ZIVA MAGNOLYA KEMBALI MENGGEGAR INDUSTRI MUZIK DENGAN ALBUM POP RNB

Penyanyi berbakat besar yang digelar Queen of Riff and Runs, Ziva Magnolya, kembali dengan buah tangan terbaharu berupa album penuh berjudul “Merangkai”, selepas dua tahun menanti. Album ini merupakan manifestasi impian Ziva untuk menghasilkan sebuah karya bernuansa Pop RnB, genre muzik yang paling dekat di hatinya. Diterbitkan oleh Universal Music Indonesia, “Merangkai” menjadi simbol kedewasaan Ziva dalam berkarya dan ekspresi peribadi sebagai seorang penyanyi serta penulis lagu.

“Album ini sangat mencerminkan siapa diri saya. Dari dulu lagi saya mengimpikan sebuah album penuh berentak Pop RnB kerana saya memang menyayangi muzik sebegini. ‘Merangkai’ ialah cerminan jujur saya,” ujar Ziva.

Dari segi tematik, album ini masih mengangkat kisah cinta, namun dengan pendekatan yang lebih luas dan pelbagai dimensi. Setiap lagu memiliki hubungan emosi antara satu sama lain dan membentuk naratif menyeluruh yang mendalam dan menyentuh.

Album “Merangkai” memuatkan sembilan buah lagu, di mana tiga daripadanya “Abadi”, “Wanita Biasa”, dan “Cukup” telah pun dilancarkan terdahulu sebagai single dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat muzik Indonesia.

Menambah nilai eksklusif pada album ini, Ziva berkolaborasi dengan barisan penerbit tempatan terkenal seperti Dony Manurung untuk lagu “Intro”, BIANCADIMAS untuk “Tertarik Atau Baik”, serta Trakast, Yafi Aria, dan Stefanus LJ untuk lagu “Sesuka Hati”. Selain itu, lagu “200K” diterbitkan oleh Ranbe, manakala “Wanita Biasa” dan “Cukup” mendapat sentuhan kreatif dari S/EEK. Lagu “Kata Kata” pula merupakan kolaborasi bersama trio penerbit terkenal Laleilmanino.

Salah satu kolaborasi yang paling dinantikan ialah gandingan dengan Kaleb J dalam lagu “Against All The Odds” satu impian yang telah lama disuarakan oleh peminat sejak 2021. “Dapat bekerja dengan nama-nama besar dalam dunia penerbitan muzik adalah satu penghormatan besar buat saya. Saya banyak belajar tentang teknik, produksi, dan selok-belok industri muzik,” kata Ziva.

Dari sudut visual pula, Ziva tidak ketinggalan mempersembahkan karya seni eksklusif hasil kerjasama bersama pelukis terkenal, Diela Maharanie. Gaya lukisan berwarna-warni Diela memberikan identiti visual yang kuat dan berseni untuk album ini.

Untuk memperkayakan pengalaman mendengar, Ziva turut melancarkan video muzik bagi lagu “Kata Kata” serta video lirik untuk lagu-lagu lain dalam album. Menariknya, elemen ‘seram manja’ turut diselitkan dalam konsep visual termasuk kemunculan ‘hantu’ dalam gaya menghiburkan. Kesemua produksi video ini diterbitkan oleh Athea Visual dan diarahkan oleh Ivan Saputra Alam.

“Ceritanya ringkas tapi penuh maksud. Ia berkisarkan cinta yang belum kesampaian, dari sisi orang yang ‘ghosting’ orang lain,” kata Ziva sambil tersenyum. “Saya berharap album ini dapat memberi inspirasi dan semangat kepada para pendengar. Jadikan ‘Merangkai’ teman harian anda,” tambahnya penuh harapan.