S P Setia catat jumlah jualan RM1.67 bilion

S P Setia catat jumlah jualan RM1.67 bilion

S P Setia Berhad (S P Setia) mencatat jumlah jualan sebanyak RM1.67 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, sekali gus meletakkannya dalam landasan bagi mencapai sasaran jualan RM4 bilion pada tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Choong Kai Wai memaklumkan, dalam tempoh sama, pemaju hartanah terkemuka tempatan itu turut memperoleh keuntungan sebelum cukai berjumlah RM253.4 juta berbanding hasil pendapatan sebanyak RM1.89 bilion.

Beliau berkata, projek tempatan menyumbang RM1.38 bilion atau kira-kira 83 peratus daripada jualan, manakala baki RM294 juta disumbangkan terutamanya daripada jualan antarabangsa.

“Perlu diingat bahawa RM272 juta inventori yang siap telah dijual dan RM559 juta tempahan telah diperoleh dalam tempoh semakan ini.

“Walaupun berdepan cabaran meliputi kos bahan binaan yang tinggi, kekurangan buruh, kitaran naik kadar faedah dan tekanan inflasi, bakal pembeli rumah masih mencari kediaman bertanah di kawasan bandar yang sedang membangun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Kai Wai, ia merupakan petanda baik bagi SP Setia yang terkenal dengan perbandaran berkualiti yang mengutamakan kemudahan.

“Ramai pembeli berpotensi menyedari kepentingan memiliki rumah yang melengkapkan gaya hidup norma baharu mereka.

“Pengecualian duti setem 100 peratus yang diumumkan untuk pembeli rumah pertama bagi hartanah berharga RM500,000 dan ke bawah melalui inisiatif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia (i-MILIKI) akan membantu mempercepatkan pemulihan pasaran hartanah,” katanya.

Jelas beliau, bagi suku dalam tinjauan, SP Setia telah melancarkan nilai pembangunan kasar (GDV) hartanah berjumlah RM300.7 juta yang terdiri daripada rumah teres dua tingkat, berkembar dan banglo.

Katanya, kadar pengambilan fasa baharu di Setia Eco Templer adalah melebihi 90 peratus dan pelancaran lain yang berjaya juga berada di kawasan perbandaran seperti Setia Eco Glades.

“Usaha berterusan dilakukan untuk meningkatkan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus ke dalam peringkat konsep, reka bentuk dan pembinaan projek kumpulan berikutan peningkatan penekanan terhadap kelestarian dan pengurangan perubahan iklim.

“Contohnya, perkongsian strategik dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menyediakan kawasan kenderaan elektrik (EV) dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui kepada bakal pembeli rumah adalah sejajar dengan komitmen kumpulan untuk mempromosikan tenaga hijau dan mengurangkan pelepasan karbon.

“Selain itu, inisiatif pengurangan kos sedang digunakan merentasi operasi seluruh kumpulan selari dengan pelbagai kempen promosi bagi meningkatkan jualan dan membersihkan inventori yang tidak terjual,” katanya.

“Gangguan dua tahun ini juga membolehkan kami meneroka bidang pembangunan baharu untuk membantu skala perniagaan yang membolehkan kami membangunkan kecekapan baharu di seluruh kumpulan dan mempelbagaikan aliran pendapatan berpotensi baharu,” katanya.

Kai Wai memberitahu, kumpulan hartanah itu kini dipacu 47 projek yang sedang berjalan dengan baki tanah seluas 7,042 ekar.

“GDV berjumlah RM120.88 bilion setakat 30 Jun 2022 disokong oleh jualan belum dibi berjumlah RM8.71 bilion yang memberikan keterlihatan pendapatan dalam jangka pendek hingga pertengahan,” ujar beliau.

Sumber