Penarafan IASA kukuhkan hab penerbangan Malaysia

Penarafan IASA kukuhkan hab penerbangan Malaysia

KUALA LUMPUR – Peserta industri penerbangan memuji usaha kerajaan susulan pengembalian penarafan Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) Malaysia kepada Kategori 1 oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).

Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan menjelaskan penarafan Kategori 1 akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan dan meningkatkan ketersambungan rangkaian negara.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah melakukan usaha yang sangat besar untuk memastikan penarafan IASA Kategori 1 Malaysia dikembalikan.

Beliau berkata, penarafan yang lebih baik itu akan membantu dalam usaha pemasaran MAHB untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan agar beroperasi di Malaysia, sekali gus meningkatkan ketersambungan rangkaian negara dan potensi hab.

“Ia sesuatu yang sungguh membanggakan memandangkan ini telah dilakukan ketika industri penerbangan negara masih berusaha menangani kesan selepas pandemik COVID-19.

“Pengembalian penarafan itu akan meningkatkan keyakinan global terhadap kualiti perkhidmatan navigasi udara kita,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, AirAsia menjelaskan pengembalian penarafan ini akan membuka lebih banyak peluang pengembangan rangkaian penerbangan jarak sederhana hingga jarak jauh pada masa hadapan terutama ke Amerika Syarikat (AS) dan negara Asia lain termasuk Jepun dan Korea yang memberi kelulusan kawal selia berdasarkan piawaian FAA.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, AirAsia Aviation Group Ltd, Bo Lingam berkata, pengumuman tersebut adalah tepat pada masanya memandangkan peningkatan permintaan terhadap perjalanan susulan kebangkitan semula industri selepas pandemik.

“Pengembalian penarafan keselamatan kepada Kategori 1 ini bukan sahaja membuka peluang untuk kami mengembangkan rangkaian penerbangan pada masa hadapan, malah akan menstabilkan industri penerbangan negara secara keseluruhan,” katanya.

Menurut AirAsia, pengembalian penarafan kepada kategori itu juga memberi peluang kepada Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang sedang berkembang, untuk meningkatkan perkhidmatannya kepada syarikat penerbangan serantau dan berpotensi untuk menyelenggara syarikat penerbangan antarabangsa yang lain.

AirAsia X adalah satu-satunya syarikat penerbangan dalam kumpulan itu yang beroperasi ke AS secara terus, ke Honolulu, Hawaii melalui Osaka, Jepun, tambahnya.

Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG) menyatakan keyakinan bahawa CAAM di bawah kepimpinan Kapten Chester Voon dan seluruh pasukan pengurusan, akan dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan keselamatan dan sekuriti penerbangan awam di Malaysia.

MAG adalah sebahagian daripada Pasukan Petugas yang telah dibentuk untuk mengenal pasti punca, pelan tindakan pembetulan dan langkah pembetulan sebagai tindak balas kepada penurunan penarafan pada 2019.

Sebelum itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan penarafan keselamatan udara Malaysia yang sebelum ini diturunkan oleh FAA, telah dikembalikan kepada Kategori 1 selepas kesemua 33 isu berbangkit dapat diselesaikan.

Beliau berkata isu yang ditimbulkan FAA pada 2019, sejak awal tidak berulang dan CAAM berjaya menyelesaikan 29 daripada isu berkenaan menerusi penilaian kedua FAA pada Disember tahun lepas, iaitu hanya dalam tempoh enam bulan.

Pada November 2019, Malaysia telah diberikan Kategori 2 dalam penarafan keselamatan udaranya di bawah program IASA oleh FAA kerana ketidakpatuhan terhadap piawaian keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). – Bernama

Sumber