Teka-teki barisan finalis bagi Anugerah Juara Lagu ke-40 akhirnya terungkai apabila 10 lagu terbaik berjaya meloloskan diri ke pentas akhir selepas tamat saingan Separuh Akhir yang berlangsung penuh sengit. Persaingan ini bermula dengan pemilihan 20 karya daripada 30 lagu terbaik carta Muzik-Muzik 40 sebelum dipersembahkan secara langsung dari Studio 1 Glenmarie pada 17 dan 18 April 2026, sekali gus menjadi medan penentuan bagi merebut tempat ke pentas berprestij AJL40.
Sepanjang dua malam separuh akhir, setiap persembahan dipamerkan dengan penuh komitmen dan penghayatan oleh para artis yang menampilkan kekuatan vokal serta penceritaan tersendiri. Keunikan setiap karya jelas terserlah, menjadikan persaingan semakin sengit dan sukar diramal. Di sebalik kemeriahan pentas, barisan juri profesional yang diketuai oleh Dato Acis bersama LY, Ad Samad, Siti Hajar dan Efry Arwis telah menjalankan penilaian secara teliti bagi memilih karya terbaik yang layak ke peringkat akhir.
Malam separuh akhir turut diserikan dengan gandingan hos Fiza Frizzy dan Sissy Iman, selain persembahan pembukaan oleh Zaki Yamani dan Ahmad Merrah pada malam pertama. Malam kedua pula dimeriahkan dengan kemunculan Kaka Azraff bersama Tuju yang berjaya membakar semangat penonton.
Berikut adalah senarai 10 lagu yang berjaya mara ke pentas akhir AJL40:
| No. | Lagu | Penyanyi | Komposer | Penulis Lirik |
|---|---|---|---|---|
| 1 | Lumangad Oku Dika | Ryenald Guntabid | Ryenald Guntabid | Ryenald Guntabid |
| 2 | Kamu | Aina Abdul | Aina Abdul | Aina Abdul |
| 3 | Cak Cak Cekuk | Wani Kayrie | Karim Karam, Shane Kennedy, Iqie Hugh | Karim Karam, Shane Kennedy, Iqie Hugh |
| 4 | Ke Mana Ni | Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik | Kmy Kmo, Luca Sickta | Kmy Kmo, Luca Sickta, Salam |
| 5 | Tak Adil | Aisha Retno | Aisha Retno & Radi | Aisha Retno |
| 6 | Tangisan Seorang Pendosa | Marsha Milan | Marsha Milan | Hazama |
| 7 | Semacam Pandora | Hazama | Hazama, Zimi, Genervie Kam & Ritz Metalasia | Zel Hadauan |
| 8 | Lemah | Dayang Nurfaizah | Hael Husaini | Hael Husaini |
| 9 | Nurcinta | Amir Masdi | Amir Masdi & Edry Abd. Halim | Amir Masdi & Edry Abd. Halim |
| 10 | Tiwikarma | K.O.I | Zai Hamzah & Hemo Globin | Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana, Sapik Sam |
Melangkah ke pentas akhir, AJL40 kini menghimpunkan karya terbaik daripada pelbagai generasi, sekali gus mencerminkan evolusi muzik tempatan yang terus berkembang. Disokong oleh platform digital seperti Xtra, Seismik dan OhBulan!, serta rakan radio Hot FM dan Kool FM, perjalanan menuju malam kemuncak dijangka terus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat muzik tanah air.
Dengan legasi empat dekad yang telah dibina, AJL40 bakal menjadi pentas penentuan siapakah yang akan mengukir nama sebagai juara seterusnya. Peminat boleh terus mengikuti perkembangan terkini dan menyertai perbualan menerusi tanda pagar rasmi #SFAJL40 dan #GenerasiSelamanyaJuara, menjadikan malam kemuncak ini antara acara paling dinanti dalam industri muzik Malaysia.



