SSM e-Info 3.0 & Program Ganjaran Digital Diperkenal Secara Rasmi

Raffcomm Technologies Sdn. Bhd. (RAFFTECH), penyedia perkhidmatan digital utama yang dilantik secara rasmi oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hari ini melancarkan Aplikasi Mudah Alih SSM e-Info Versi 3.0 dan Program Ganjaran Digital baharu dalam satu majlis di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Menurut Pengerusi Eksekutif RAFFTECH, YBrs. Datuk Md. Afendi Hamdan, pelancaran ini menandakan satu lagi langkah strategik ke arah memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital di Malaysia. “Sejak lebih 19 tahun, SSM e-Info menjadi pintu utama rakyat dan komuniti perniagaan untuk mengakses maklumat korporat yang sah dan dipercayai. Hari ini, kami melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan ekosistem ganjaran digital yang memanfaatkan setiap transaksi pengguna,” katanya.

Menggunakan tema “Beli, Kumpul, Tebus”, aplikasi baharu ini tampil dengan reka bentuk lebih moden, navigasi yang mesra pengguna dan ciri-ciri terkini yang mempercepatkan carian maklumat. Aplikasi SSM e-Info kini lebih responsif dengan antaramuka intuitif yang memudahkan pengguna menelusuri data perniagaan, memuat turun sijil dan dokumen rasmi secara waktu nyata.

SSM e-Info 3.0 juga memperkenalkan sistem ganjaran mata terkumpul yang sah selama enam bulan dan boleh ditebus melalui aplikasi tersebut. Ganjaran ini direka untuk memberi lebih nilai kepada pengguna aktif yang kerap berurusan dengan maklumat korporat.

Aplikasi mudah alih ini, tersedia di Apple App Store dan Google Play Store, menyasarkan pengguna profesional seperti ahli perniagaan, pelabur dan pengamal undang-undang yang memerlukan akses segera kepada data syarikat yang sah di sisi undang-undang.

“Pengguna hari ini mahukan lebih daripada sekadar maklumat. Mereka inginkan kemudahan, kepantasan dan nilai dalam setiap interaksi digital. Justeru, aplikasi ini dibangunkan semula sepenuhnya bagi memenuhi jangkaan pengguna moden,” tambah Md. Afendi.

Sejak penubuhannya pada tahun 2006, SSM e-Info terus menjadi portal rasmi utama untuk mendapatkan maklumat syarikat yang diperakui, termasuk fungsi e-dompet pertama yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi urusan pembelian maklumat secara mudah alih.

Menariknya, portal ini juga merupakan satu-satunya perkhidmatan dalam talian SSM yang menyediakan dokumen Digital Certified True Copy (DCTC) menerusi Certification Authority (CA) dalaman yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Ini memastikan ketulenan dan integriti dokumen yang dikeluarkan.

Untuk maklumat lanjut dan semakan perkhidmatan terkini, orang ramai boleh melayari laman rasmi di www.ssm-einfo.my.