UPSI Perkukuh Reputasi, Lahirkan Graduan Unggul Negara

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pendidikan terunggul apabila salah seorang alumninya, Siti Fairuz Rohaliza Ejahar, diangkat sebagai penerima Anugerah Siswi Cemerlang 2025 oleh Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM). Lebih membanggakan, beliau juga merupakan penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Kali Ke-26 yang lalu satu pencapaian luar biasa yang menyerlahkan keunggulan graduan UPSI di persada nasional.

Anugerah Siswi Cemerlang ini telah disampaikan oleh YBhg. Toh Puan Dato’ Seri Hajah Dr. Aishah Ong, Penaung PSWM, dalam sebuah majlis penuh penghormatan. Ia mengiktiraf kehebatan siswazah wanita yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah unggul dalam kepimpinan, sumbangan masyarakat, sahsiah terpuji serta keupayaan berfikir secara kritis. Sejak diperkenalkan pada tahun 1993, anugerah ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap graduan wanita yang memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam melahirkan insan seimbang.

Sebagai graduan dalam bidang pendidikan, Siti Fairuz Rohaliza mencuri perhatian panel penilai dengan kecemerlangan akademik, penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum serta ketokohan kepimpinan yang menyerlah dan empati sosial yang tinggi. Beliau bukan sahaja menjadi inspirasi dalam kalangan rakan seperjuangan, bahkan menjadi bukti jelas bahawa wanita muda Malaysia mampu menyerlah di peringkat tertinggi.

“Anugerah ini bukan hanya milik saya, tetapi milik semua pendidik, keluarga, dan insan yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan ini. Ia adalah amanah besar untuk saya terus menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara,” ujar Siti Fairuz dengan penuh rendah hati.

Penganugerahan ini secara tidak langsung menyerlahkan lagi peranan UPSI dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, berintegriti dan berjiwa rakyat. Kejayaan Siti Fairuz membuktikan bahawa universiti bukan sekadar tempat menuntut ilmu, malah medan melahirkan pemimpin masa hadapan yang holistik.

Menurut kenyataan rasmi PSWM, Siti Fairuz disifatkan sebagai contoh graduan wanita ideal cerdas dari segi intelek, teguh dari sudut sahsiah, dan tinggi kesedaran sosial. “Inilah model siswazah yang wajar diketengahkan agen perubahan yang mampu menjadi suri teladan kepada generasi akan datang,” kata wakil PSWM.

Pencapaian ini bukan sahaja mengharumkan nama Siti Fairuz secara peribadi, malah melonjakkan lagi nama UPSI sebagai institusi yang terus unggul dalam mencorak masa depan pendidikan negara.