Selepas setahun mencipta fenomena tersendiri dalam arena M-Pop tempatan, kumpulan sensasi ALPHA bakal meraikan satu lagi detik penting dalam perjalanan seni mereka menerusi pelancaran album studio penuh pertama yang dinanti-nantikan peminat berjudul “The First Wave”.

Lebih istimewa, pelancaran album ini diadakan bersempena ulang tahun pertama penubuhan ALPHA dan berlangsung pada 14 Jun 2026 di Pavilion Damansara Heights. Acara tersebut bukan sahaja menjadi medan memperkenalkan album sulung mereka kepada umum, malah menjadi platform untuk ALPHA meraikan perjalanan setahun yang penuh bermakna bersama para peminat yang sentiasa menyokong mereka sejak hari pertama.

Dianggotai oleh Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky, ALPHA terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan lelaki paling menonjol dalam industri hiburan tempatan menerusi identiti muzik yang segar, persembahan bertenaga serta sokongan peminat yang semakin berkembang dari hari ke hari.

“The First Wave” merupakan album studio penuh pertama ALPHA sejak bernaung di bawah Rocketfuel Entertainment dan menjadi simbol kepada perkembangan, kematangan serta evolusi muzik mereka sepanjang tahun pertama dalam industri. Mengandungi 12 trek, album ini menghimpunkan pelbagai genre dan warna muzik yang mencerminkan kebolehan serta identiti unik kumpulan tersebut.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini termasuk “Mona Lisa (Bang Bang)”, “P. Ramlee Saloma”, “Bujang”, “Tiada Pengganti” serta single hit terkini mereka, “Gelato” yang mendapat sambutan hangat daripada peminat. Menerusi pengumuman di platform media sosial rasmi ALPHA, peminat juga bakal disajikan dengan beberapa karya baharu seperti “Mahkota Cinta”, “Gerak”, “Roman Empire”, “Dia” yang menampilkan AG Coco serta beberapa lagi lagu yang dijangka menjadi kegemaran ramai.

Salah satu karya yang paling mencuri perhatian sejak diumumkan ialah “Burn It Down”, sebuah lagu yang dirakamkan di Korea Selatan ketika ALPHA menjalani latihan intensif menerusi program “ALPHA Dreams Unlocked: Seoul Chapter” yang boleh ditonton di Astro GO. Lagu tersebut mendapat sentuhan komposer antarabangsa Daniel Caesar dan Candace Sosa yang pernah menghasilkan karya untuk beberapa nama besar K-Pop termasuk BTS, TOMORROW X TOGETHER dan ENHYPEN.

Pengalaman berharga di Seoul bukan sahaja memberi peluang kepada ALPHA memperkasa kemampuan mereka, malah membuka ruang untuk mereka bekerjasama dengan tenaga kreatif bertaraf antarabangsa dalam menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan kompetitif.

Menurut Daniel Sher, album ini merupakan hadiah paling bermakna buat peminat yang sentiasa bersama ALPHA sepanjang tahun pertama mereka. Beliau menyifatkan “The First Wave” sebagai simbol kepada segala usaha, pengorbanan dan kenangan yang telah dilalui bersama anggota kumpulan sepanjang perjalanan mereka dalam industri.

Sementara itu, Izat Ibrahim berkata album tersebut memperlihatkan sisi ALPHA yang lebih matang serta kepelbagaian daripada segi muzik. Katanya, setiap lagu membawa identiti dan emosi yang berbeza selain menampilkan eksperimen pelbagai genre yang memperkenalkan sisi baharu ALPHA kepada peminat.

Ray-D pula menyifatkan album ini sebagai rakaman perjalanan mereka sebagai sebuah kumpulan, termasuk impian yang sedang dikejar serta hubungan yang dibina bersama peminat sepanjang setahun lalu. Justeru, mereka amat teruja untuk meraikan detik istimewa itu bersama para penyokong pada hari pelancaran album.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam menyifatkan pelancaran album ini sebagai satu pencapaian penting bukan sahaja buat ALPHA, malah untuk perkembangan industri muzik tempatan secara keseluruhan. Beliau percaya “The First Wave” merupakan manifestasi kepada dedikasi, disiplin dan kerja keras yang ditunjukkan oleh kumpulan tersebut sepanjang tahun lalu serta menjadi permulaan kepada lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Bersempena pelancaran album tersebut, ALPHA turut mengumumkan kolaborasi bersama Sooka sebagai duta jenama. Kerjasama ini membuka peluang kepada peminat menikmati pengalaman hiburan yang lebih dekat, eksklusif dan menyeluruh melalui pelbagai kandungan khas yang disediakan.

Mulai 15 Jun 2026, Sooka memperkenalkan Pelan Sooka x ALPHA pada harga RM34.90 untuk tempoh tiga bulan. Pelan ini menawarkan akses kepada sehingga 79 saluran hiburan, pelbagai siaran langsung, drama tempatan dan antarabangsa termasuk kandungan Korea dan Cina, rancangan realiti, program keluarga serta lebih 50 mikrodrama daripada pelbagai genre.

Pelanggan pelan tersebut turut berpeluang menikmati kandungan eksklusif ALPHA termasuk rakaman di sebalik tabir, temu bual khas serta muzik video kolaborasi Sooka dan ALPHA yang hanya boleh ditonton menerusi platform tersebut. Selain itu, pelanggan juga berpeluang memenangi sesi Meet & Greet eksklusif, sesi hangout bersama ALPHA serta album dan koleksi barangan rasmi kumpulan itu.

Dengan gabungan kandungan hiburan yang pelbagai serta akses eksklusif kepada ALPHA, Sooka tampil sebagai destinasi sehenti buat peminat yang ingin menikmati pengalaman hiburan lengkap pada bila-bila masa dan di mana sahaja pada harga yang berbaloi.

Dalam perkembangan sama, pra-tempahan album dan barangan eksklusif ALPHA bagi sesi pertama yang dibuka pada 6 Jun lalu telah habis dijual. Sesi kedua yang melibatkan penghantaran ke seluruh Malaysia dan Singapura pula akan dibuka selepas 15 Jun 2026.

Album fizikal “The First Wave” dijual pada harga RM89.90 manakala pakej bundle eksklusif yang mengandungi album fizikal, t-shirt, stokin, topi dan beg tote ditawarkan pada harga RM249.90.

Pelancaran album “The First Wave” dianjurkan oleh Rocketfuel Entertainment dengan kerjasama Pavilion Damansara Heights serta disokong oleh Munchy’s Cream-O, Emina dan TikTok LIVE. Orang ramai serta peminat dijemput untuk terus mengikuti semua platform media sosial rasmi ALPHA bagi mendapatkan perkembangan terkini dan pengumuman penting berkaitan aktiviti kumpulan tersebut.