Blog

  • Mask berkualiti tinggi Dr Morita

    Menggunakan tujuh varian antaranya ekstrak membran kulit telur, petola, licorice dan ekstra peria gunung

    DR MORITA, jenama topeng rawatan kecantikan wajah paling laris di Taiwan menampilkan pilihan yang lebih banyak kepada pengguna di Malaysia.

    Dengan kerjasama Guardian Malaysia, Dr Morita baru-baru ini melancarkan tujuh varian terbaharu dan paling laris menggunakan bahan-bahan menarik.

    Antaranya ialah ekstrak membran kulit telur, yis sake, biji coix (Job’s Tears), petola (luffa), licorice dan ekstra peria gunung.

    Ketua Pegawai Eksekutif Dr. Jou Biotech Co Ltd, Chunhsu Jou berkata, ia merupakan sebahagian daripada bahan-bahan unik digunakan ahasil gabungan kumpulan penyelidikan dan pembangunan terbaik.

    “Dr Morita merupakan jenama yang mempunyai warisan melebihi 85 tahun dalam bidang kecantikan. Syarikat Dr Morita amat mengutamakan penyelidikan dan pembangunan produk kecantikannya dan menjadikan Jepun sebagai pusat penyelidikan yang utama.

    “Dr.Morita merupakan pengeluar mask kecantikan berkualiti tinggi yang tiada tandingan. Ia menggabungkan konsep saintifik dan bahan-bahan semula jadi yang terbaik, amat disukai ramai dan menjadikannya jenama paling laris di Taiwan.

    “Sambutan daripada peminat Malaysia sangat baik dan amat menggalakkan. Oleh sebab itu, kami memperluaskan rangkaian produk kami bagi memenuhi keperluan pengguna. Kami amat menghargai sokongan yang diberi oleh Guardian Malaysia selama empat tahun ini,” katanya.

    VARIASI mask Dr Morita

    – Dr. Morita Tea Tree & Licorice Pore Refining Facial Mask 5s

    – Dr. Morita Luffa & Amino Acid Moisturizing Facial Mask 5s

    – Dr. Morita Anti-Oxidant Hydrating Facial Mask 5s

    – Dr. Morita Egg Shell Membrane & Sake Yeast Essence Moisturizing Facial Mask 5s

    – Dr. Morita Hyaluronic Acid & Sake Yeast Essence Moisturizing Facial Mask 5s

    – Dr. Morita Revitalizing Essence Facial Mask 5s

    – Dr. Morita Whitening Essence Facial Mask 5s



    Sumber

  • KUIPSAS sedia anjur #QuranHour

    KUIPSAS sedia anjur #QuranHour

    KUANTAN – Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima seramai mungkin peserta program Malaysia #QuranHour peringkat negeri Pahang pada 30 Ogos ini.

    Selaku tuan rumah, KUIPSAS dengan kerjasama Sekretariat Rumah Ngaji negeri Pahang komited memastikan program itu berjalan lancar dan mendapat sambutan.

    Rektor KUIPSAS, Profesor Madya Dr Mohd Zawawi Zainal Abidin berkata, segala persiapan siap sepenuhnya termasuk hebahan dan promosi.

    Menurutnya, KUIPSAS menyasarkan seramai mungkin peserta bagi memenuhi ruang masjidnya yang mampu menampung 3,000 peserta.

    “Insya-ALLAH, kita jangka masjid penuh pada hari berkenaan. Selain daripada peserta dijemput daripada pelbagai institusi termasuk pelajar tahfiz dan sekolah-sekolah berhampiran serta masyarakat sekitar, penuntut KUIPSAS juga akan menyertainya walaupun kebetulan tarikh berkenaan kebanyakan mereka sedang bercuti,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya cukup bangga apabila KUIPSAS diberi peluang untuk menjadi tuan rumah Malaysia #QuranHour peringkat negeri kali ini.

    “Sebenarnya kempen #QuranHour yang dicetuskan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) ini bukan baru bagi kami, sebaliknya KUIPSAS sentiasa turut serta dengan menganjurkannya di peringkat universiti.

    “Kali ini ia lebih bermakna kami berpeluang berperanan secara langsung selaku tuan rumah Malaysia #QuranHour peringkat negeri,” katanya.

    Menurutnya, pihak KUIPSAS juga komited dan bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada penganjuran #QuranHour pada masa akan datang.

    Dr Mohd Zawawi ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Malaysia #QuranHour peringkat negeri di KUIPSAS, Kuantan kelmarin.

    Dr Mohd Zawawi ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Malaysia #QuranHour peringkat negeri di KUIPSAS, Kuantan kelmarin.

    “Secara peribadinya saya melihat program berinteraksi dengan al-Quran ini cukup baik apatah lagi melalui pengisiannya yang fokus kepada penghayatan kepada surah-surah tertentu untuk difahami dan dihayati pengertiannya.

    “Pada masa sama, KUIPSAS juga komited untuk memperbanyakkan sambutan program-program keagamaan bagi menyemarakkan syiar Islam,” katanya.

    Beliau mengalu-alukan orang ramai ke Masjid KUIPSAS pada tarikh berkenaan bermula jam 10 pagi untuk turut serta.

    Sementara itu, Penyelaras Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, pihaknya meneruskan tradisi bersama menjayakan Malaysia #QuranHour 1440H/2019 yang bakal diadakan serentak di seluruh negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62.

    Menurutnya, sambutan Malaysia #QuranHour peringkat negeri Pahang kali ini akan dirasmikan Pemangku Timbalan Rektor (Akademik, Pengantarabangsaan, Inovasi dan Penyelidikan) KUIPSAS, Dr Effat Mokhtar.

    “Majlis turut diserikan dengan bacaan al-Quran oleh qari jemputan, Muhammad Izzan Idris dan pengtausiahnya, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni KUIPSAS, Dr Asmawi Abd Rahman.

    “Dalam konteks pengisian, memandangkan masa yang agak terhad kerana ia berlangsung pada hari Jumaat, jadi kita akan lebih memberi penekanan kepada bacaan 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir surah al-Kahf yang menjadi surah pilihan,” katanya.



    Sumber

  • JD Sports syurga fesyen sukan, jalanan

    JD Sports syurga fesyen sukan, jalanan

    MEMAHAMI kecenderungan generasi muda masa kini terhadap fesyen sukan dan jalanan jenama antarabangsa yang popular, butik JD Sports mengambil inisiatif melebarkan sayap di beberapa buah negeri.

    Selain berpangkalan di pusat beli-belah Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur, JD Sports turut beroperasi di gedung Mid Valley SouthKey (Johor Bahru, Johor), Sunway Carnival Mall (Pulau Pinang) dan Mahkota Parade di Melaka.

    Terbaharu, JD Sports yang mula menapak di Malaysia pada tahun 2016 telah melancarkan semula butik utama mereka di Mid Valley Megamall dengan menerapkan dekorasi moden dan ruang seluas 743 meter persegi.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif JD Sports SEA, Andre Loong, penambahan keluasan butik tersebut bertujuan menyuntik kepuasan dan keselesaan kondusif kepada pengunjung tatkala membeli-belah.

    “Sementara itu, pembukaan JD Sports di Johor Bahru pula adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat lokal memiliki seleksi pakaian dan kasut jenama Adidas, Nike, Lacoste, Vans dan Puma,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

    Pada majlis pelancaran tersebut, intipati acara dirancakkan lagi dengan pertunjukan fesyen yang menampilkan konsep unik apabila ekskalator bertindak sebagai pentas peragaan.

    Antara koleksi pakaian yang ditawarkan di JD Sports ialah The Nike’s Air Max 97, Puma RS-0 Trophy, JD Exclusive Puma XTG, Pink Soda Sport Longsleeve Tape Tee, Supply & Demand Rainbow Poly Hoodie dan Adidas Nite Jogger.



    Sumber

  • Khasiat tersembunyi paku rawan

    Khasiat tersembunyi paku rawan

    Tahukah Anda?

    PAKU rawan merupakan tumbuhan meliar di kawasan berair terutamanya di tepi parit dan sawah padi.

    BUNGA paku rawan mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan yang tidak diketahui ramai orang.

    BUNGA paku rawan mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan yang tidak diketahui ramai orang.

    Suatu ketika dahulu, masyarakat memetik pucuk muda dan bunganya untuk dijadikan masakan kerabu, masak pedas cili api, tumis paku rawan dan sebagainya.

    Pun begitu, paku rawan atau nama saintifiknya Limonocharis flava Buchenau dikategorikan sebagai tumbuhan akuatik yang berasal dari Amerika Selatan biasanya dipandang sepi oleh kebanyakan orang.

    Hal itu terjadi kerana persepsi yang menyatakan bahawa tumbuhan itu hanya sesuai untuk dijadikan makanan binatang ternakan. Selain itu, ia juga menjadi musuh kepada petani ekoran sifatnya yang membiak dengan cepat.

    Namun tahukah anda, paku rawan yang zahirnya dilihat tidak berguna mempunyai khasiat yang tidak diketahui umum.

    Kepada Sihat:Aktif, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman, Universiti Putra Malaysia, Dr Norazua Zakaria berkongsi hasil penyelidikannya.

    Ujar Dr Norazua, paku rawan mempunyai khasiat dari segi nutrisi terutama bahagian daun muda dan bunganya yang boleh dimakan.

    Selain itu, rumpai tersebut turut mempunyai khasiat membekalkan sumber tenaga, karbohidrat, protein, kalsium, magnesium, sodium, zink dan lain-lain lagi.

    Tumbuhan berkenaan turut memberi beberapa manfaat kesihatan lain. Antaranya ialah:

    1. Baik untuk sistem pencernaan

    Kandungan seratnya cukup tinggi dan baik untuk sistem pencernaan.

    2. Mengekalkan kesihatan jantung

    Bahan-bahan polifenol yang terkandung dalam paku rawan salah satunya antioksidan. Bahan tersebut boleh memusnahkan radikal bebas mengalir dalam darah yang mempunyai kaitan dengan kesihatan jantung.

    3. Pertumbuhan semula sel-sel

    Sel-sel dalam badan sentiasa berubah. Sel yang lama akan digantikan dengan baru dan lebih sihat. Kandungan protein yang terdapat dalam paku rawan penting untuk memproses dan membentuk sel-sel baru.

    BAHAGIAN daun muda dan bunga paku rawan boleh dimakan.

    BAHAGIAN daun muda dan bunga paku rawan boleh dimakan.

    4. Menambah tenaga

    Biasanya, keperluan tenaga kita diperoleh daripada makanan seperti beras, ubi dan lain-lain. Anda pasti tidak membayangkan khasiat paku rawan boleh menjadi sumber tenaga. Kandungan karbohidrat sebanyak 14.56 peratus menjadikan paku rawan boleh dijadikan sumber tenaga baik untuk badan.

    5. Sumber lemak baik (HDL)

    HDL mempunyai fungsi membersihkan lipid daripada lemak jahat (LDL) bagi mengurangi masalah kolesterol. Dengan kata lain, manfaat paku rawan sangat baik buat mereka yang mengalami kolesterol tinggi dalam darah.

    ANEKDOT

    MENGENAI Paku rawan:

    – Tergolong dalam keluarga limnocharitaceae atau alimastaceae.

    – Tumbuhan akuatik yang boleh mencecah ketinggian 20 hingga 100 sentimeter.

    – Berdaun lebar, batang bersegi, berongga di tengahnya, bunganya berwarna kuning dan buahnya berbentuk sfera.

    – Kecantikan bentuk paku rawan dijadikan sebagai tanaman hiasan antara faktor paku rawan masuk ke Asia.

    PAKU rawan tumbuhan akuatik yang berasal dari Amerika Selatan.

    PAKU rawan tumbuhan akuatik yang berasal dari Amerika Selatan.

    – Menjadi musuh kepada petani kerana paku rawan boleh menghalang aliran air semasa hujan dan menyebabkan kerosakan pada benih padi muda.

    – Mempunyai tahap kerintangan terhadap racun dalam kumpulan Acetohydroxyacid synthase. Untuk mengatasi masalah itu, paku rawan dicadangkan untuk menjadi tumbuhan berguna dengan meneroka potensinya dalam bidang perubatan ataupun dalam sektor pertanian.

    Khasiat lain:

    – Mengekalkan kekuatan gigi.

    Kalsium dan fosforus di dalamnya baik untuk kesihatan pergigian.

    – Meningkatkan daya tahan.

    Kandungan sebatian vitamin B1 berfungsi meningkatkan daya tahan.

    – Meremajakan kulit.

