“TAK apalah, aku bukan guna duit haram ini untuk makan pun tetapi untuk beli rumah atau kereta.”
Barangkali, ayat kita seringkali kita dengar daripada orang di sekeliling kita.
Ya, memang duit haram itu tidak digunakan untuk makan kerana dikhuatiri menjadi jadi darah daging kita.
Namun, bolehkah duit yang secara jelasnya memang haram itu digunakan untuk membeli rumah dan kereta?
Sebenarnya, menggunakan duit haram hukumnya ialah haram kerana Islam amat menitikberatkan urusan kewangan sama ada ia diperoleh daripada pendapatan yang halal atau haram serta bagaimana ia dibelanjakan.
Kaedah menyebut bahawa: “Sesuatu yang haram dilakukan, maka haram menuntutnya.”
Begitu juga, kaedah turut menyebut: “Sekiranya bercampur sesuatu yang halal dan haram, maka diberatkan hukum haram.”
ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan ) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 188)
Jelas ayat itu menunjukkan bahawa apa jua harta yang kita peroleh sebagai sara hidup seperti makanan dan minuman, mestilah daripada sumber yang halal.
Dalam satu ayat yang lain iaitu Surah al-Baqarah, ayat 172, ALLAH SWT menegaskan supaya kita makan daripada harta yang baik sama ada dari segi fizikal atau maknawinya.
Ingat, segala perkara yang diharamkan ALLAH SWT tetap haram buat kita.
Percayalah kepada Yang Maha Esa kerana sesungguhnya, Dia menciptakan dan mengharamkan sesuatu dengan sebab tersendiri.
(Sumber: Portal Soal Jawab Agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)