Penyanyi, komposer dan penerbit muzik Chubb-E, menamatkan penantian tiga tahun peminat apabila mempertaruhkan single terbaharu bertajuk “Tetap Di Sini” di bawah 1711 Music sejak 23 Oktober 2026. Karya ciptaan sepenuhnya oleh beliau itu mengetengahkan kisah kesetiaan seorang lelaki terhadap wanita yang dicintai, namun menyuntik perspektif matang tentang keberanian melepaskan apabila takdir tidak menyebelahi.

Chubb-E berkongsi bahawa lagu tersebut terinspirasi daripada pengalaman hidup peribadi serta realiti hubungan zaman kini yang sering terikat dengan keinginan untuk memiliki. Bagi beliau, nilai cinta tertinggi terletak pada keikhlasan menerima perbezaan jalan hidup dan impian pasangan tanpa paksaan. Apabila ditanya tentang judul “Tetap Di Sini”, beliau menjelaskan ia melambangkan memori dan pengalaman bersama yang kekal dalam ingatan meskipun hubungan sudah berakhir.
Sebagai pencipta yang menguruskan sendiri penulisan lirik, susunan melodi dan penerbitan Chubb-E menekankan bahawa kejujuran perasaan menjadi kunci utama agar pendengar dapat merasai jiwa di sebalik setiap bait lagu. Dari segi bunyi, beliau berani menyatukan elemen pop balada yang menyentuh hati dengan rentak groove dan swag hip hop yang menjadi identitinya sejak era “Biru Malam dan Tiada Noktah”, menghasilkan warna muzik bittersweet yang unik.
Menariknya, Tetap Di Sini mendapat sambutan menggalakkan khususnya dalam kalangan pendengar lelaki yang merasai kaitan emosi dengan jalan ceritanya. Video muzik lagu berkenaan turut memaparkan liku perjuangan seorang lelaki yang berdepan kekangan kemampuan untuk mempertahankan hubungan, malah sempat membuatkan seorang rakan pelakon terkenal menangis sebelum sempat melihat plot twist di penghujung cerita.
Chubb-E turut menjelaskan bahawa tempoh tiga tahun tanpa pelancaran lagu digunakan sepenuhnya untuk memperdalam ilmu komposisi serta penerbitan muzik, sekali gus menghasilkan puluhan lagu baharu termasuk perancangan duet dan album kolaborasi bersama dua rakan pada tahun hadapan. Kejayaan awal lagu ini terserlah apabila ia tersenarai dalam playlist Spotify seperti Carta Malaysia 50, Made in Malaysia, Pop Terkini, New Music Friday Malaysia dan New Music Friday Singapore, di samping video muzik rasmi di YouTube Seventeen Eleven Music.
Chubb-E – Tetap Di Sini (Official Music Video): https://youtu.be/1ORiPqzoAXQ?si=HWmGmO0Vp8xTxC0x