    Rumpai yang kaya dengan air memberi kelembapan dan mengatasi masalah kulit kering serta cerah secara semula jadi.

    – Baik untuk pesakit anemia.

    Khasiat besi yang terdapat pada bunga paku rawan membentuk dan memperbaiki sel darah merah dalam badan.

    – Membuang angin dalam badan.

    – Mempercepatkan proses penyembuhan luka pada badan.

    – Baik untuk kesihatan gigi dan tulang.

    Pun demikian, nilai nutrisi yang dianalisis tidak boleh menjadi kriteria eksklusif untuk menilai kepentingan bahagian tumbuhan.

    – Kajian klinikal perlu dijalankan bagi menentukan tahap keberkesanannya.

    Profil

    DR NORAZUA

    DR NORAZUA

    Dr Norazua Zakaria merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, Universiti Putra Malaysia.



    Sumber

  • Begitu besarnya rahmat apabila bangun sebelum subuh

    Begitu besarnya rahmat apabila bangun sebelum subuh

    PERASAN atau tidak, apabila menjelangnya waktu subuh, kepala kita akan terasa berat. Mata pula bagaikan ‘digam-gam’ seolah-olah sukar hendak celik. Badan pula terasa malas hendak bangun dan meninggalkan bantal dan selimut.

    Barangkali situasi itu pernah berlaku pada diri kita. Ya, itulah ‘ikatan’ syaitan yang cuba menghasut manusia supaya tidak bangun awal pagi dan solat Subuh.

    Namun, kita sebagai hamba-NYA perlu melawan segala belenggu itu untuk menunaikan kewajipan kepada Sang Pencipta. Mereka yang berjaya berbuat demikian layak digelar sebagai ‘pejuang subuh’.

    Sebenarnya, bangun awal pagi bukan sahaja untuk memudahkan segala urusan kerja dan rutin harian kita, malah ia dituntut dalam agama Islam. Rahmat ALLAH SWT dan keberkatan pagi akan turun buat hamba-NYA yang bangun awal pagi.

    Sebab itulah kita selalu dengar orang kata: “Jangan tidur lepas Subuh, nanti rezeki tak masuk.”

    Rupanya kata-kata itu memang ada perkaitan rapat dengan keberkatan pada waktu pagi.

    Kenapa waktu awal pagi begitu signifikan dalam Islam? Bilakah waktu yang terbaik untuk kita memperoleh keberkatan pagi dan rahmat ALLAH SWT?

    Doa Rasulullah SAW

    USTAZ FAUZI MUSTAFA

    USTAZ FAUZI MUSTAFA

    Persoalan berkenaanSinar Islam lontarkan kepada pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa. Ujar agamawan itu, sesiapa yang bangun awal pagi iaitu sebelum subuh, mereka akan mendapat keberkatan waktu tersebut.

    Jelas beliau, perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW. Baginda berdoa: “Ya ALLAH, berkatilah umatku pada pagi mereka.” (Riwayat at-Tirmizi)

    “Baginda SAW mendoakan setiap pekerjaan yang umat baginda lakukan pada pagi hari sama ada perniagaan, pertanian, penternakan, nelayan dan pekerjaan lain agar mendapat keberkatan.

    “Apakah itu keberkatan? Ia bermaksud kebaikan yang melimpah ruah kepada seseorang. Antara kebaikan berkenaan adalah dari segi fizikal. Bila kita bangun pagi dan mandi, badan rasa segar,” katanya.

    Bilakah sebaik-baik waktu untuk bangun awal pagi? Kata Ustaz Fauzi, sebaik-baik waktu ialah pada waktu sahur sepertimana yang biasa kita lakukan ketika bulan Ramadan.

    Ujar beliau, mereka yang bangun awal pagi juga akan mendapat rahmat ALLAH SWT dalam bentuk peruntukan masa bersama Sang Pencipta yang sedia mendengar masalah hamba-hamba-NYA.

    “Di dunia ini, hendak dapat waktu berjumpa dengan raja mahupun pemimpin bukan mudah. Namun, untuk kita ‘berjumpa’ ALLAH amat mudah asalkan kita bangun awal pagi iaitu sebelum Subuh yang dipanggil waktu sahur.

    “Pada masa itu, mengadulah kepada ALLAH apa masalah dan hajat kita pada-NYA kerana DIA sedang ‘melayan’ kita pada waktu itu,” katanya.

    Sabda Rasulullah SAW: “Tuhan kita turun ke langit dunia setiap malam ketika tinggal satu pertiga malam terakhir lalu berfirman: “Sesiapa meminta kepada AKU, AKU akan tunaikan permintaannya. Sesiapa beristighfar kepada AKU, AKU akan mengampuni dosanya.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

    Tokoh agama itu berkata, secara logiknya, orang yang bangun lambat akan mengejar masa, selain masanya juga akan dirasakan seolah-olah kurang.

    “Katakan kalau kita bekerja di Kuala Lumpur. Apabila bangun selepas Subuh, kemudian mandi, solat, gosok baju dan pergi kerja, kita akan stres dengan jalan yang sesak. Keberkatan pagi sudah tiada.

    “Bila sudah lambat, minta kawan tolong ‘punch in‘ (mengetik kad perakam waktu) di tempat kerja. Jadi, sudah hilang keberkatan kerana ada unsur penipuan dalam kerja kita. Sebab itu asasnya ialah bangun awal pagi kerana ia merupakan satu terapi dan memang dijanjikan keberkatan pada kita iaitu kebaikan pada umurnya,” katanya.

    Buku catatan harian

    Ustaz Fauzi meneruskan perkongsian ilmunya. Kali ini, beliau bercerita tentang buku catatan harian kita.

    AWAL pagi merupakan waktu paling baik untuk kita melakukan ibadah seperti membaca al-Quran kerana malaikat yang bertugas mencatat amalan kita akan bertukar syif menjelang subuh.

    AWAL pagi merupakan waktu paling baik untuk kita melakukan ibadah seperti membaca al-Quran kerana malaikat yang bertugas mencatat amalan kita akan bertukar syif menjelang subuh.

    Jelas tokoh agama itu, ALLAH SWT menghantar malaikat bertugas siang dan malam untuk mencatat segala amalan kita. Mereka ditugaskan pada syif malam dan siang. Pertukaran syif itu berlaku menjelang subuh.

    “Apabila kita bangun pada awal pagi, kita akan dapat menutup buku catatan harian dengan ibadah tidak kiralah sama ada dengan zikir, istighfar dan sebagainya.

    “Apabila malaikat syif siang datang, kita dapat membuka buku catatan harian kita juga dengan ibadah iaitu berjalan ke masjid dan solat Subuh,” katanya.

    Bukan itu sahaja, apabila kita solat Subuh berjemaah di masjid atau surau, ujar Ustaz Fauzi, pahalanya sangat besar. Apatah lagi, jika kita berpeluang menunaikan solat Isyak berjemaah pada waktu malam sebelumnya, pahalanya umpama kita menunaikan qiamullail sepanjang malam.

    Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, maka pahalanya seumpama dia qiamullail separuh malam. Dan jika keesokannya dia berjemaah lagi untuk solat Subuh, maka pahalanya seumpama dia qiamullail sepanjang malam.” (Riwayat Ibnu Majah)

    “Bangun awal pagi juga sebenarnya menyebabkan kita ada masa untuk solat sunat qabliyah dua rakaat sebelum solat fardu Subuh. Pahalanya sangat besar,” katanya.

    Kisah pasar tidak berkat

    IMAM MUDA HASSAN

    IMAM MUDA HASSAN

    Sementara itu, pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan mengajak kita untuk menyoroti kisah keberkatan pagi yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

    Ujar beliau, ketika itu, ada pasar yang dimonopoli oleh orang Yahudi. Bangunan pasar berkenaan cantik dan berbumbung, namun sewanya mahal. Para peniaga meletakkan harga barang yang mahal.

    “Maka bila Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah, baginda mengubah sistem pasar Yahudi itu kerana mendapati ia tidak berkat, selain ada yang menipu dalam jualan. Lalu baginda SAW membangunkan sebuah pasar dikenali sebagai pasar al-Manakhah.

    “Baginda tidak membangunkan binaan, sebaliknya ia hanyalah tanah lapang yang kosong dan tidak dikenakan sewaan. Dengan cara itu, orang berebut-rebut dan peniaga beralih ke pasar nabi. Pasar berkenaan tidak menetapkan lot sesiapa. Ini bermakna siapa yang datang awal pagi, dia akan dapat ‘port’ yang paling cantik atau strategik.

    “Disebabkan tiada sewa, harga barang agak murah. Pembeli yang juga penduduk Madinah akan datang awal untuk membeli barang di situ. Jika tidak, barang akan habis. Akhirnya, pasar Yahudi tadi jatuh dan rugi,” katanya.

    Menerusi kisah berkenaan, kata Imam Muda Hassan, sebenarnya ia sarat dengan hikmah bahawa betapa berkatnya waktu pagi.

    “Bukan setakat dapat menghidupkan waktu pagi dengan bermanfaat, tetapi juga peniaga dapat tempat yang strategik dan jualan pula habis selain untung yang banyak.

    “Begitu juga dengan pembeli. Siapa yang datang lambat, tidak akan dapat beli barang. Siapa yang datang awal pula dapat membelinya. Itulah hikmah pagi yang membawa berkat,” ujar beliau.

    Dalam pada itu, Imam Muda Hassan turut menegur sikap segelintir masyarakat yang mengutamakan bangun malam untuk menunaikan ibadah yang sunat berbanding fardu hingga ada yang meninggalkan solat Subuh.

    “Sekarang, kita kena faham juga keutamaan fekah. Jika mengikut keutamaannya ialah yang wajib, kemudian baru yang sunat dan harus. Sebenarnya bangun malam ini tidak wajib. Kita kena buat yang wajib dulu dan tengok pada kemampuan diri. Kalau kita mampu untuk buat yang wajib, kemudian kita buat yang sunat.

    “Memang kebanyakan kita digalakkan untuk melakukan solat tahajud dan bangun malam, tetapi kalau kita tak mampu membuat yang wajib kerana buat yang sunat, tiada berkat juga,” ujar beliau.

    Elak tidur selepas subuh

    HASSAN MAHMUD

    HASSAN MAHMUD

    Benarkah jika tidur selepas subuh, tiada keberkatan? Kata pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz, ya, keberkatan dan rahmat pada waktu pagi memang ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW.

    Ujar agamawan itu, mengelak tidur selepas subuh adalah lebih baik untuk memperoleh rahmat dan keberkatan pada waktu pagi.

    “Jika bangun awal pagi, turun rahmat dan ALLAH bukakan pintu rezeki dan ada doa pagi. Kemudian, kita keluar pergi kerja.

    “Apa yang penting, jangan tidur lagi sebelum matahari naik. Tidak elok berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

    Bagi yang bekerja syif malam dan pulang pada waktu paling, Hassan Mahmud berpesan agar tidak terus tidur sejurus pulang dari tempat kerja hinggalah naik matahari bagi mendapatkan keberkatan pagi.

    “Jangan tidur lagi (selepas Subuh). Tunggu dulu, biar lepas naik matahari yang dipanggil waktu syuruk. Mengikut perkiraan, dalam jam 9 pagi ke atas, barulah mereka boleh tidur,” ujar beliau.

    Dalam pada itu, Hassan turut menganjurkan dua doa boleh diamalkan pada waktu pagi iaitu Bismillahillazni la yadhurru ma’as mihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ wa hu was sami’ul ‘alim dan doa pagi, Ashbahna wa ashbahal mulku lillah.

    Beliau pada masa sama turut berkongsi tip bangun awal pagi. Selain daripada tidur awal dan cukup, paling signifikan ialah kita perlu berniat mudah-mudahan ALLAH jaga dan pelihara diri kita.

    “Bila kita tidur, ia ibarat kita ‘mati’. Sebelum tidur, bacalah doa tidur seperti yang dianjukan Islam. Kemudian, jangan abaikan doa bangun tidur.

    “Seperkara lagi, jangan menonton cerita jenayah atau yang mengerikan sebelum tidur kerana kita akan jadi sukar untuk bangun. Lebih baik dengar ayat-ayat al-Quran atau muzik yang bernada perlahan. Itu boleh menenangkan otak kita,” katanya.



    Sumber

  • Wajah baharu Facebook menjelang 2020

    Wajah baharu Facebook menjelang 2020

    SATU fenomena baharu bakal tercetus apabila diumumkan Facebook Horizon akan beroperasi menjelang tahun 2020 sekali gus bakal membolehkan pengguna media sosial mengakses sepenuhnya secara realiti maya.

    Perkongsian techcrunch.com itu menarik perhatian umum kerana ketika ini, interaksi pengguna masih terhad dengan dua dimensi sahaja untuk perkongsian status, gambar dan mesej palsu yang tular dalam media sosial.

    Bagaimanapun, Facebook Horizon itu dikatakan hanya boleh diakses menggunakan peranti Oculus Rift dan Quest sahaja. Seiring dengan pengumuman Horizon itu juga, Facebook Spaces dan Oculus Room akan dihentikan operasi bermula 25 Oktober ini.

    SETIAP pengguna Horizon juga akan dapat menggunakan avatar maya yang direka sendiri dengan rupa, bentuk tubuh dan pakaian tersendiri.

    SETIAP pengguna Horizon juga akan dapat menggunakan avatar maya yang direka sendiri dengan rupa, bentuk tubuh dan pakaian tersendiri.

    Setiap pengguna Horizon juga akan dapat menggunakan avatar maya yang direka sendiri dengan rupa, bentuk tubuh dan pakaian tersendiri.

    Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah bermain permainan video dan mengembara ke dunia berbeza menggunakan fungsi telepods.

    Ada juga Horizon Local yang menjadi hab pertanyaan dan bantuan memandangkan pembangun boleh membina dunia mereka sendiri yang kemudiannya boleh dilawati pengguna lain.

    Tidak mustahil jika satu hari nanti, aplikasi Facebook lebih kehadapan dan menjadikan dunia fiksyen sains realiti.



    Sumber

  • Sut kombinasi baju, seluar motif funky

    Sut kombinasi baju, seluar motif funky

    DUA tahun lalu, spacemarketnow.com mendedahkan pasaran dan trend industri fesyen kanak-kanak akan mengalami pertumbuhan peningkatan antara tahun ini hingga tahun 2021.

    Memetik laporan tersebut, hasil kajian yang dijalankan mendapati industri fesyen kanak-kanak peringkat global bakal menyaksikan gelombang positif baik dari sudut persaingan mahupun permintaan.

    Ia berikutan golongan ibu dan bapa pada hari ini semakin peka pada pemakaian dan stail sebaik sahaja anak-anak dilahirkan.

    Sementara itu, pemilihan busana pula tidak hanya bergantung dari aspek warna dan corak, malah jenis fabrik turut menjadi keutamaan kerana kulit mereka masih sensitif.

    Atas faktor tersebut, sebahagian besar jenama pakaian kanak-kanak antarabangsa lebih cenderung memilih kain kapas sebagai material utama kerana ia tidak menjejaskan kulit halus bayi dan kanak-kanak.

    Di Malaysia juga tidak terkecuali apabila label Yay Kidstore yang diusahakan pasangan suami isteri, Mohd Khairul Ghazali, 36, dan Jezmine Zaidan turut menjadikan fabrik kapas pelbagai jenis sebagai material utama dalam menghasilkan koleksi pakaian, rompers. Menurut Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif Yay Kidstore, Jezmine, kain tersebut menjadi pilihan dek sifatnya yang ringan dan bersesuaian dengan cuaca di negara ini.

    “Lagipun kain kapas bukan sahaja memudahkan pergerakan, bahkan menjaga kondisi kulit kana-kanak dalam apa jua keadaan.

    “Selain itu, pakaian berasaskan kain kapas juga senang dijaga dan dibentuk,” jelas beliau kepada Femina baru-baru ini.

    Ditebak mengapa memilih bisnes pakaian kanak-kanak, wanita genit berusia 35 tahun yang memiliki latar belakang pendidikan dalam jurusan rekaan fesyen itu memberikan jawapan ringkas.

    “Busana kanak-kanak lebih mudah dihasikan kerana eksperimentasi dan imaginasi rekaannya tiada sempadan serta menyeronokkan,” tutur Jezmine.

    Persoalannya, mengapa para ibu dan bapa yang mempunyai anak kecil berusia antara tiga hingga lima tahun harus memiliki item fesyen rompers jenama Yay Kidstore?

    Ikuti perkongsian lanjut beliau bersama wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF sempena edisi Indeks Fesyen kali ini.

    1 Mengapa Yay Kidstore memilih Romper sebagai signatur utama bukannya baju-T atau seluar yang dijual secara berasingan?

    JEZMINE: Item fesyen (rompers) merangkap baju dan seluar menjadi pilihan selepas mengambil kira beberapa faktor utama melibatkan golongan ibu dan bapa serta kanak-kanak. Umum mengetahui, bukan mudah menyiapkan anak-anak berusia tiga tahun ke bawah kerana mereka sukar untuk duduk setempat dalam tempoh masa yang lama.

    Ini berikutan pada usia tersebut pergerakan anak-anak sangat aktif dan lincah sehingga menyukarkan ibu atau bapa menyarungkan pakaian. Kadangkala lumrah kanak-kanak baru sahaja memakai lampin, belum sempat mengenakan baju dan seluar mereka akan terus berlari ke sana sini.

    Justeru, bagi mengatasi situasi ‘huru-hara’ itu, kami (Yay Kidstore) menampilkan koleksi rompers yang mengambil masa kurang dari 30 saat sahaja untuk disarungkan pada badan anak-anak.

    Selain ringkas dan cepat, rompers turut dijual pada harga lebih rendah berbanding membeli baju dan seluar berasingan.

    2 Jelaskan lebih lanjut keistimewaan rompers label Yay Kidstore?

    Seperti dilihat, sifat rekaan rompers itu sendiri adalah kombinasi baju dan seluar yang memudahkan ibu atau bapa menyiapkan anak-anak. Pada masa sama, tidak perlu memikirkan item fesyen yang bersesuaian untuk mempraktikkan konsep suai dan padan.

    Tambahan pula, rompers Yay Kidstore dihasilkan dalam konsep jenis sarung tanpa melibatkan sebarang butang ataupun zip bersilang bagi menyenangkan urusan persiapan si kecil.

    3 Apakah jenis fabrik menjadi keutamaan Yay Kidstore?

    Rompers kami diperbuat daripada fabrik kapas. Selain Combed Jersey, Yay Kidstore turut menggunakan kain kapas jenis Spandex Jersey dan Sometimes Organic. Pemilihan material berkenaan adalah untuk menyuntik keselesaan terhadap kanak-kanak kerana ia bersifat sejuk dan lembut serta sesuai dengan kulit.

    Pada masa sama, kain kapas juga bersesuaian dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun di negara ini.

    Sementara itu, untuk mengekalkan struktur bahagian leher bagi memudahkan proses menyarung, kami amat menitikberatkan kualiti kolar ribbing supaya pakaian kembali pada bentuk asal.

    4 Jika diperhatikan koleksi rompers Yay Kidstore bermain dengan variasi corak ceria dan funky. Dari mana lahirnya idea menghasilkan corak sedemikian?

    Lazimnya, sebelum menampilkan koleksi baharu, saya dan suami akan berbincang dari segi, inspirasi, corak dan permainan warna. Peringkat diskusi penting bagi memastikan identiti rekaan rompers Yay Kidstore tidak tersasar daripada landasan ditetapkan.

    Corak yang menjadi pilihan mestilah unik dan quirky (aneh) supaya rompers label ini lain daripada lain. Ini termasuklah, menerapkan motif ceria, funky dan berwarna-warni.

    5 Adakah rompers jenama ini hanya sesuai digayakan kanak-kanak perempuan?

    Semestinya tidak. Kebanyakan corak yang diterapkan pada rompers Yay Kidstore ideal digayakan baik kanak-kanak perempuan mahupun budak lelaki. Bagaimanapun, terdapat sebahagian koleksi memang direka khas untuk kanak-kanak perempuan.

    Selain itu, rompers kami bukan sahaja sesuai dipakai di dalam rumah, bahkan selesa disarungkan ketika melakukan aktiviti di padang atau taman rekreasi memandangkan jenis kain yang digunakan memudahkan pergerakan kanak-kanak.

    ANEKDOT

    Nama penuh: Jezmine Zaidan

    Umur: 35 tahun

    Pendidikan:Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam

    Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, UiTM Shah Alam

    Suami: Mohd Khairul Ghazali

    Anak: Zaria Mohd Khairul dan Mohamad Zarif

    Info Yay KidstoreHarga: RM50-RM119 sepasang

    Saiz:

    3 hingga 6 bulan

    4 dan 5 tahun

    Facebook: facebook.com/YAYkidstore

    Instagram: @yaykidstore

    E-mel: info@yaykidstore.co



    Sumber

  • ‘Jom infak, wakaf pembelian al-Quran’

    ‘Jom infak, wakaf pembelian al-Quran’

    IPOH – Orang ramai dipelawa bersama-sama menyertai program infak dan waqaf bagi membeli 1,000 naskah al-Quran menjelang penganjuran Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri), esok.

    Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina@Lily Noor Sarah berkata, pembelian al-Quran adalah bertujuan untuk kegunaan peserta masjid berkenaan.

    Menurut Noor Mazlina, orang ramai boleh mula membuat sumbangan berkenaan di pejabat pentadbiran masjid pada Jumaat ini mulai 9 pagi hingga 12 tengah hari.

    “Orang ramai juga boleh membuat sumbangan melalui akaun Bank Islam 08013010003930 (Masjid Sultan Idris Shah II) Ipoh.

    “Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Ustaz Syed Putra di talian www.wasap.my/60133092726/wakafalquran.

    “Semoga dengan infak ini, anda mendapat keberkatan dan akan diberikan ganjaran pahala berlipat kali ganda oleh ALLAH SWT,” katanya di sini semalam.

    Sementara itu Noor Mazlina berkata, pihaknya menjangkakan lebih 1,000 jemaah menyertai program berkenaan.

    Menurutnya, selain program kali ini dianjurkan pada hari Jumaat, ia juga dimulakan lebih awal iaitu pada 11 pagi hingga 12 tengah hari, berbanding sebelum ini iaitu 12 hingga 1 tengah hari.



    Sumber

  • Adidas kembalikan memori jersi Juventus 1899

    Adidas kembalikan memori jersi Juventus 1899

    BERTINDAK sebagai peneraju pakaian dan barangan sukan terkemuka dunia, jenama Adidas tidak pernah gagal dalam menghasilkan rekaan produk yang memenuhi cita rasa peminat setianya.

    Terbaharu, penaja rasmi kejohanan bola sepak Piala Dunia dan Liga Juara-Juara itu memperkenalkan koleksi Jersi Juventus Utama Musim 2019/20 khas buat para penyokong kelab Itali tersebut. Ia menggabungkan rona hitam dan putih simbolik kepada warna ikonik Juventus.

    Bagaimanapun, penerokaan rekaan Adidas tidak terhad pada kombinasi dua warna itu sahaja. Sebaliknya, ia menyuntik kelainan dengan jalur nuansa merah jambu yang terletak di tengah jersi. Biarpun merah jambu sinonim dengan golongan wanita namun, Adidas mempunyai alasan tersendiri.

    Pemilihan rona lembut itu sebagai mengimbau momen jersi kelab bola sepak Juventus yang pernah menggunakan warna berkenaan pada tahun 1899 hingga 1903.

    Menariknya lagi, jersi Juventus bukan sahaja ideal dipakai ketika menonton perlawanan di stadium malah sesuai dijadikan pilihan pada saat beriadah waima bersantai lantaran teknologi Climalite dan material poliester yang digunakan membantu menyerap peluh.

    Selain jejaka, jersi Juventus juga tampak segar digayakan wanita yang gemarkan penampilan ringkas dan sporty.

    Justeru, kepada peminat pasukan kelab bola sepak Juventus dan pengumpul jersi unik dan menarik, jangan lepaskan peluang mendapatkan Koleksi Jersi Juventus Utama Musim 2019/20 yang mula dijual pada bulan Mei lalu.

    Ia boleh dibeli pada harga RM300 secara atas talian atau berkunjung ke butik Adidas di seluruh negara.



    Sumber

  • Partikel-partikel halus yang membunuh

    Partikel-partikel halus yang membunuh

    Medik

    MASIH terpahat dalam ingatan saya ketika Muar, Johor diisytiharkan darurat pada tahun 2013. Sehari sebelum kerajaan mengumumkannya, saya telah pun berada di daerah itu bersama wartawan-wartawan daripada agensi lain.

    HAMPIR setiap tahun Malaysia berdepan dengan jerebu.

    HAMPIR setiap tahun Malaysia berdepan dengan jerebu.

    Ketika itu, Muar saya ibaratkan seperti berada suasana filem seram The Others, lakonan Nicole Kidman. Bayangkan, pada pukul 1 tengah hari, keadaan sangat berkabut, kelam dan seperti menjelang senja. Penglihatan juga sangat terhad. Pada jarak 100 meter, kelibat manusia tenggelam dalam debu-debu jerebu.

    Angka penduduk yang kelihatan di pekan itu boleh dibilang dengan jari. Semuanya takut, Mereka ‘berkurung’ di rumah bagi mengelak implikasi buruk kepada diri sendiri dan keluarga. Sekolah, premis kerajaan, restoran rata-ratanya tidak beroperasi.

    Kepada yang mempunyai urusan, mereka tiada pilihan lain. Namun, masing-masing memakai topeng dan cepat-cepat mahu meninggalkan destinasi. Menjelang pukul 5 petang, Muar sudah gelap. Seperkara, jumlah yang mendapat rawatan di pusat kesihatan meningkat secara mendadak. Rakan-rakan yang membuat liputan termasuk diri saya sendiri jatuh sakit. Itu penangan jerebu yang bukan calang-calang.

    Namun, partikel-partikel halus yang mengundang jerebu itu seperti sudah jadi ‘acara tahunan’ di negara ini. Bayangkan, hampir setiap tahun Malaysia berdepan dengan permasalahan sama tanpa ada titik penyelesaian.

    Apabila diselak ‘salasilah’ jerebu, ia memang berkaitan dengan aktiviti pertanian melibatkan penebangan hutan dan pembakaran kawasan ladang hasil tangan manusia.

    Berdasarkan rekod, Malaysia pernah diduga dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang begitu tinggi pada tahun 1997.

    Bacaan IPU tidak selamat berlaku lagi pada tahun 2005 yang mencecah bacaan 500 iaitu pada tahap sangat bahaya.

    Ingatkan pada tahun 2019, negara bebas jerebu. Oh! Telahan itu salah. Pada 26 September lalu, daerah Batu Pahat mencatatkan IPU pada kepekatan partikel halus (PM) 1.02 (peringkat tidak sihat) dan beberapa bandar juga terpalit.

    Jadi, benarlah ramalan pakar yang menyebut bahawa sepanjang tahun ini, jerebu dijangka berlaku pada bulan Mac akan berterusan hingga September. Apa yang pasti, ‘gejala’ itu boleh melarat hingga pertengahan Oktober bergantung kepada angin yang bertiup dari utara timur.

    Punca

    Mengulas mengenai permasalahan jerebu, Sihat:Aktif menemui Timbalan Dekan Siswazah, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Talib Latif.

    Dr Mohd Talib menjelaskan, dari segi fizikal, setiap kali fenomena jerebu, pastinya jarak penglihatan menjadi terhad dan ia berlaku lantaran peningkatan kepekatan jumlah zarah terampai halus di atmosfera.

    DR MOHD TALIB

    DR MOHD TALIB

    Jelasnya, zarah itu menyebabkan cahaya pantulan dari sesuatu objek dan cahaya matahari diserakkan menyebabkan jarak penglihatan berkurangan.

    “Masalah itu terjadi disebabkan suhu permukaan bumi sangat panas. Ditambah lagi pengurangan jumlah hujan dan wap air, sedangkan jumlah zarah di atmosfera lebih dominan,” terangnya.

    Bagaimana jerebu boleh memberi impak kepada kesihatan? Jelas Dr Mohd Talib, saiz zarah yang halus menyebabkan ia mudah disedut masuk ke dalam sistem pernafasan.

    Kandungan zarah yang mengandungi bahan organik, inorganik yang tinggi seperti sebatian hidrokarbon poli-aromatik dan logam surih seperti plumbum, kromium, kadmium, zink dan ferum.

    “Sudah tentulah (faktor-faktor di atas) memberikan kesan,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, salah satu punca ‘popular’ jerebu dilaporkan adalah disebabkan pembakaran yang berlaku di kawasan tanah sangat kering iaitu tanah gambut.

    Dengan suhu permukaan bumi yang panas, pembakaran tidak mengambil masa yang lama untuk merebak walaupun hanya dengan punca daripada api rokok, terangnya.

    “Kawasan yang kering akan memakan masa untuk dipadamkan kerana api boleh masuk ke dalam tanah dan bergerak sebagai bara. Pembakaran yang berlaku akan menghasilkan banyak asap. “Pembakaran yang biasa di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia misalnya yang mempunyai tanah gambut meningkatkan lagi IPU tidak selamat. Tidak hairan kawasan itu sering menjadi ‘titik merah’ jerebu berbanding kawasan lain,” katanya.

    Namun, ujar beliau lagi, di negara ini sendiri, terdapat banyak kawasan tanah gambut. Antaranya di pantai barat semenanjung Malaysia, di pantai timur semenanjung Malaysia seperti di Mersing dan Rompin, Johor, serta Sabah dan Sarawak.

    “Jika pembakaran berlaku di Sumatera, asap dari sana, hanya mengambil beberapa jam sahaja untuk sampai. Impaknya adalah kepada negara berdekatan seperti Singapura, Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand.

    “Faktor jerebu turut disebabkan pembakaran yang berlaku dalam negara terutamanya di kawasan mempunyai tanah gambut meningkatkan lagi bacaan IPU sedia ada,” katanya.

    Debu berbahaya

    Dalam pada itu, Pakar Perubatan Dalaman, Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Dr Maisara Yusra berkata, jerebu sememangnya menjejaskan kesihatan apabila udara di sekeliling dipenuhi dengan debu-debu yang berbahaya yang akhirnya membawa banyak penyakit.

    DR MAISARA

    DR MAISARA

    “Jangkitan kuman ke paru-paru, akut bronkitis, bronkitis yang kronik, asma dan chronic obstructive pulmonary diseases (COPD), mereka yang mempunyai penyakit paru-paru seperti lung fibrosis dan jantung yang lemah serta mereka yang mudah sensitif pada bahan-bahan toksik antara mudah terkesan.

    “Kadangkala jerebu boleh juga menyebabkan sakit kepala, gatal mata, hidung dan tekak. Pesakit turut mudah terkena batuk secara berterusan serta menunjukkan simptom-simptom respiratori seperti pernafasan berbunyi atau sesak nafas,” katanya.

    Paling dibimbangi, jerebu boleh mengakibatkan kematian jika pesakit jantung dan paru-paru menunjukkan gejala semakin lemah! Kata Dr Maisara, jika keadaan itu berlaku pesakit perlu segera mendapatkan rawatan.

    JEREBU boleh menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit.

    JEREBU boleh menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit.

    Katanya, laman web MDPI iaitu perintis penerbitan ilmiah ada memaparkan kajian bertajuk Langkah-langkah Kawalan dan Kesan Pencemaran Udara. Kajian dalam kalangan penumpang pengangkutan awam di Malaysia pada tahun 2017 antara lain menunjukkan simptom akibat udara tidak sihat.

    Antaranya ialah pening kepala (85 peratus), batuk (84.8 peratus) dan sesak nafas (84.5 peratus) berbanding dengan hari-hari yang tidak berjerebu.

    Responden yang mengadu letih dan lemah pula sebanyak 35.5 peratus), batuk (23.6 peratus) dan pening (18.2 peratus).

    Beliau turut mendedahkan golongan lebih berisiko kepada jerebu merupakan kanak-kanak, orang tua, pesakit mempunyai kadar imun rendah seperti pesakit kencing manis yang mudah dijangkiti kuman serta mereka yang mudah sensitif pada bahan-bahan toksik.

    Pun demikian, Dr Maisara tidak dinafikan ada juga segelintir masyarakat tidak terjejas kesihatannya akibat jerebu.

    Kanak-kanak tidak miliki reaksi perlindungan badan sebaik orang dewasa

    SITUASI jerebu memberi implikasi yang kurang menyenangkan kepada kanak-kanak.

    Demikian fakta yang diutarakan Pegawai Perubatan Sarjana, Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Universiti Malaya, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim.

    DR AMIRUL

    DR AMIRUL

    “Antaranya penyebabnya saiz badan kanak-kanak lebih kecil berbanding orang dewasa. Mereka mempunyai sistem pertahanan badan yang lebih rendah berbanding orang dewasa.

    “Oleh itu, apabila dijangkiti kuman atau terhidu asap, kadar komplikasinya lebih serius berbanding orang dewasa. Kanak-kanak turut tidak mempunyai reaksi perlindungan badan sebaik orang dewasa,” ujar Dr Amirul.

    Keadaan fizikal kanak-kanak itu mungkin salah satu sebab yang dipertimbangkan oleh pihak kerajaan untuk menutup sekolah apabila jerebu mencatat Indeks Pencemran Udara tidak sihat berbanding orang dewasa masih terus bekerja, kata beliau.

    SEGERA dapatkan rawatan apabila anak anda diserang asma.

    SEGERA dapatkan rawatan apabila anak anda diserang asma.

    Terangnya lagi, untuk merawat penyakit disebabkan jerebu, ia bergantung kepada penyakit itu sendiri.

    “Jika jangkitan kuman, doktor akan membezakan sama ada ia akibat virus atau bakteria. Jika disebabkan virus, rawatan akan diberikan tanpa perlu antibiotik kerana virus tidak dibunuh oleh antibiotik. Antibiotik hanya diberikan jika doktor mengesahkan ada jangkitan bakteria berlaku.

    “Jika seseorang itu terkena serangan asma atau COPD akibat jerebu, salur pernafasan pesakit akan tertutup dan menjadi sempit. Pesakit akan diberi rawatan nebulizer bagi membuka kembali salur pernafasan mereka,” katanya.

    Dr Amirul menyarankan beberapa langkah pencegahan berdepan dengan jerebu antaranya:

    – Elak berada di luar rumah jika tiada keperluan.

    – Minum air dengan secukupnya untuk menghindari dehidrasi.

    – Pakai topeng muka.

    – Segera berjumpa doktor sekiranya terdapat gejala-gejala berkaitan masalah pernafasan.

    ANEKDOT

    KRONOLOGI jerebu paling teruk di Malaysia

    1 September hingga November 1997

    Fenomena El-Nino di beberapa tempat di Sarawak IPU melebihi tahap 500. Udara kembali normal pada bulan November.

    2 Ogos 2005

    Seluruh Lembah Klang dan kawasan sekitarnya mencatat IPU sangat teruk. Kerajaan mengisytiharkan darurat di dua kawasan Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor yang mencatat IPU melebihi 500.

    3 Oktober 2010

    Kualiti udara mencatat tahap bahaya di Muar, Johor dengan bacaan 432. Kemerosotan kualiti udara telah menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat.

    Semua sekolah (170 sekolah) di Muar diarahkan tutup pada 21 Oktober 2010.

    4 Jun hingga Ogos 2012

    Keseluruhan kualiti udara sedikit merosot namun kebakaran berlaku di Miri, Sarawak menambah peningkatan IPU mencapai tahap 10 mikrometer atau PM10.

    5 Jun 2013

    Kawasan pembakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia dan tiupan angin dari arah barat daya membawa asap jerebu ke kawasan tengah dan selatan pantai barat Semenanjung Malaysia.

    Tiga kawasan berada tahap bahaya iaitu Muar, Johor (IPU 690), Bukit Rambai (IPU 428) dan Bandaraya Melaka (IPU 415) di Melaka.

    Kerajaan mengisytiharkan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan daerah Ledang.

    PEMBAKARAN terbuka di negara jiran telah memburukkan situasi jerebu di Malaysia.

    PEMBAKARAN terbuka di negara jiran telah memburukkan situasi jerebu di Malaysia.

    6 Februari dan Mac 2014

    Jerebu dicetuskan oleh kebakaran hutan di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu.

    Kualiti udara menjadi semakin teruk dua kawasan Pelabuhan Klang dan Banting, Selangor mencatat tahap IPU lebih daripada 300.

    Keadaan jerebu menyebabkan 203 sekolah di Klang dan daerah Kuala Langat di Selangor ditutup apabila bacaan IPU lebih daripada 200.

    7 Ogos hingga September 2015

    Pembakaran hutan secara besar-besaran di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan 34 kawasan di negara mencatat status kualiti udara yang tidak sihat apabila bacaan IPU mencapai 200.

    Semua sekolah di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka ditutup sebelum diikuti penutupan sekolah di Kuching dan Samarahan.

    Bacaan IPU tertinggi 211 dicatat di Banting.

    8 Ogos 2018

    Bacaan jerebu di beberapa kawasan di negara masih terkawal disebabkan hujan yang turun dengan banyak.

    Namun beberapa kawasan seperti Batu Pahat, Johor, Miri, Sarawak dan Johan Setia, Selangor mencecah IPU 150 tidak sihat.



    Sumber