Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad berkata, pemimpin termasuk ketua negara, ahli perniagaan, suami isteri dan ibu bapa perlu memberi semula kepada masyarakat ke arah kebaikan.
“Pemimpin ibarat ketua pegawai eksekutif negara yang ditugaskan untuk mentadbir negara. Mereka yang mendapat gaji dan elaun rumah serta kemudahan kenderaan, jadi perlu fikirkan untuk kesejahteraan rakyat.
“Bekerja di lapangan untuk membantu masyarakat bukan gimik atau menolong kerana mahukan sesuatu. Apa sahaja yang kita lakukan di dunia yang sementara ini akan dipersembahkan kepada ALLAH SWT.
“Kita perlu banyak bersujud dan tunduk kepada ALLAH Taala. Sebagai pemimpin di organisasi mahupun keluarga dan usahawan, pastikan jangan tamak. Jika kita sudah kaya, jangan bolot dan monopoli semua.
“Sekiranya kita mampu melakukan semua bisnes, keluarkanlah zakat, infak dan wakaf bagi membantu orang lain. Kita boleh juga mengajar mereka berniaga agar membantu diri untuk kelangsungan hidup,” katanya.
Beliau turut menekankan, ekonomi sangat penting dalam masyarakat.
Jelasnya, sahabat Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman bin Auf dan Saidina Usman bin Affan merupakan antara orang paling kaya pada zaman itu namun kekayaan mereka memberi sumbangan kepada pembanguna ummah.
“Kita perlu ada kerangka fikir untuk kaya, dan mahu ke hadapan. Jika kita perlu bersinergi dalam perniagaan supaya sektor ekonomi dapat dielakkan daripada perkara kufur. Ada orang terlalu susah, sehingga menyalahkan ALLAH.
“Saya teringat pesan ulama dari Mesir iaitu Hassan Albanna. Kita mungkin sudah kaya dan ada wang banyak, tetapi kita perlu buat bisnes lagi kerana tidak semua orang ada ilmu seperti kita. Ada rezeki lebih, berinfak lebih.
“Dalam Surah At-Taghabun, ayat 17, ALLAH SWT berfirman: ‘Jika kamu meminjamkan kepada ALLAH dengan pinjaman yang baik, nescaya Dia melipatgandakan (balasan) dan mengampuni kamu. Dan ALLAH Maha Mensyukuri dan Maha Menyantun’. Itu janji ALLAH, janji ditepati,” ujar beliau.
Tambah Mastura, PPAS menyokong penuh program #QuranHour di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sejak 2015.
Jelasnya, sebanyak 104 cawangan perpustakaan dan 43 agensi di seluruh negeri akan menyertai World #QuranHour secara hibrid pada 24 Ramadan 1443H, bersamaan 26 April ini.
“Tahun ini, pihak PPAS mengikuti perkongsian para pentadabbur Surah Al-Sajdah daripada pakar yang disiarkan secara langsung di TV AlHijrah. Berpandukan surah tersebut, kita perlu bangkit, menginsafi dan muhasabah diri, seterusnya bersyukur dengan segala nikmat diberikan oleh ALLAH.
“Sekarang bukan masa kita menuding jari untuk salahkan sesiapa. Sebaliknya, kita sebagai pemimpin perlu mencari solusi dan penyatuan. Kita mahu menyatukan semua masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“Jika semua orang bersujud, pasti mereka mampu menggunakan kedudukan masing-masing untuk membantu orang lain. Kita memberi dengan ikhlas, mudah-mudahan mendapat keampunan ALLAH SWT,” katanya.
World #QuranHour disiarkan secara langsung dari lokasi perdana, Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kuala Lumpur pada 26 April ini.
Program yang dianjurkan secara serentak ini juga boleh dikuti di TV AlHIjrah, ASTRO Oasis dan di FB Sinar Harian, QuranHour, dan TV AlHIjrah.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal di lokasi masing-masing dan mendaftar di https://bit.ly/REGWQH2022.