Home / News / Konsert “Rasi Jiwa” Bukti Ghea Indrawari Tidak Perlukan Gimik Untuk Menyentuh Hati

Konsert “Rasi Jiwa” Bukti Ghea Indrawari Tidak Perlukan Gimik Untuk Menyentuh Hati

Malam penuh emosi berjaya dicipta oleh Ghea Indrawari menerusi konsert solo pertamanya di Malaysia menerusi “GHEA INDRAWARI: RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur” yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur. Persembahan tersebut bukan sahaja menjadi pertemuan pertama bersama peminat Malaysia, malah turut membuktikan kekuatan sebenar muzik Ghea yang sangat dekat dengan emosi pendengar.

Lebih 1,200 peminat memenuhi ruang dewan bagi menyaksikan penyanyi Indonesia itu tampil secara langsung. Sejak awal persembahan, suasana sudah terasa cukup intim apabila penonton menyanyikan hampir setiap lagu bersama-sama tanpa henti.

Konsert dimulakan dengan lagu “Rasa Cinta Ini” sebelum diteruskan dengan beberapa karya popular lain seperti “Malaikat”, “Bucketlist” dan “Terima Kasih Sudah Bertahan”. Setiap lagu disampaikan dengan penuh penghayatan sehingga membuatkan ramai penonton hanyut dalam emosi yang dibawa.

Walaupun tampil dengan produksi yang tidak terlalu besar, keseluruhan persembahan tetap berjaya meninggalkan kesan mendalam. Kekuatan utama konsert tersebut jelas terletak pada vokal lembut Ghea serta kejujuran emosi yang disampaikan sepanjang malam.

Sistem pencahayaan yang digunakan turut membantu menghidupkan suasana setiap segmen persembahan. Permainan warna lampu yang lembut dan minimalis menjadikan mood konsert terasa lebih puitis, terutama ketika lagu-lagu balada dipersembahkan.

Dari aspek audio, konsert tersebut tampil dengan kualiti bunyi yang sangat baik. Setiap instrumen dapat didengar dengan jelas tanpa mengganggu karakter vokal Ghea yang lembut dan rapuh. Susunan muzik langsung juga kedengaran cukup kemas sepanjang persembahan berlangsung.

Salah satu momen paling diingati tentunya ketika Ghea membacakan surat buat dirinya yang lebih muda sebelum mempersembahkan lagu “Masa Mudaku Habis” dan “Berdamai”. Dalam suasana dewan yang hampir sunyi, setiap patah kata yang diucapkan terasa sangat dekat dengan hati penonton.

Selain segmen emosional, konsert turut dihidupkan dengan lagu-lagu yang lebih rancak seperti “Oh Tuhan!”, “1000X”, “Tadi Malam” dan “Kamu Anggap Apa”. Penonton kembali bersorak dan bernyanyi bersama, sekali gus mengimbangi perjalanan emosi sepanjang malam.

Kemuncak sebenar konsert tentunya hadir ketika lagu “Teramini” dan “Jiwa Yang Bersedih” dimainkan. Seluruh dewan bergema dengan nyanyian peminat yang jelas menghayati setiap lirik lagu tersebut.

Konsert akhirnya melabuhkan tirai menerusi lagu “Manusia Paling Bahagia” selepas hampir dua jam berlangsung. Persembahan itu membuktikan bahawa Ghea Indrawari mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyampaikan emosi secara jujur, sekali gus menjadikan “Rasi Jiwa” antara konsert paling menyentuh hati tahun ini.

Tagged: