Ramadan telah pergi meninggalkan kita. Banyak amal kebaikan dan kebajikan yang kita lakukan pada bulan mulia tersebut. Semoga ALLAH SWT menerima amalan kamu dan amalan puasa kalian semua.
Apabila datangnya bulan Ramadan tidak ketinggalan semua umat Islam wajib menunaikan ibadah zakat fitrah mereka sebagai tuntutan agama dan menyempurnakan rukun Islam.
Ia adalah kewajipan yang wajib dilaksanakan di bulan Ramadan yang bertujuan membersihkan dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara sia-sia.
Sebagai memudahkan masyarakat Islam untuk menunaikan zakat fitrah ini, Zakat Melaka (ZM) telah menyediakan kemudahan dan inisiatif dalam bayaran zakat secara atas talian (online).
Aplikasi pembayaran fitrah online ini adalah bertujuan bagi mengelakkan seseorang bertangguh dan terlupa untuk menunaikan kewajipan ini dan rata-rata mereka sibuk dengan urusan masing-masing sehinggakan mereka terlupa dengan urusan akhirat.
Ini juga memudahkan seseorang yang berada di luar negara menunaikan zakat fitrah tersebut. Tetapi ada segelintir masyarakat yang merungut dan mempertikaikan pembayaran zakat fitrah secara online.
Ini kerana pendapat mereka mengatakan tiada akad berlaku ketika menunaikan fitrah online tersebut dan merasa ketidaksempurnaan pembayaran zakat. Maklum lah kadang-kadang kita rasa selalu tidak puas dan suka mengkritik:
“Tak mahu lah aku bayar zakat secara online ni tak ada akad…”
“Tak ada feel aku nak bayar zakat kalau tak ada akad ni…”
“Bukan ke akad bayar zakat ini wajib?…”
“Bayar zakat secara online ini tiada akad.. sah ke?…”
“Boleh ke bayar online, macam tak yakin je nak bayar sebab tiada akad”
Pembayar zakat, Izam Liz mengatakan “lebih afdal bayar zakat dengan adanya akad dan doa sekali baru terasa wang itu benar disalurkan mengikut rukun Islam”.
Sementara itu, Khairi Amar menyatakan “bayar secara manual lagi baik baru rasa puas hati sebab adanya berjabat tangan dan baca doa baru ada nikmat untuk menunaikan zakat ini”.
Ijab dan qabul adalah isu yang hangat diperkatakan oleh masyarakat kini. Maksud ijab dan qabul adalah suatu perbuatan untuk menunjukkan suatu keredaan dalam berakad antara dua orang atau lebih.
Berdasarkan pengertian di atas, dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan ijab dan qabul adalah suatu yang sengaja dilakukan oleh kedua belah pihak berdasarkan persetujuan masing-masing dan menunjukan kehendak kedua belah pihak.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail berkata, zakat seseorang sah di sisi syariat apabila berlaku dua perkara iaitu niat menunaikan zakat dan pemindahan harta atau wang zakat tersebut.
“Apabila kita menunaikan zakat menerusi medium seperti ini melalui aplikasi SMS atau pembayaran atas talian (online payment), niat sudah berlaku ketika itu dan pemindahan pegangan harta yakni wang itu juga sudah berlaku.
”Jadinya zakat yang dibayar telah mencukupi syarat-syarat sah pembayaran zakat tersebut, hukum berzakat dengan kaedah ini adalah harus dan digalakkan,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat tidak perlu risau untuk beribadah di atas talian (online), ini kerana telah dinyatakan lafaz niat untuk dibaca seterusnya reda dengan pemindahan harta yakni wang tersebut disalurkan kepada pengurusan zakat.
Menurut Keputusan Jawatankuasa Fatwa yang bertarikh 9 Jun 2011 telah memutuskan, “Pembayaran zakat fitrah melalui khidmat Sistem Pesanan Ringkas (SMS) adalah harus dengan syarat pihak yang menyediakan perkhidmatan tersebut hendaklah dilantik oleh Majlis Agama Islam Melaka (Majlis) sebagai agen yang hanya akan membuat pungutan zakat fitrah melalui kaedah SMS di Negeri Melaka bagi suatu tempoh yang dibenarkan oleh Majlis Agama Islam Melaka”.
Perkara ini diperkuatkan lagi dengan Keputusan Fatwa Negeri Selangor yang bertarikh 24 Disember 2010 telah menyatakan, “hukum pembayaran zakat fitrah melalui pembayaran elektronik berdasarkan kaedah pembayaran zakat fitrah melalui SMS sama ada secara prabayar atau pascabayar adalah harus.
Manakala hukum menggunakan kaedah pembayaran zakat fitrah melalui internet, mesin ATM dan e-Debit adalah harus”.
Islam adalah agama yang bersifat menyeluruh iaitu menerima perubahan dari semasa ke semasa. Dengan kewujudan teknologi dan inovasi ini banyak membantu kita melaksanakan ibadah dengan lebih mudah dan cepat.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “….. Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan, dan ianya tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran….”
Sebarang pertanyaan tentang info zakat bolehlah layari www.izakat.com atau boleh menghubungi di talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka.