Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) membuka pencalonan Anugerah Seni Negara (ASN) 2026, satu pengiktirafan tertinggi negara kepada tokoh seni yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan seni dan budaya Malaysia.
Pencalonan ini dibuka kepada orang ramai bermula 12 Mac hingga 11 Mei 2026, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk mencalonkan individu yang dianggap layak menerima penghormatan tersebut. Pencalonan boleh dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk individu, organisasi, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan.
ASN 2026 merangkumi lima bidang seni utama iaitu Seni Muzik, Seni Tari, Seni Lakon, Seni Kraf dan Seni Visual, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam memperkaya landskap seni dan budaya negara. Calon yang dicalonkan perlu mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 25 tahun dalam bidang masing-masing, selain masih aktif menghasilkan karya dan menyumbang kepada perkembangan industri seni.
Selain menghasilkan karya yang memberi impak kepada industri, calon juga dinilai berdasarkan peranan mereka dalam membimbing generasi baharu, mempamerkan kepimpinan dalam komuniti seni serta mencapai kecemerlangan yang diiktiraf di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa.
Bagi edisi kali ini, ASN 2026 akan memberikan tiga kategori anugerah utama iaitu Anugerah Seniman Negara, Anugerah Karyawan Seni dan Anugerah Pendukung Seni. Seorang penerima akan dipilih bagi Anugerah Seniman Negara, manakala lima penerima bagi Anugerah Karyawan Seni mewakili lima bidang seni yang ditetapkan.
Sementara itu, Anugerah Pendukung Seni pula akan diberikan kepada tiga organisasi atau individu daripada kategori media, korporat dan badan bukan kerajaan yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan sokongan terhadap industri seni negara.
Antara insentif yang ditawarkan termasuk wang tunai, trofi, watikah penghargaan serta pelbagai bentuk pengiktirafan lain yang mencerminkan penghargaan negara terhadap jasa tokoh seni yang telah mewarnai landskap budaya Malaysia.
Orang ramai yang ingin mencalonkan tokoh seni boleh mendapatkan borang pencalonan serta maklumat lanjut melalui laman web rasmi MOTAC sebelum tarikh tutup pada 11 Mei 2026.