Ringgit didagangkan antara 4.38-4.40 berbanding dolar AS

Ringgit didagangkan antara 4.38-4.40 berbanding dolar AS

RINGGIT dijangka diniagakan dalam jajaran RM4.38 hingga RM4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu hadapan kerana pelabur mempertimbangkan untuk mengurangkan pendedahan dolar AS bagi tempoh lama dalam mata wang negara-negara kumpulan G-10.

Ia berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan kemelesetan global, kata seorang penganalisis.

G10 adalah kumpulan negara maju, antara negara-negara anggotanya termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Perancis.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pengurangan pada kedudukan tempoh lama dolar AS mungkin akan memasuki ke pertukaran asing (FX) Asia dan mengukuhkan ringgit berbanding dolar AS.

Beliau berkata, peniaga menjangka berlaku kemelesetan, justeru pertumbuhan AS dan data ekonomi akan terus berada di bawah tumpuan pasaran.

“Memandangkan peniaga kini menetapkan harga dala kemelesetan, kadar faedah Rizab Persekutuan AS (US Fed) untuk akhir 2023 dan 2024, mula ditetapkan lebih rendah dan pasaran menjangkakan tiada kenaikan 75 mata asas kenaikan kadar AS pada Julai.

“Ini akan menjadi kurang menguntungkan untuk dolar AS. Saya rasa itu juga boleh menyebabkan dolar-ringgit AS bergerak lebih rendah berikutan kelemahan dolar AS. Justeru, ringgit boleh mengukuh.

“Selain itu, saya berpendapat bahawa pengurangan kadar faedah oleh China memberi isyarat bahawa negara itu akan membuka semula ekonomi, saya menjangkakan ringgit didagangkan pada paras lebih baik dan bergerak ke paras RM4.38, jadi saya mengunjurkan jajaran antara RM4.38 hingga RM4.40 (berbanding dolar AS) minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Innes berkata, jika data ekonomi AS kembali pulih, ia boleh menghentikan aliran menaik pertukaran asing Asia.

Bagi minggu baru berakhir, pergerakan ringgit berbanding dolar AS dipengaruhi oleh yuan China dan kebimbangan terhadap kemelesetan global. Komen Fed AS mengenai mengurangkan tekanan harga, jangkaan pembukaan semula ekonomi di Shanghai dan pengurangan kadar faedah oleh China turut memainkan peranan.

Bagi asas mingguan, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang AS pada 4.3870/3910 pada Jumaat berbanding 4.3980/3995 minggu sebelumnya.

Unit tempatan didagangkan rendah berbanding kumpulan mata wang utama pada asas Jumaat ke Jumaat.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1845/1879 daripada 3.1482/1497 minggu sebelumnya dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.4732/4782 daripada 5.3568/3586 minggu lepas.

Unit tempatan turun berbanding euro kepada 4.6445/6488 daripada 4.5625/5640 dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.4236/4270 daripada 3.4127/4142 sebelumnya.

Pasaran akan ditutup pada Isnin sempena sambutan Hari Wesak. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber