Minggu ketiga pertandingan Calpis Soda One In A Million menyaksikan peserta diberi cabaran luar biasa apabila perlu membawakan lagu yang jauh di luar zon selesa mereka. Sarah Ismail, guru vokal program ini, mengulas bahawa kebanyakan peserta yang sinonim dengan genre ballad terpaksa menyampaikan lagu bergenre catchy dan pantas, sesuatu yang bukan kekuatan mereka. “Mereka ini penyanyi ballad yang hebat, tetapi kali ini mereka perlu menguasai lagu yang tidak familiar. Walaupun rehearsal nampak lancar, persembahan langsung mendedahkan kelemahan mereka,” katanya.
Sarah turut menasihati peminat agar tidak meletakkan harapan terlalu tinggi. “Penyanyi yang berbakat bukan bermaksud boleh menyampaikan semua jenis lagu dengan sempurna. Selain menyanyi, mereka juga perlu belajar menari dan melengkapkan persembahan. Mereka ini masih baru dan memerlukan masa untuk berkembang,” tegasnya.
Minggu ini juga mencuri perhatian apabila Sarah menegur tegas Rezza Shah kerana masalah disiplin. “Masa top 20, kita berusaha keras untuk pilih awak, tapi bila dah masuk, gaya macam tak nak. Itu yang mengecewakan saya,” ujar Sarah. Teguran tersebut diberikan kerana Rezza lewat hadir ke latihan, tidak mengikuti sesi pemanasan suara, dan gagal membawa bahan keperluan kelas. Namun, teguran itu berkesan apabila Rezza mula menunjukkan peningkatan ketara selepasnya. Sarah menambah, “Kadang-kadang teguran keras perlu untuk menyedarkan mereka. Disiplin adalah kunci untuk berjaya.”
Sarah juga memuji pandangan juri profesional yang memberikan perspektif baru dalam proses pembelajaran peserta. “Komen juri sangat membantu, ada perkara yang saya tak perasan semasa latihan, tetapi disentuh oleh juri,” katanya. Beliau turut memuji konsistensi Mariam dan Marygrace yang bebas daripada masalah teknikal, seperti yang disebut oleh Datuk Yusry. Bahkan, Mariam digelar ‘intellectual singer’ oleh Ernie kerana sentiasa membawa kelainan dalam setiap persembahan.
Minggu keempat bakal menjadi ujian besar buat peserta dengan tema Sinergi Muzik, di mana mereka perlu menyampaikan gabungan lagu dengan harmoni. Sarah menjelaskan, “Lagu gabungan memerlukan kefahaman mendalam terhadap struktur lagu. Ini bukan tugasan mudah, tetapi ia akan menentukan kemampuan sebenar peserta.” Antara peserta yang dijangka menghadapi cabaran besar adalah Kai Deva, Rezza, dan Zazzleen.
Dengan hanya lapan peserta yang tinggal – Rezza Shah, Mariam, Alya Mardien, Kai Deva, Zazzleen, Marygrace, Jimi, dan Eylia Guntabid – persaingan semakin sengit. Undian penonton memainkan peranan penting dengan 40% markah ditentukan melalui undian, sementara 60% lagi bergantung pada keputusan juri profesional.
Saksikan persembahan hebat peserta setiap Ahad, jam 9.00 malam, secara langsung di TV3 atau strim dalam HD di Tonton. Jangan lepaskan peluang untuk turut serta dalam pertandingan ini dan berpeluang memenangi hadiah utama berupa sebuah PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000!
Untuk sorotan eksklusif, ikuti Calpis Soda One In A Million: Fizz Journal setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam. Kekal bersama kami di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk berkongsi keterujaan anda. Persaingan semakin sengit, siapa yang akan mara ke minggu seterusnya? Teruskan sokongan anda untuk mencipta fenomena luar biasa ini!