Blog

  • Pelihara akidah daripada fahaman syiah yang terpesong

    Pelihara akidah daripada fahaman syiah yang terpesong

    SYIAH dalam bahasa Arab bermaksud pengikut. Apabila disebut syiah pada hari ini, mereka ialah golongan yang mengagung-agungkan Saidina Ali RA dan menganggap beliaulah pengganti Rasulullah SAW sebagai khalifah. Saidina Abu Bakar dianggap sebagai perampas dan pengkhianat terhadap wasiat Rasulullah SAW.

    Para sarjana berbeza pendapat tentang asal usul kemunculan syiah. Sebahagian menisbahkan syiah kepada Abdullah bin Saba’ yang muncul pada zaman Saidina Usman bin Affan RA, manakala sebahagian menganggap syiah muncul akibat pergolakan politik semasa zaman Saidina Ali bin Abu Talib RA, menyebabkan mereka berbeza pendapat tentang persoalan menentukan hukum terhadap golongan berkenaan.

    Ajaran syiah juga berubah daripada satu bentuk kepercayaan kepada kepercayaan yang pelbagai dan nama-nama yang berbeza antara satu firqah (pecahan) kepada firqah. An Naubakhti, seorang sarjana syiah, dalam kitabnya Firaq As-Syiah menyenaraikan lebih kurang 300 firqah syiah.

    Para sarjana Islam mencari titik persamaan yang ada pada semua pecahan syiah untuk menentukan hukum dan persepsi terhadap mereka.

    Oleh sebab itu, kebanyakan ulama menggelarkan mereka sebagai ar-Rafidhah atau ar-Rawafid dan tidak menyebutkan mereka sebagai syiah. Ar-Rafidhah atau ar-Rawafid merupakan golongan yang menolak para sahabat terutamanya Abu Bakar dan Umar RA serta seluruh para sahabat.

    Hukum

    Mana-mana golongan syiah yang muncul sekiranya mempunyai ciri-ciri dan sifat yang sama, maka hukumnya adalah sama. Sebagai contoh Imam al-Bukhari, melalui karyanya Khalqu Af’al al Ibad, mengharamkan solat di belakang golongan ar-Rafidhah, berkahwin dengan mereka, memberi salam dan memakan sembelihan mereka.

    Ahmad bin Yunus, seorang ulama besar Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang digelar oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai Syeikhul Islam berkata: “Sekiranya seorang Yahudi menyembelih seekor kambing dan seorang Rafidi (orang yang menolak dan mengkafirkan sahabat) menyembelih seekor kambing, nescaya aku akan makan kambing yang disembelih oleh orang Yahudi dan aku tidak akan makan sembelihan Rafidi itu kerana dia telah murtad daripada Islam.”

    Begitulah juga halnya dengan Imam Malik, Imam Ahmad, Imam al-Ghazali dan lain-lain yang menghukum syiah berdasarkan sifat ar-Rafd (penolakan terhadap sahabat).

    Walau apapun nama yang mereka gunakan atau dakwaan yang dibawa, lihat sahaja terhadap unsur ar-Rafd –penolakan terhadap para sahabat.

    Sekiranya kumpulan syiah tersebut tidak menolak sahabat, maka mereka masih lagi Islam seperti Syiah Zaidiah, tetapi sekiranya mereka menolak sahabat, maka mereka telah terpesong daripada ajaran Islam seperti yang difatwakan oleh para ulama.

    Seperkara lagi, syiah tidak boleh diterima sebagai satu mazhab yang sependapat dengan Imam al-Bukhari, Imam Malik, Imam Ahmad, Syeikhul Islam, Ahmad bin Yunus dan lain-lain sekiranya neraca pertimbangan terus menolak para sahabat.

    Di negara kita, ajaran syiah mula meresap masuk melalui kampus-kampus universiti utama sekitar awal tahun 1980-an. Setelah Kedutaan Iran dibuka, beberapa orang pensyarah dan orang-orang tertentu dibawa ke Iran untuk ‘disyiahkan’.

    Keadaan bertambah buruk lagi apabila sebahagian buku-buku yang penuh dengan ‘penentangan’ terhadap sahabat dibawa masuk ke negara kita.

    Ketika itu juga, pelajar-pelajar dihantar menyambung pengajian secara percuma ke Iran. Ramailah yang terpengaruh, lalu menukar pegangan kepada syiah.

    Wahai umat Islam! Cuba fikirkan, jika benar syiah hanya satu mazhab, perlukah seseorang menukar mazhabnya daripada ASWJ kepada syiah?

