang yang suka meminta-minta sebagaimana dalam hadis baginda: “Seseorang yang terus-menerus meminta-minta kepada orang lain sehingga nanti dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di wajahnya.” (Riwayat al-Bukhari) Oleh itu, janganlah kita meminta-minta kepada orang lain. Gunakanlah kelebihan yang ada pada diri kita untuk mencari rezeki. Yakinlah bahawa usaha daripada hasil titik peluh sendiri itu lebih mulia berbanding meminta-minta dan mengharapkan simpati orang lain. (Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki) Sumber Post navigation Rangkaian klasik moden Triumph 2019 Syarat wanita hamil, kanak-kanak berpuasa