Ringgit ditutup rendah, permintaan lebih baik terhadap dolar AS

Ringgit ditutup rendah, permintaan lebih baik terhadap dolar AS

Gambar hiasan - Foto 123RF

Gambar hiasan – Foto 123RF

RINGGIT terus ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan permintaan kukuh yang semakin meningkat terhadap mata wang negara maju itu susulan Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengekalkan kadar faedah pada tahap semasa, kata penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.6825/6850 berbanding dolar AS daripada 4.6785/6835 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran turut mempertimbangkan sama ada Fed akan mengubah pendiriannya susulan data Indeks Harga Pengguna teras AS yang lebih rendah.

“Walau bagaimanapun, dolar AS adalah lebih rendah berbanding beberapa mata wang utama iaitu euro Eropah dan Swiss Franc.

“Sentimen mungkin dipengaruhi oleh yen Jepun, yang kekal tertekan berbanding dolar AS walaupun kenyataan cenderung kepada kadar faedah tinggi oleh Gabenor Bank of Japan hujung minggu lepas,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik turun berbanding yen Jepun kepada 3.1769/1789 daripada 3.1742/1778 ketika ditutup pada Rabu dan rendah berbanding pound British kepada 5.8405/8436 daripada 5.8308/8370.

Ringgit juga lemah berbanding euro kepada 5.0234/0261 daripada 5.0200/0254.

Unit domestik juga didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara Asean lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4402/4423 daripada 3.4358/4400 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 304.9/305.2 daripada 304.3/304.8.

Unit tempatan hampir mendatar berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.26 daripada 8.24/8.26 semalam serta meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0792/0902 daripada 13.0809/1003. – Bernama

Sumber