Pelakon terkenal Adam Corrie tampil mempertaruhkan jiwa serta pengalaman peribadinya menerusi drama vertikal terbaharu berjudul Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa yang akan ditayangkan secara eksklusif di platform TikTok dan Facebook rasmi beliau bermula 19 Februari 2026, jam 10.00 malam. Drama 15 episod ini mengangkat kisah realistik dunia makanan dan minuman (F&B) di Malaysia dengan penekanan terhadap isu penerimaan saudara baharu, persepsi masyarakat serta cabaran mempertahankan kejujuran dan integriti dalam dunia perniagaan.
Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa mengisahkan perjalanan seorang lelaki mualaf bernama Ah Seng yang dilakonkan oleh Adam Corrie, yang memilih untuk membawa diri jauh daripada keluarganya demi membina kehidupan baharu. Dia membuka gerai Pan Mee sebagai sumber rezeki, namun terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk tentangan keluarga, persepsi masyarakat dan konflik nilai dalam perniagaan makanan. Watak bapanya yang berpegang teguh pada prinsip lama dan sukar menerima perubahan hidup anaknya dilakonkan oleh Kenji Sawahii, sekali gus menjadikan konflik kekeluargaan sebagai teras emosi utama drama ini. Sheila Mambo pula memegang watak Kak Wani, sahabat setia yang sentiasa memberi sokongan dan semangat, manakala Nam Ron membawakan watak Pak Long Rahman, figura berpengaruh yang banyak memberi pengajaran dan cabaran kehidupan kepada watak utama. Jesse Lim tampil sebagai Jason yang mencetuskan konflik dalam dunia perniagaan, sementara Izuan Razali memegang peranan sebagai Chef Farid yang mewarnai elemen persaingan dan profesionalisme dalam dunia kulinari. Kehadiran Wan Gegau sebagai juri pertandingan masakan dan pengacara utama menambahkan elemen santai dan humor, manakala Adam Fateh Lee, anak kepada Adam Corrie, turut membuat penampilan istimewa dalam satu babak khas.
Antara elemen penting yang diketengahkan ialah pertandingan masakan “Halal Cookdown” yang menjadi simbol persaingan sihat dalam dunia kulinari serta menonjolkan kepentingan pematuhan halal dan etika penyediaan makanan. Babak ini menjadi titik penting dalam perkembangan konflik dan penyampaian mesej utama drama.

Drama ini merupakan arahan sulung Adam Corrie dengan kerjasama pengarah bersama Ollyn Khadir, manakala idea asal dan penerbitan diterajui oleh Puan Fazi Fuad yang membawa pengalaman sebenar dunia perniagaan dan masyarakat ke dalam naskhah ini. Walaupun diterbitkan khusus untuk platform digital, produksi ini mengekalkan standard setaraf drama televisyen dengan penggunaan peralatan profesional, tenaga produksi berpengalaman, elemen CGI serta sentuhan jurutera bunyi bagi memastikan mutu visual dan audio berada pada tahap terbaik. Drama ini turut mendapat kerjasama strategik daripada KopiHut, Aji-Ya dan Sentai yang mengukuhkan lagi nilai produksi serta kredibiliti kandungan.
Majlis pelancaran drama ini turut menyaksikan pelancaran produk terbaharu KopiHut iaitu Kopi 3 Dalam 1 yang kini boleh didapati di seluruh cawangan KopiHut di Malaysia. Produk ini diperkenalkan sebagai minuman berkualiti yang menepati citarasa pengguna dan selari dengan nilai kejujuran serta kualiti yang menjadi teras jenama tersebut.
Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa akan mula ditayangkan pada 19 Februari 2026, jam 10.00 malam di TikTok dan Facebook rasmi Adam Corrie. Majlis pelancaran drama ini akan berlangsung pada Isnin, 9 Februari 2026, dari jam 3.00 petang hingga 6.00 petang bertempat di Level 17, Hextar Tower, No. 1, Jalan SS7/26, 47301 Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Drama ini diterbitkan oleh Adam Corrie, diarahkan oleh Adam Corrie bersama Ollyn Khadir dan diterbitkan berdasarkan idea asal oleh Puan Fazi Fuad, dengan barisan pelakon terdiri daripada Adam Corrie, Kenji Sawahii, Sheila Mambo, Nam Ron, Jesse Lim, Ammar Alfian, Wan Gegau dan Izuan Razali serta kolaborasi strategik bersama KopiHut, Aji-Ya dan Sentai.