    Sekitar tahun 1996-1997, jawatankuasa fatwa negeri-negeri di Malaysia juga Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kesesatan syiah termasuk Pulau Pinang, setelah tersalah membenarkan Syiah Imamiah dan Jaafariah sebelum itu.

    Bagaimanapun, ajaran syiah semakin merebak di negara kita. Hauzah-hauzah mereka ditubuhkan di beberapa buah negeri. Ada hauzah yang secara terang-terang mengadakan program-program keagamaan syiah seperti sambutan Wiladah Fatimah Maulid Imam Mahdi, Hari Karbala, Hari Raya Ghadir dan sebagainya.

    Justeru, pihak berkuasa agama di seluruh negara bertungkus-lumus menghadapi serangan ideologi syiah. Seminar-seminar dan wacana-wacana berkenaan kesesatan ajaran syiah diadakan di seluruh negara demi menyelamatkan umat Islam daripada terpengaruh dengan fahaman tersebut.

    Bukan itu sahaja, beberapa tangkapan dilakukan ke atas pimpinan syiah di negara kita. Walaupun adakalanya jabatan-jabatan agama berhadapan dengan cemuhan pihak-pihak tertentu, mereka tetap tidak berputus asa melaksanakan tanggungjawab dan amanah menjaga akidah umat Islam.

    Rosakkan sistem masyarakat

    Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor telah membuat tangkapan terhadap lebih 20 orang pengikut syiah di Selangor. Syabas kepada mereka yang berusaha memartabatkan akidah ASWJ.

    Usah pedulikan ‘suara-suara sumbang’ yang menggesa agar kajian semula dilakukan terhadap fatwa-fatwa terhadap syiah. Fatwa pengharaman syiah pada hakikatnya dikeluarkan setelah kajian terperinci dilakukan pakar-pakar agama dan sarjana Islam.

    Membenarkan ajaran syiah seolah-olah membenarkan ‘pencerobohan’ terhadap sumber ajaran Islam iaitu al-Quran dan Sunnah.

    Syiah menyebarkan ajaran mereka dengan merosakkan nama baik para sahabat yang mana ia sekali gus menyebabkan al-Quran dan semua hadis yang dikumpulkan oleh para ulama akan tertolak.

    Masakan tidak, bukankah al-Quran dan hadis datang melalui para sahabat? Oleh kerana itu, masyarakat perlu ditanam dengan kecintaan terhadap para sahabat melalui kuliah, ceramah dan sebaran buku.

    Ajaran Syiah juga merosakkan sistem sosial masyarakat Islam di negara kita. Sehingga sekarang, beberapa kes perkahwinan antara sunni dilaporkan ke jabatan-jabatan agama. Perbalahan antara pasangan sunni-syiah tidak boleh diselesaikan menurut prosedur biasa kerana melibatkan soal akidah.

    Apabila berlaku penceraian, hak hadanah biasanya akan diberikan kepada isteri. Sekiranya kes tersebut melibatkan pihak isteri yang berfahaman syiah, pihak berkuasa akan menghadapi keadaan buntu. Bayangkan masa depan anak-anak berkenaan yang bakal berhadapan dengan perkara bertentangan dengan ajaran ASWJ.

    Apapun, fikirkanlah nasib generasi muda kita pada masa depan. Bertindaklah sebelum nasi menjadi bubur!

    ***Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud merupakan Pendakwah dan Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Wilayah



    Sumber

  • Putus tunang bukan pengakhiran

    Putus tunang bukan pengakhiran

    Bersama Pakar Perhubungan dan Keintiman, Diyana Tahir:

    Soalan: SAYA Lina Mohamad (bukan nama sebenar) berusia 32 tahun. Mengikut perancangan pada bulan Disember tahun ini, saya bakal mendirikan rumah tangga. Namun begitu, malangnya hubungan saya dan bakal suami terputus di tengah jalan pada bulan lalu.

    Alasan pihak lelaki tiada keserasian, walhal hubungan kami tiada masalah sepanjang tiga tahun ini. Saya terkejut kerana dia berubah sekelip mata. Biarpun, saya reda dengan ketentuan itu, tetapi kesedihan itu sukar dibendung.

    Justeru, apakah cara terbaik untuk keluar daripada kepompong kesedihan memandangkan sebelum ini saya seorang yang ceria dan berfikiran positif. Saya bimbang keperitan ini akan menjejaskan karier sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta.

