Peminat muzik dari Malaysia dan Indonesia bakal disajikan dengan sebuah malam penuh emosi, melodi dan cinta apabila Festival Tentang Cinta mengambil alih pentas megah Sabah International Convention Centre (SICC) pada 9 Ogos 2025. Dianjurkan oleh Extreme Visionary Venture, festival ini menandakan satu langkah besar dalam menyatukan artis-artis serantau menerusi persembahan secara langsung yang dijangka menggamit hati penonton kedua-dua negara.
Festival Tentang Cinta menampilkan dua nama besar dari Indonesia iaitu Andmesh Kamaleng dan Ziva Magnolya, yang akan mendendangkan lagu-lagu cinta yang telah menjadikan mereka ikon dalam industri muzik tanah air mereka. Turut menghangatkan suasana adalah barisan artis terkenal Malaysia seperti Hael Husaini, Adira Suhaimi, Ara Johari dan penyanyi Filipina, Mary Grace, menjadikan festival ini satu pengalaman muzik pelbagai budaya yang unik dan menyentuh jiwa.
Pengarah Urusan Extreme Visionary Venture, Julianah Ishak, menyatakan rasa teruja terhadap penganjuran kali pertama konsert berskala besar ini di Sabah. Beliau percaya bahawa Festival Tentang Cinta akan mendapat sambutan luar biasa, bukan sahaja daripada peminat muzik di Sabah, tetapi juga dari seluruh Malaysia dan negara jiran. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara ini dan berharap ia akan mencipta kenangan manis buat semua yang hadir.
Bagi penyanyi muda berbakat Ziva Magnolya, ini merupakan kunjungan pertamanya ke Sabah dan beliau tidak sabar untuk beraksi di hadapan peminat di Kota Kinabalu. Katanya, peluang yang diberikan menerusi festival ini amat dihargai dan beliau mengajak semua peminat untuk hadir menyokong persembahan mereka. Manakala Andmesh Kamaleng, yang pernah ke Sabah sebelum ini, menganggap festival ini sebagai ruang untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan serantau melalui muzik. Beliau berjanji akan memberikan persembahan terbaik yang penuh semangat dan kenangan.
Festival ini turut mendapat sokongan padu daripada Tourism Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif memacu industri pelancongan domestik menerusi penganjuran acara hiburan bertaraf antarabangsa. Dengan gabungan artis berkaliber dan lokasi berprestij, festival ini dijangka menjadi salah satu acara muzik paling dinantikan di Malaysia tahun ini.
Tiket untuk Festival Tentang Cinta telah mula dijual menerusi platform dalam talian www.ticket2u.com.my. Harga tiket bermula daripada RM158 untuk kategori Silver, RM288 (Gold), RM488 (VIP) dan RM988 bagi peminat yang ingin menikmati pengalaman eksklusif di zon VVIP.
Pada 9 Ogos nanti, irama cinta akan bergema dari pentas SICC, menyatukan dua negara, enam penyanyi hebat dan ribuan peminat yang berkongsi satu bahasa universal muzik.