ROZIANA CINDY KEMBALI DENGAN SINGLE EMOSI “TINGGALKAN LUKA”

Selepas kejayaan single “Paling Sejati” yang berjaya meraih hampir 150,000 penstriman di Spotify dan 300,000 tontonan di YouTube, penyanyi serantau berbakat besar, Roziana Cindy, kini kembali dengan sebuah karya yang lebih mendalam bertajuk “Tinggalkan Luka”.

Lagu ini merupakan hasil kolaborasi bersama komposer tersohor dari Indonesia, Ilham Baso, yang terkenal dengan lagu-lagu penuh emosi seperti Bukan Dia Tapi Aku dan Menjaga Jodoh Orang Lain. “Tinggalkan Luka” menyelami kisah tentang hati yang patah, keberanian untuk melepaskan, dan kekuatan untuk bangkit semula.

Dengan susunan muzik yang lembut serta vokal yang penuh emosi, lagu ini menonjolkan sisi Roziana yang lebih rapuh, reflektif dan menyentuh perasaan. Ia membawa mesej penyembuhan yang mendalam, melepaskan luka lama dan tidak membenarkan kesakitan masa lalu menentukan siapa diri kita.

“Saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dengan Ilham. Melodi dan emosi yang dibawa benar-benar memberi nyawa kepada lagu ini,” ujar Roziana, yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk projek ini.

Ilham pula memuji kekuatan vokal dan kejujuran Roziana dalam menyampaikan makna lagu ini. “Roziana punya suara yang membawa keikhlasan. Lagu ini tentang kehilangan dan harapan, dan saya percaya ramai yang akan rasa terhubung dengannya,” katanya.

Pelancaran single ini sekaligus menandakan fasa baharu Roziana dalam perjalanan seninya, memperkukuh kedudukannya dalam industri muzik serantau. “Tinggalkan Luka” memperlihatkan kematangan beliau dari segi emosi dan ekspresi artistik.

Single “Tinggalkan Luka” dilancarkan secara rasmi pada 25 April 2025 dan boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer. Video lirik rasmi turut dilancarkan pada hari sama di saluran YouTube rasmi Roziana Cindy.