Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memikul tanggungjawab yang lebih aktif dalam memacu budaya inovasi negara melalui pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi bagi menghadapi cabaran masyarakat semasa. Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian menegaskan bahawa inovasi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik untuk menjamin kelangsungan dan daya saing negara dalam jangka panjang.
“Kita sedang memasuki era baharu yang menuntut lebih daripada sekadar ilmu pengetahuan. Kita perlu memiliki keupayaan untuk berinovasi, menyesuaikan diri serta menyumbang secara bermakna kepada masa depan negara,” ujar beliau. Menurutnya, IPT tidak boleh lagi dilihat sebagai institusi peperiksaan semata-mata, tetapi harus menjadi pusat pembinaan sahsiah, kecemerlangan intelektual dan hab inovasi negara. Penubuhan Unit Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Keusahawanan (RDICE) di setiap IPT adalah langkah strategik memperkukuh ekosistem inovasi yang mampan.

Beliau turut menekankan kepentingan model heliks kuintuple yang menggabungkan kerjasama antara akademia, industri, kerajaan, komuniti dan alam sekitar sebagai pemacu utama kepada pembangunan inovasi yang inklusif. “Program seperti Edu@Innovate dan Festival TVET bukan sahaja menjadi pentas pameran hasil inovasi, tetapi juga medan untuk mengangkat TVET sebagai pemangkin kreativiti dan pembangunan modal insan berdaya saing dalam era Revolusi Industri 4.0 dan 5.0,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Edu@Innovate, Festival TVET dan SEPAKAD 2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sempena penganjuran Mini FOI Putrajaya@Perak 2025. Dalam ucapannya, beliau turut menekankan bahawa pendidikan dan latihan TVET perlu dilihat sebagai laluan utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan teknousahawan masa hadapan. “TVET bukan lagi pilihan kedua. Ia membentuk pelajar dengan kemahiran teknikal, analitikal dan kepimpinan serta menyokong pembangunan ekosistem inovasi negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, Edu@Innovate 2025 menjadi platform dinamik yang menghimpunkan pelbagai inovasi pendidikan daripada pelbagai latar belakang peserta termasuk institusi pendidikan tinggi, sekolah, agensi kerajaan, industri dan delegasi antarabangsa. “Lebih 300 peserta dalam dan luar negara serta 30 agensi dan industri turut serta, menjadikan program ini sebagai bukti pendekatan menyeluruh UPSI dalam memperkasa inovasi pendidikan negara,” ujar beliau.
UPSI juga menjadi penganjur pertama Mini FOI di luar Putrajaya, dengan kerjasama Yayasan Perak, Institut Darul Ridzuan, UiTM Cawangan Perak dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)Majlis turut menyaksikan simbolik penyerahan dokumen kerjasama antara UPSI dan 12 agensi serta pihak industri dengan nilai kerjasama melebihi RM10 juta, memperlihatkan kepentingan jaringan strategik dalam memperkukuh program universiti. Mengulas lanjut, Prof. Md Amin menyatakan bahawa UPSI komited menyumbang kepada penyelesaian isu-isu sosio-ekonomi melalui pendekatan inovasi berasaskan penyelidikan dan keterlibatan komuniti.
“Inovasi bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu. Ia turut melibatkan nilai, etika dan impak kepada masyarakat secara holistik selaras dengan aspirasi negara untuk membentuk masyarakat MADANI yang berteraskan kemajuan dan belas ihsan,” jelas beliau. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan, Dr. Maisarah Ahmad dan Pengarah Akademik & Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus.