Selepas mencuri perhatian dengan karya-karya terdahulu, penyanyi dan pelakon versatil Bella Astillah tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul “Lebih Indah Berpisah”, hasil kolaborasi menyentuh jiwa bersama komposer dan pemuzik terkenal dari Indonesia, Ade Govinda.
Lagu yang dicipta dan diterbitkan sepenuhnya oleh Ade Govinda ini mengetengahkan tema keberanian untuk melepaskan cinta yang tidak lagi dihargai – satu keputusan yang sukar, namun penuh makna demi membuka ruang kepada kebahagiaan baharu. “Lebih Indah Berpisah” membawa pendengar menghayati kisah perpisahan dari sudut yang positif dan membina, sesuatu yang jarang disentuh dalam lagu-lagu cinta masa kini.
Ade Govinda dijadualkan hadir ke Kuala Lumpur bersama Bella Astillah bagi mempromosikan single ini sepanjang bulan Jun, termasuk sesi media eksklusif bersempena pelancaran rasmi pada 12 Jun 2025.
Menurut Bella, karya ini amat dekat dengan hatinya dan menjadi antara pengalaman paling berharga sepanjang kerjaya seninya. “Tajuk asal lagu ini sebenarnya sedikit berbeza, tetapi akhirnya saya dan Ade sepakat untuk memilih perkataan ‘indah’ sebagai fokus utama. Kami mahu membawa mesej bahawa perpisahan juga mampu mencipta keindahan, jika dilakukan dengan ikhlas,” jelas Bella.
Beliau turut menyifatkan pengalaman bekerja dengan Ade dan pasukannya sebagai sesuatu yang tidak akan dilupakan. “Pasukan Ade sangat menghormati masa, bakat dan orang sekeliling tanpa mengira status. Semangat positif dalam studio menjadikan proses rakaman sangat selesa dan menyeronokkan. Dengan dorongan mereka, saya berikan sepenuh jiwa dalam rakaman ini,” tambahnya.
Bella juga berharap lagu ini mampu menjadi penguat semangat buat mereka yang sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan cinta. “Saya harap Lebih Indah Berpisah dapat menemani mereka yang berduka, dan saya mahu lagu ini diterima bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Indonesia. Yang penting, saya mahu ia dekat di hati pendengar dan menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka,” katanya penuh harapan.
Dalam masa yang sama, Ade Govinda menyifatkan lagu ini sebagai suara hati yang merdeka – tentang keberanian memilih untuk bahagia. “Lagu ini bukan tentang kegagalan, tapi tentang keberanian untuk berhenti dan memberi ruang kepada kebahagiaan. Jika cinta anda tidak dihargai, mungkin inilah masanya untuk melepaskan dengan tenang. Hidup selepas perpisahan kadangkala lebih indah dari yang kita sangka,” ujarnya.
Ade juga tidak terlepas daripada memuji semangat dan profesionalisme Bella sepanjang kolaborasi ini. “Bella sangat berbakat, bukan sahaja dalam nyanyian tetapi juga ketika penggambaran video muzik. Komitmen dan ketabahannya luar biasa. Tidak ramai wanita sepertinya. Dia benar-benar mengagumkan,” kata Ade lagi.
Baru sahaja dilancarkan bulan lalu, “Lebih Indah Berpisah” kini telah meraih lebih 700,000 tontonan di YouTube, membuktikan lagu ini mula mendapat tempat di hati peminat kedua-dua negara.