8TV Raikan Penghujung Musim Kedua Jasmine Project Love Bersama Rakan Kongsi & Komuniti

Program dokumentari berbahasa Cina popular, Jasmine Project Love Musim Kedua terbitan 8TV melabuhkan tirainya dengan majlis penghargaan istimewa yang berlangsung penuh emosi dan makna. Acara ini menghimpunkan para peserta program, organisasi kebajikan, barisan hos, rakan penaja serta wakil media, sebagai penghormatan kepada kisah-kisah kemanusiaan yang telah menyentuh jutaan hati penonton.

Sepanjang musim ini, Jasmine Project Love terus menekankan nilai empati dan kekuatan sokongan komuniti. Inisiatif 8TV Project Love Fund, di bawah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, berjaya mengumpulkan hampir RM200,000 hasil sumbangan orang ramai. Dana ini telah disalurkan kepada keluarga-keluarga yang diketengahkan dalam rancangan tersebut, sekaligus membawa sinar harapan dalam kehidupan mereka.

Dengan sokongan padu daripada Jasmine Food selaku penaja utama dan Kawan Food sebagai rakan penaja, musim ini menyajikan 24 episod menyentuh jiwa. Lapan hos iaitu Owen Yap, Chan Wei Wei, Desmond Tey, Tan Chia Yong, Ong Ching Yee, Jan Chin, Soh Chin Chuan dan Charlotte Seow menjelajah ke pelbagai lokasi termasuk Lembah Klang, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka bagi menelusuri pelbagai kisah benar yang jarang diberi perhatian umum.

Daripada kisah anak kecil yang bergelut dengan penyakit jarang jumpa hinggalah ke keluarga yang menanggung beban sara hidup, setiap episod mempersembahkan realiti kehidupan rakyat Malaysia dengan penuh kasih dan empati. Program ini bukan sekadar dokumentari, malah menjadi wadah menyemai semangat keprihatinan dan kesedaran sosial dalam kalangan penonton.

Sebagai tanda penghargaan kepada pihak yang banyak menyumbang di belakang tabir, majlis ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan yang terlibat. Antara yang diraikan termasuk Persatuan Penyakit Motor Neuron Malaysia, Persatuan Kebajikan Talian Hayat Kehidupan Malaysia, Kelab Kebun Komuniti Anak Istimewa P3KU, Prader-Willi Syndrome Association Malaysia, Persatuan Amal Indah dan beberapa lagi organisasi lain yang komited dalam membantu komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Puan Nini Yusof menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan musim ini. Beliau berkata, “Program ini bukan sahaja memaparkan kisah menyentuh hati, malah mencetuskan kesedaran mendalam tentang cabaran sebenar yang dihadapi oleh ramai keluarga. Terima kasih kepada Jasmine Food dan Kawan Food atas kepercayaan dan sokongan mereka terhadap misi kami.”

Dalam pada itu, Encik Alan Kwong selaku Ketua Pegawai Kewangan Jasmine Food berkata, “Ini adalah tahun kedua kami menyokong Project Love dan kami amat berbesar hati dengan impak positif yang dibawa. Kami percaya kerjasama antara sektor korporat, NGO dan masyarakat umum mampu melahirkan perubahan jangka panjang yang bermakna.”

Majlis penutup yang berlangsung di Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar turut dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk Pengerusi Kumpulan Media Prima, Yang Berbahagia Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan, Encik Rafiq Razali; serta Ketua Pegawai Eksekutif Jasmine Food, Encik Dennis Foo. Turut hadir ialah barisan kepimpinan kanan dari Media Prima dan Kawan Food.

Bagi penonton yang ingin menyaksikan kembali kisah-kisah penuh inspirasi daripada musim ini, Jasmine Project Love Musim Kedua boleh distrim secara percuma di platform Tonton. Untuk maklumat lanjut mengenai program-program menarik 8TV, layari Facebook rasmi 8TVbadukongjian, Instagram @8tvmalaysia atau tonton di myFreeview CH108, Astro CH148 dan unifi CH108.