Suasana Meriah di Konsert Finale FEEL DA STARZ 2024

FEEL DA STARZ merupakan program realiti nyanyian yang mempertandingkan bakat-bakat nyanyian untuk komuniti Felda. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada komuniti Felda yang berbakat mengembangkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Setiap peserta yang menyertai pertandingan ini akan melalui proses penyingkiran di beberapa siri jelajah Felda sebelum mereka mara ke peringkat akhir. Tujuan utama program ini adalah untuk menyediakan platform mengilap bakat yang sedia ada disamping kejayaan mereka akan dapat merubah kehidupan sosio-ekonomi keluarga.

Setelah menjelajah 4 Wilayah FELDA – Segamat, Trolak, Jengka dan Sahabat, pihak penerbitan telah menyenaraikan 10 peserta yang layak dipertandingkan di Konsert Kemuncak Juara FEEL DA STARZ pada HARI PENEROKA FELDA 2024 di MAEPS, Serdang.

Suasana malam Konsert Finale Feel Da Starz bagi Hari Peneroka FELDA 2024 turut dimeriahkan lagi dengan kunjungan oleh YB Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi.

Naidatul Zamrizam Arsad atau lebih dikenali dengan panggilan Zam dari Wilayah Johor Bahru telah dinobatkan sebagai juara Feel Da Starz. Zam membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 selain menerima sebuah telefon bimbit Iphone Pro Max dari Umobile beserta sijil penghargaan dari Institut Semarak FELDA.

Manakala Naib Juara jatuh kepada Nurul Aini Shahira HariadiI atau lebih dikenali sebagai Allong dari
Felda Jengka 17, Wilayah Jengka yang membawa pulang RM7,000 dan di tempat ketiga pula disandang oleh Saiful Bahri Shamri atau Saif dari Felda Lurah Bilut, Wilayah Mempaga yang membawa pulang RM5,000. Masing-masing turut menerima sijil penghargaan dari Institut Semarak FELDA.

Dalam peringkat akhir itu, Konsert Feel Da Starz turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan dari Penyanyi Mawi, Siti Nordiana, Marsha Milan & Firman Siagian, serta dihoskan oleh Kak Lina Pom Pom yang sentiasa menghiburkan.

Bukan itu sahaja, semua finalis juga tidak pulang dengan tangan kosong dan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1000 beserta sijil penghargaan.