Sam, vokalis utama kumpulan pop punk popular Malaysia, Bunkface, kini membuka lembaran baharu dalam karier seninya dengan muncul sebagai artis solo di bawah nama SAMSOL. Menerusi pelancaran single pertamanya berjudul “BORAK”, SAMSOL tampil dengan karya yang menyentuh isu penting dalam hubungan komunikasi terbuka dan kejujuran antara pasangan.
“BORAK” yang kini boleh distrim di semua platform digital membawa gabungan melodi pop yang mudah diingati dengan lirik yang dekat dengan kehidupan seharian. Lagu ini menggambarkan kisah pasangan suami isteri atau kekasih yang sedang menempuh pelbagai cabaran hidup, dengan mesej bahawa kejujuran dalam perbualan mampu mengukuhkan ikatan cinta mereka.
Menurut SAMSOL, inspirasi menulis lagu ini datang daripada pengamatan terhadap hubungan jangka panjang yang sering kali terjejas akibat kurangnya komunikasi ikhlas. “Saya tulis ‘BORAK’ sebab saya rasa sangat penting untuk pasangan, terutama yang sudah lama bersama, untuk terus bercakap secara jujur dan terbuka. Kadang-kadang, borak yang paling simple pun boleh buat hubungan terus kuat,” katanya.
Walaupun dikenali dengan suara dan persembahan bertenaga bersama Bunkface, menerusi “BORAK” SAMSOL memperlihatkan sisi lebih peribadi dan reflektif, menyentuh isu cinta dan realiti rumah tangga yang jarang dibicarakan secara terbuka dalam muzik arus perdana.
Dengan pelancaran lagu ini, SAMSOL dilihat memulakan fasa baharu yang lebih matang dalam kerjaya muziknya. Beliau tetap mengekalkan elemen pop yang catchy dan digemari ramai, namun kini dengan naratif yang lebih mendalam dan penuh keikhlasan.
Dengarkan “BORAK” di sini: https://samsol.lnk.to/BORAK