    Jawapan: Seringkali kita mendengar ungkapan jodoh pertemuan, ajal dan maut di tangan ALLAH. Maka sebagai hamba kita akan berasa terluka dan bersedih dek kehilangan insan tersayang. Usah bimbang kerana ia merupakan emosi semula jadi.

    Rasa sedih dialami merupakan energi yang sukar dihapuskan, sebaliknya boleh diubah menjadi energi positif bagi menjadikan kita individu lebih baik dan cemerlang.

    Membebaskan diri daripada kepompong kesedihan tidaklah sukar jika kena dengan caranya. Sehubungan itu, pada edisi kali ini saya berkongsi lima langkah yang dapat membantu membebaskan diri dan jiwa daripada kesedihan menyakitkan.

    1 Lapangkan dada dan bersyukur

    Sebagai hamba ALLAH, kita perlu reda dan bersyukur dengan perkara berlaku. Jangan berterusan meratapi nasib seolah-olah kita ialah manusia paling malang dalam dunia. Bersyukurlah pada ujian tersebut dan percaya ada hikmah di sebaliknya untuk menjadikan kita insan lebih baik.

    Bayangkan, di luar sana terdapat wanita yang inai masih merah pada jari, tetapi suami pula memiliki wanita lain. Tidak kurang juga dengan pasangan yang telah berkahwin bertahun-tahun, mempunyai cahaya mata dan bercucu, namun terpaksa berdepan perceraian.

    Sehubungan itu, bagi mereka yang ditinggalkan tunang sebelum sempat melangsungkan perkahwinan, bersyukurlah kerana ALLAH menjauhkan anda daripada pasangan yang mungkin tidak tahu untuk menghargai. Percayalah rancangan Allah SWT adalah terbaik.

    2 Berhenti menyalahkan diri

    Sebahagian besar individu menyifatkan kelemahan dan kesilapan diri punca perpisahan. Walhal, keserasian amat penting dalam sesuatu perhubungan memandangkan ia perlu dicari dan dicipta bukannya datang dari langit.

    Cinta dan bahagia itu diciptakan untuk dua hati yang saling terbuka menerima pasangan seadanya. Jadi, sejujurnya anda layak memiliki lelaki yang menerima diri dan kasih sayang seadanya.

    3 Kelebihan dan kekuatan diri

    Senaraikan sebanyak mungkin kelebihan dan kekuatan diri. Kemudian, lihat satu persatu kelebihan dan kekuatan berkenaan. Bertanyakan pada diri di mana kerugian apabila pasangan meninggalkan anda? Ironinya, tiada kerugian kehilangannya, tetapi pasangan yang rugi meninggalkan anda yang memiliki banyak kelebihan dan kekuatan.

    4 Percaya jodoh ketentuan ALLAH

    Berbalik semula kepada fitrah bahawa jodoh milik Allah SWT dan setiap yang berlaku adalah ketentuan-NYA. Jika tiada jodoh maka reda akan ketentuannya. Anggaplah pasangan itu bukanlah jodoh terbaik.

    Ingatlah setiap kepahitan pasti ada kemanisan di penghujung. Bersyukur pada setiap takdir kerana setiap aturan ILLAHI dalam kehidupan adalah yang terbaik.

    5 Aktiviti menggembirakan

    Setiap individu pasti mempunyai pelbagai aktiviti yang berupaya menggembirakan hati dan mengurangkan tekanan.

    Jadi luangkan masa dan rancang aktiviti sama ada secara bersendirian, bersama rakan-rakan ataupun keluarga kerana aktiviti itu secara tidak langsung membantu anda melupakan kesedihan dan merawat hati.

    Ketahuilah bahawa wanita yang gembira dan positif adalah daya penarik utama kepada ramai lelaki. Dalam pada itu, bersedia untuk memulakan diri dan perhubungan yang baharu.

    Jangan sia-siakan diri dengan menyimpan perasaan kecewa terlalu lama. Yakinlah anda berhak menerima cinta dan kasih sayang. Sayangi diri, cintai diri. Paling utama merasai kasih sayang daripada orang sekeliling.



    Sumber

  • Malaysia #QuranHour disemarak di Jakarta

    Malaysia #QuranHour disemarak di Jakarta

    JAKARTA – Malaysia #QuranHour terus mendapat sokongan daripada Education Malaysia (EM) Indonesia menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia.

    Setiausaha Pertama (Pendidikan), Mohd Mubarak Shamsuddin berkata, EM Indonesia akan menganjurkan program Malaysia #QuranHour di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

    Menurutnya, sokongan EM Indonesia terhadap penganjuran Malaysia #QuranHour bertujuan untuk meramaikan umat Islam khususnya rakyat Malaysia supaya sentiasa mentadabbur kitab suci al-Quran.

    “Penglibatan Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta pada kali ini juga adalah sebahagian daripada aktiviti meraikan hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-62 yang diraikan dengan penuh rasa kesyukuran di atas nikmat merdeka yang diberikan oleh ALLAH SWT.

    “Alhamdulillah sambutan setiap tahun daripada warga kedutaan amat menggalakkan. Hampir dua pertiga jumlah pegawai yang hadir bagi setiap kali penganjuran. Maklum balas yang diterima daripada mereka yang hadir amat baik,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Sambutan terhadap Malaysia #QuranHour setiap tahun daripada warga kedutaan amat menggalakkan.

    Sambutan terhadap Malaysia #QuranHour setiap tahun daripada warga kedutaan amat menggalakkan.

    Mengulas mengenai persiapan penganjuran program tersebut di Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta, beliau berkata, pihak EM Indonesia sebagai penyelaras di peringkat Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

    “Jemputan ustaz dan memo edaran dilaksanakan oleh Jakim manakala EM Indonesia menyiapkan bahan rujukan termasuk plakad dan persiapan tempat.

    “Hebahan kepada penuntut juga dibuat untuk menggalakkan penuntut Malaysia di Indonesia menyertai program ini di lokasi masing-masing,” katanya.

    Dalam masa sama, sempena sambutan Hari Kemerdekaan, beliau menitipkan pesanan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya terus bersatu mempertahankan kemakmuran Malaysia yang telah sekian lama dinikmati.

    “Sentiasalah bersyukur dan jadikan dunia ini sebagai jambatan untuk memperbaiki amal kita kepada ALLAH SWT,” katanya.

    INFO:

    -Lokasi Perdana Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini adalah di Masjid Putra, Putrajaya.

    -Pengesahan penyertaan dari luar negara sudah diperolehi untuk penganjuran di Australia, Mesir, Sepanyol, Republik Argentina, Indonesia dan Jepun. Rekod penganjuran #QuranHour sehingga Mei 2019 adalah lebih 3000 lokasi penganjuran berdaftar di dalam negara dan 300 lokasi di 70 buah negara dengan capaian media sosial sebanyak 1.46 Bilion.



    Sumber

  • Rumah bersepah salah wanita?

    Rumah bersepah salah wanita?

    MENGAPA apabila susun atur kediaman terlihat tidak terurus kesalahan sentiasa diletakkan di atas bahu wanita, sementelah lelaki dimaafkan?

    Ahli Sosiologi Universiti California di Santa Barbara, Sarah Thebaud menyifatkan situasi tersebut berlaku disebabkan streotaip jantina yang masih kuat mempengaruhi masyarakat pada hari ini.

    “Biarpun kini berada dalam kehidupan tahun 2019, isu dan persepsi minda manusia berkaitan ketidaksamarataan jantina sukar untuk dihapuskan,” katanya kepada The New York Times baru-baru ini.

    Hasil beberapa kajian terkini mendapati wanita akan menjadi ‘mangsa’ persendaan apabila rumah kotor dan bersepah.

    Ia disebabkan sebahagian besar masyarakat khususnya lelaki beranggapan bahawa urusan rumah tangga adalah tanggungjawab utama wanita sama ada mereka bekerja ataupun menjadi suri rumah.

    Kajian berkenaan juga mendapati tugas harian wanita yang menetap bersama pasangan adalah lebih banyak berbanding tinggal bersendirian memandangkan kaum Adam enggan memberi kerjasama dari segi memasak, mengemas rumah dan membasuh baju.

    Bagaimanapun, sekiranya aktiviti mengemas rumah hanya dilaksanakan wanita bimbang ia akan mengundang ketidakpuasan hati sehingga menyebabkan perbalahan kecil dalam rumah tangga.

    Adalah lebih baik rutin membersihkan kediaman dilakukan secara toleransi demi kebahagiaan bersama.

    Selain itu, jangan menganggap rumah yang bersepah itu normal kerana impaknya boleh menimbulkan ketidakselesaan dan tekanan kepada isi rumah.



    Sumber

  • Mitos tentang ubat panadol

    Mitos tentang ubat panadol

    PERNAHKAH anda mendengar fakta yang mengatakan mengambil panadol boleh merosakkan buah pinggang?.

