TGJ Entertainment mengumumkan bahawa Konsert Rentasmasa “Satu Evolusi Muzik” yang sepatutnya diadakan pada 31 Disember 2024, kini ditunda ke tarikh baharu iaitu 31 Januari 2025 (Jumaat) di ZEPP, Kuala Lumpur. Penangguhan ini dibuat berikutan bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Malaysia, serta sebagai tindak balas kepada amaran gelombang kedua banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Keputusan penangguhan ini adalah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak, serta sebagai tanda solidariti terhadap mangsa-mangsa banjir yang sedang berdepan dengan situasi sukar. Pihak penganjur bersama artis-artis yang terlibat dalam konsert ini juga turut memberikan sokongan moral kepada mereka yang terkesan oleh bencana alam ini.
Sebagai usaha meringankan beban mangsa banjir, Skuad Rentas Masa akan melancarkan misi bantuan dan bekerjasama dengan Wings Motor Gang Society (WMGS) untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga yang terjejas. Misi ini bertujuan untuk memastikan mereka yang memerlukan mendapat sokongan yang sewajarnya di waktu yang penuh cabaran ini.
Konsert ini akan menyaksikan persembahan luar biasa daripada empat ikon muzik tanah air iaitu Ziana Zain, Dato’ DJ Dave, Datuk Jeffrydin, dan Dato’ Awie. Gabungan bakat hebat ini menjanjikan sebuah pengalaman muzik yang merentasi zaman, menghidangkan peminat dengan lagu-lagu popular serta persembahan yang penuh emosi dan nostalgia.
Harga Tiket Baru dan Maklumat Pembelian
Untuk tiket konsert, berikut adalah harga baru yang telah ditetapkan:
- VIP Suite: RM7,777
- Grand VIP: RM338
- Platinum Seat: RM318
- Golden Seat: RM278
- Silver Standing: RM158
- Premium Seat: RM318
- Retro Seat: RM278
Harga tiket adalah tidak termasuk caj perkhidmatan RM4 dan caj perbankan. Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui laman web rasmi www.ilassotickets.com.
Pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat penangguhan ini dan berharap agar peminat terus memberikan sokongan. Sebarang maklumat lanjut mengenai konsert ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi TGJ Entertainment.