“SILA – SILA KE MELAKA” TANDA LANGKAH BAHARU PENYANYI KELAHIRAN MELAKA, SITI HALIJAH

Penyanyi berbakat kelahiran Melaka, Siti Halijah tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul “Sila-Sila Ke Melaka”, sebuah lagu yang membawa semangat cinta kepada tanah bersejarah itu. Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer juga berasal dari Melaka, Anwar Jaapar, atau lebih dikenali dengan nama Cik Mai.

Siti Halijah sebelum ini dikenali sebagai bekas anggota Kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan pernah menyertai Pertandingan Idola Bandaraya Antara Bandaraya Se-Malaysia pada tahun 2011. Beliau juga pernah merakamkan lagu raya berjudul Cinta Lebaran bersama ratu irama tradisional Noraniza Idris sebagai sebahagian daripada kumpulan Akasia.

Menariknya, lagu “Sila-Sila Ke Melaka” pernah dipersembahkan oleh Siti Halijah dalam pertandingan tersebut, dan berjaya meraih gelaran Juara di samping memenangi kategori Anugerah Lagu Terbaik PBT Se-Malaysia. Kejayaan itu menjadi pencetus kepada usaha merakam semula lagu tersebut dengan susunan baharu untuk pasaran digital.

“Lagu Sila-Sila Ke Melaka adalah sebuah karya istimewa yang membawa tema pelancongan sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia yang bakal dilancarkan pada September 2025 di Melaka. Saya rasa inilah waktu yang paling sesuai untuk melancarkannya secara rasmi,” ujar Siti Halijah.

Versi baharu lagu ini hadir dengan susunan muzik yang lebih segar dan kontemporari hasil sentuhan Amy Bong. Liriknya pula digubah dengan elemen budaya dan sejarah tempatan melalui frasa seperti “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat”, menggambarkan kekayaan warisan dan nilai sejarah Bandaraya Melaka yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Penerbitan lagu ini bukan sahaja menandakan fasa baharu dalam kerjaya Siti Halijah, tetapi juga diharap dapat menjadi medium promosi yang berkesan dalam menarik kedatangan pelancong ke Melaka, tidak kira musim cuti mahupun hari biasa.

Lagu “Sila-Sila Ke Melaka” diterbitkan oleh Luncai Emas yang turut bertindak selaku pemegang hak cipta dan pengedar digital rasmi. Video muzik rasmi lagu ini juga telah dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas, manakala versi audio boleh distrim di semua platform digital utama.

Diharapkan lagu ini mendapat sambutan yang baik daripada para pendengar, masyarakat Malaysia serta sokongan berterusan daripada rakan media, radio dan televisyen. Mana lagi? Melaka ler…