    Bukan itu sahaja, panadol dikatakan bertoksik dan akan berada di dalam tubuh dalam jangka masa sekurang-kurangnya lima tahun.

    Betulkah kenyataan itu?

    Panadol bukan sejenis ubat bertoksik pada badan jika mengikut sukatan yang betul seperti disarankan oleh doktor atau pengeluar panadol.

    Dos yang disarankan adalah:

    1. Paracetamol 1 gram (g) bersamaan dengan 2 biji (500miligram (mg) satu biji) setiap enam hingga lapan jam sekali (maksima 4g sehari) untuk orang dewasa.

    2. Untuk kanak-kanak sirap paracetamol adalah 15mg per kilogram (kg) berat badan dalam enam hingga lapan jam (tiga hingga empat kali) sehari

    3. Suppositories paracetamol yang dikenali ubat peluru (masuk rektum) 30mg per kg setiap enam jam sekali (maksimum 5g sehari).

    4. Paracetamol juga ada dalam bentuk intravenous diberikan 1g secara infusi dalam masa 15 minit (minimum tidak kurang dari empat jam sekali: maksimum 4g sehari)

    Kegunaan panadol:

    Paracetamol digunakan sebagai ubat demam (antipyretic) dan ubat tahan sakit (painkiller) yang paling selamat dan sesuai digunakan oleh kanak-kanak, ibu mengandung dan menyusu serta warga emas.

    Panadol akan menjadi toksik atau overdose jika diambil lebih daripada 10g (20 biji) atau 200mg/kg berat badan.

    Ia bukan sahaja akan merosakkan hati malah boleh menyebabkan kematian apabila berlaku kerosakan pada hati.

    Pun demikian, bagi pesakit G6PD deficiency (possible risk of hemolysis), pesakit buah pinggang dan hati serta mereka yang alah pada paracetamol perlu berhati-hati apabila mengambilnya.

    Selain itu, panadol tidak akan tinggal lama dalam tubuh ia hanya mitos.

    Panadol hanya berada dalam badan selama empat hingga enam jam sahaja kemudian akan mengalami proses penghadaman.

    Sumber: Pakar Perundingan Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Ketengah Jaya Dungun, Terengganu, Dr Doktor Suhazeli Abdullah



    Sumber

  • Hukum wanita terlepas waktu solat kerana susukan anak

    Hukum wanita terlepas waktu solat kerana susukan anak

    MENJAGA bayi dan anak yang masih kecil memerlukan kesabaran yang tinggi, apatah lagi jika mereka masih lagi menyusu dengan ibunya.

    Setiap anak itu punya ragam masing-masing hinggakan ada yang langsung tidak mahu ‘berpisah’ walau sekejap dengan ibunya.

    Ada pula bayi yang kadangkala sepanjang masa mahu ‘berkepit’ dengan ibunya dan enggan melepaskan susu badan.

    Jika perkara itu berlaku ketika seorang ibu tersebut bersendirian menjaga anaknya, apakah hukumnya apabila wanita berkenaan menyusukan anak hingga terlepas waktu solat?

    Sebelum menjawab persoalan tersebut, kita perlu fahami hukum asal orang yang meninggalkan solat tanpa sengaja.

    Hukumya adalah tidak berdosa seperti diisyaratkan dalam hadis-hadis yang sahih dalam keadaan tertidur, budak kecil, orang gila, dipaksa, tersalah dan terlupa.

    Apa yang perlu dilakukan adalah dengan menggantikan sahaja segera yang mungkin.

    Dalam situasi di atas, boleh dibahagikan kepada dua keadaan.

    Pertama, jika si anak boleh ditinggalkan sebentar seperti meletakkan di sisinya, kemudian solat seringkas yang mungkin tanpa meninggalkan perkara yang wajib dan rukun agar segera mendapatkan anaknya.

    Hal itu berlaku sepertimana baginda Nabi Muhammad SAW dalam hadis sahih pernah meringkaskan solat ketika menjadi imam apabila terdengar tangisan bayi supaya si anak mendapatkan cepat ibunya.

    Kedua, keadaan yang amat sukar iaitu seperti anak terdedah kepada bahaya atau seumpamanya, maka dibenarkan untuk menjamakkan solat seperti Zuhur dengan Asar atau Maghrib dan Isyak mengikut pandangan Imam Ahmad bin Hanbal tanpa mengqasarkannya iaitu solat secara sempurna digabungkan sahaja tanpa memendekkannya.

