Yovie Widianto & Tiara Andini Kembali Menyentuh Hati Menerusi “Tanpa Cinta”

Cinta memang indah, namun bila tak berbalas, ia meninggalkan luka yang mendalam. Jika diberi pilihan, pastinya tiada siapa ingin melalui kepedihan patah hati. Namun, realitinya, setiap insan pernah merasai peritnya melupakan seseorang yang dicintai.

Menyentuh tema ini, komposer tersohor Yovie Widianto sekali lagi menyajikan emosi mendalam dalam versi terbaharu lagu popularnya “Tanpa Cinta”, kali ini berkolaborasi dengan penyanyi muda berbakat besar, Tiara Andini. Lagu ini diterbitkan semula di bawah label Universal Music Indonesia, memberi nafas baharu kepada karya yang pernah menyentuh hati ramai sebelum ini.

“‘Tanpa Cinta’ membawa kisah seseorang yang hatinya terluka kerana cintanya tidak berbalas. Orang yang dicintai telah memilih insan lain. Lagu ini menggambarkan kecekalan untuk bangkit dan menerima kenyataan bahawa kadangkala, lebih baik teruskan hidup… tanpa cinta,” ujar Yovie penuh penghayatan.

Kembalinya kolaborasi antara Yovie dan Tiara juga disambut penuh semangat, selepas kejayaan kerjasama mereka sebelum ini. Yovie menjelaskan, sejak awal dia sudah menetapkan hasrat untuk menampilkan Tiara dalam versi baharu lagu ini.

“Saya memang sudah rancang dari awal. Bagi saya, Tiara memiliki emosi dan kepekaan vokal yang sangat sesuai untuk menyampaikan lagu ini. Saya gembira kerana dia menyambut ajakan ini dengan tangan terbuka,” kata Yovie.

Bagi Tiara pula, peluang menyanyikan semula karya Yovie merupakan satu penghormatan besar. “Saya memang minat dengan lagu ini sejak dulu. Bila ditawarkan untuk berduet dalam versi baharu, saya terus setuju. Ini karya daripada papa Yovie, jadi semestinya saya beri sepenuh hati. Walaupun ada cabaran, saya sangat puas dengan hasil akhirnya,” kata Tiara dengan penuh rasa syukur.

Dari segi susunan muzik, Yovie mengekalkan keaslian lagu tanpa banyak perubahan drastik. Namun, elemen melodi disusun semula dengan lebih segar dan moden, menjadikan versi kali ini lebih manis, mudah dihayati, dan dekat di hati pendengar masa kini.