BIARPUN pasaran fesyen menerima lambakan hijab pelbagai rekaan dan konsep seperti tudung bawal, tudung siap pakai, tudung separuh bulan dan tudung ala wanita Arab, namun koleksi selendang polos tetap mempunyai peminatnya tersendiri.
Justeru, golongan hijabi yang meminati selendang polos ringkas, tetapi masih memastikan penampilan tampak menawan, koleksi Putri N. Rex antara pilihan yang wajar diberi perhatian.
Dikenali dengan signatur elemen polos, material lembut, rekaan beralun dan warna pastel, tudung jenama Putri N. Rex tidak pernah menghampakan pencinta hijab.
Tirai tahun 2020 menjadi saksi apabila label terbabit memperkenalkan koleksi baharu yang diberi nama Kesuma Textured Hijab.
Menurut Pengasas Putri N. Rex,Putri Rex, Kesuma Textured Hijab dihasilkan selepas mengambil kira permintaan para pelanggan yang meminati helaian tudung bertekstur dan polos.
PUTRI
“Keunikan hijab (Kesuma Textured Hijab) ini terletak pada tekstur yang unik, klasik, minimalis dan mudah digosok.
“Diperbuat daripada material sifon berkualiti tinggi dan bakal menyerlahkan penampilan wanita dalam apa jua acara dan destinasi dikunjungi. Kepala yang menyarungkan tudung sifon juga akan terasa ringan dan tidak melekat,” katanya kepada Femina baru-baru ini.
MATERIAL sifon menyuntik efek beralun apabila digayakan para hijabi.
Selain itu, teksturnya yang ringan menjadikan selendang sifon mudah digayakan pelbagai gaya dan memberikan efek beralun.
Turban
Tutur Putri, Kesuma Textured Hijab bukan sahaja elok digayakan ke pejabat dan kuliah, bahkan anggun dipadankan bersama busana elegan ketika memenuhi undangan baik majlis formal mahupun majlis perkahwinan.
Sekiranya bosan mengenakan pelbagai teknik lilitan, Kesuma Textured Hijab mudah dijadikan turban yang sempurna disuai padan dengan pakaian kasual.
“Ini bermakna, dengan bantuan Kesuma Textured Hijab wanita tidak terikat pada satu atau dua teknik lilitan sahaja. Sebaliknya, variasi konsep boleh dilakukan termasuk turban moden.
“Bertambah menarik, disebabkan kami menggunakan fabrik yang tidak perlu digosok dan tidak mudah berkedut, hijab ini juga sesuai dibawa melancong,” jelas beliau.
Dari segi warna, Kesuma Textured Hijab rekaan polos hadir dalam 11 warna palet pastel dan natural antaranya biru, hijau, ungu dan coklat yang dikatakan warna selamat untuk digayakan baik siang mahupun malam. Rona sedemikian turut menyerlahkan sisi feminin dan keayuan wanita.
Mengulas lanjut, Putri berkata, salah satu kelebihan memakai tudung polos adalah segenap wanita berpeluang menggayakannya bersama busana bercorak, berjalur ataupun kosong.
“Selendang polos juga mendorong wanita tanpa ragu-ragu untuk memakai aksesori tambahan seperti gelang dan rantai,” katanya.
KESUMA Textured Hijab hadir dalam 11 warna palet pastel dan natural antaranya biru, hijau, ungu dan coklat.
Selain selendang sifon dan bertekstur, Putri N. Rex pada masa sama menawarkan tudung jenis satin dan bercorak dalam bermacam-macam warna menawan termasuk seni rekaan terbaik demi keselesaan para wanita berhijab.