Ringgit melonjak ke paras tertinggi 10 bulan

Ringgit melonjak ke paras tertinggi 10 bulan

RINGGIT melonjak ke paras tertinggi 10 bulan berbanding dolar AS. Foto hiasan.

RINGGIT melonjak ke paras tertinggi 10 bulan berbanding dolar AS. Foto hiasan.

RINGGIT melonjak ke paras tertinggi 10 bulan berbanding dolar AS berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan di Amerika Syarikat pada masa hadapan selepas data inflasi AS terkini menunjukkan arah aliran menurun.

Pada 9 pagi, ringgit menambah nilai sebanyak 270 mata asas kepada 4.3300/3350 berbanding dolar AS, paras terakhir dilihat pada April 2022, daripada 4.3570/3615 penutup Khamis.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS, penunjuk inflasi, adalah sejajar dengan jangkaan pasaran, pada 6.5 peratus tahun ke tahun.

Beliau berkata pasaran mentafsir ini sebagai isyarat bahawa inflasi adalah terkawal di Amerika Syarikat dan ini mungkin mendorong Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk memperlahankan kadar kenaikan kadar faedah pada separuh kedua 2023.

“Ramai yang kini meramalkan peningkatan 25 mata asas pada masa hadapan. Semua ini menunjukkan kepada penyusutan selanjutnya dolar AS dalam jangka pendek dan sederhana.

“Dengan inflasi dan kadar faedah yang lebih rendah, pelabur mencari alternatif pelaburan yang lebih menarik dan boleh menjual dolar AS untuk membeli aset yang lebih berisiko, seperti saham atau mata wang lain,” kata Diniz kepada Bernama.

Dari sudut teknikal, beliau berkata gandingan dolar AS-ringgit telah mula menembusi paras sokongan pada 4.3650 dan kemungkinan ia akan turun serendah 4.30 dalam beberapa hari akan datang.

Sementara itu, seorang penganalisis berkata angka ekonomi Malaysia yang positif, yang telah mendorong minat belian terhadap ringgit, turut disokong oleh pembukaan semula ekonomi China yang berterusan.

Dilaporkan inflasi China kekal sederhana dengan IHP meningkat sebanyak 1.8 peratus pada Disember berbanding tahun sebelumnya, lebih tinggi berbanding 1.6 peratus pada November, menurut Biro Perangkaan Kebangsaan.

Kadar inflasi negara itu berada pada 2.0 peratus pada 2022, di bawah unjuran rasmi sekitar 3.0 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik sedikit berbanding dolar Singapura menjadi 3.2751/2794 daripada 3.2764/2803 pada penutup semalam dan menyusut nilai berbanding euro kepada 4.6981/7035 daripada 4.6890/6938.

Ringgit turut lemah berbanding yen Jepun kepada 3.3480/3524 daripada 3.3242/3281 tetapi lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.2852/2913 daripada 5.3033/3088 pada penutupan Khamis. – Bernama

Sumber