Bersiap sedia untuk sebuah malam yang penuh tenaga dan muzik tanpa henti apabila OPPO dan Warner Music Malaysia bergabung tenaga mempersembahkan Festival Muzik OOO 2025! Acara yang dijadual berlangsung pada 1 Julai 2025 di Heritage Valley, Kuala Lumpur ini menjanjikan pengalaman festival yang meriah buat para peminat muzik tempatan.
Barisan artis yang bakal menghangatkan pentas termasuk nama-nama besar seperti Noh Salleh, MASDO, Bunga, Luqman Podolski, Zynakal, TUJU, Naki, emptypage., Iman Troye, FUGŌ, Jo Vynn, Priscilla Abby dan Steadygang menjadikan festival ini medan pertembungan genre pop, hip-hop, indie dan rock dalam satu malam yang epik!
Bagi kumpulan MASDO, ini bukan sekadar persembahan biasa. Ia juga menjadi pemanas badan sebelum mereka menjayakan konsert berskala besar sempena ulang tahun ke-10 MASDO pada 30 Ogos nanti.
“Kami tak mahu lepaskan peluang untuk bersama barisan artis hebat yang menyertai Festival Muzik OOO 2025! Ini juga jadi pentas pemanas badan kami sebelum konsert besar kami nanti. Nantikan pengumuman istimewa daripada kami di festival ini,” kongsi Ali bagi pihak MASDO.
Menariknya, festival ini turut menjadi pentas pelancaran rasmi untuk siri baharu OPPO Reno, yang bakal mengetengahkan gabungan teknologi, muzik dan gaya hidup moden dalam satu suasana dinamik dan penuh inovasi.

Menurut Raqeem Brian, Pengarah A&R Warner Music Malaysia, kerjasama dengan OPPO membuka lembaran baharu dalam penganjuran acara muzik tempatan.
“Festival ini lebih daripada sekadar konsert ia adalah sambutan budaya yang meraikan kreativiti, teknologi dan muzik tempatan. Kami berbangga dapat menghimpunkan artis-artis luar biasa Malaysia di satu pentas,” katanya.
Festival bermula seawal jam 6 petang hingga 11:30 malam, turut menyediakan pelbagai aktiviti sampingan seperti gerai makanan, minuman dan pameran interaktif jenama-jenama terlibat.
Sebagai tambahan istimewa, OPPO turut bekerjasama dengan Proton e.MAS untuk memperkenalkan ‘Roda Karaoke’, satu siri digital gaya carpool karaoke menampilkan artis-artis terlibat termasuk Bunga, MASDO, Noh Salleh dan FUGŌ. Penonton juga boleh mengunjungi booth Proton e.MAS semasa festival untuk melihat lebih dekat model kereta terbaharu mereka.
Dengan tiket berharga hanya RM50, jangan lepaskan peluang menyertai pesta muzik penuh warna bersama artis kegemaran anda di Festival Muzik OOO 2025 sebuah malam yang pasti meninggalkan memori indah buat para pencinta muzik tanah air.