    Itu adalah lebih baik daripada si ibu meninggalkan terus solat itu.

    Jika kedua keadaan di atas itu pun sukar dilakukan, maka bolehlah si ibu solat dalam keadaan memegang bayinya ketika menyusu dengan pergerakan terhad.

    Semoga ALLAH memberikan ganjaran sebanyaknya di atas kesusahan yang dilalui.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Duat (Murshid), pendakwah dan penulis.



    Sumber

  • Dua teknologi bantu pengguna Prolintas dalam kesulitan

    Dua teknologi bantu pengguna Prolintas dalam kesulitan

    KERETA rosak atau tayar bocor? Jangan panik jika berdepan masalah itu ketika melalui rangkaian lebuh raya Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).

    Ini kerana syarikat konsesi itu mampu membantu pengguna dengan sekelip mata melalui rangkaian dua teknologinya yang bermutu tinggi.

    Apa yang perlu dilakukan oleh para pengguna lebuh raya amat mudah sekali. Pertama, muat turun aplikasi mudah alih Prolintas dengan klik pada butang S.O.S untuk bantuan kecemasan tanpa perlu memaklumkan lokasi kejadian.

    Kurang dari dua saat, maklumat kecemasan akan diterima pusat kawalan sebelum pasukan peronda yang ditugaskan terus bergegas ke lokasi dengan menggunakan Smart e-Bike.

    Bercerita lanjut tentang kedua-dua teknologi berkenaan, Pengurus Besar Divisyen Perkhidmatan Korporat, Azhari Karim berkata, Prolintas merupakan satu-satunya entiti konsesi lebuh raya di Malaysia yang memperkenalkan aplikasi mudah alih cukup canggih bagi membantu pengguna lebuh raya itu.

    “Aplikasi tersebut lebih mudah, cepat dan tepat untuk menunjukkan lokasi sebenar pengguna berada kerana apabila berlaku kecemasan, mereka hanya perlu memilih jenis kecemasan dalam aplikasi tersebut.

    “Jangan bimbang jika tidak tahu lokasi spesifik kejadian kerana lokasi pemandu yang berada dalam kesulitan dapat dikesan secara automatik oleh peronda lebuh raya dengan syarat pengguna menghidupkan ciri GPS pada telefon pintar,” katanya kepada e-Trend dalam satu wawancara eksklusif di Pusat Operasi Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    APLIKASI Prolintas lebih mudah, cepat dan tepat untuk menunjukkan lokasi sebenar pengguna berada kerana apabila berlaku kecemasan.

    APLIKASI Prolintas lebih mudah, cepat dan tepat untuk menunjukkan lokasi sebenar pengguna berada kerana apabila berlaku kecemasan.

    Bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan yang ditawarkan, pasukan peronda akan sentiasa memantau dan bertindak dengan kadar segera apabila menerima isyarat S.O.S pada aplikasi mudah alih Prolintas.

    “Contohnya, pengguna menghantar makluman melalui aplikasi Prolintas, pusat operasi atau pasukan peronda akan menghubungi pengguna dengan serta-merta dan akan memberikan bantuan pada kadar segera,” ujar beliau.

    Menariknya lagi, aplikasi tersebut boleh diakses secara percuma melalui AppStore untuk pengguna iPhone atau iPad atau GooglePlay untuk pengguna peranti Android.

    AZHARI menunjukkan aplikasi mudah alih canggih bagi membantu pengguna lebuh raya Prolintas.

    AZHARI menunjukkan aplikasi mudah alih canggih bagi membantu pengguna lebuh raya Prolintas.

    Langkah proaktif

    Azhari menambah, inisiatif mewujudkan aplikasi itu merupakan salah satu pendekatan pihaknya mewujudkan komunikasi dua hala dengan para pengguna.

    “Antara faedah lain yang boleh didapati melalui aplikasi mudah alih itu ialah orang ramai boleh menerima maklumat trafik dan perkhidmatan lain di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK),” katanya.

    Teknologi itu ujar beliau merupakan sokongan tambahan kepada pelbagai saluran komunikasi lalu lintas Prolintas yang lain termasuk papan elektronik pelbagai pesanan, saluran media sosial seperti Twitter dan Facebook dan bantuan telefon kecemasan di lebuh raya kendalian Prolintas.

    Kepada e-Trend, Azhari berkata, sebagai langkah ke hadapan, pihaknya juga merancang untuk untuk memperluaskan aplikasi itu di kawasan baharu termasuk lebuh raya yang kini sedang dalam pembinaan iaitu Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

    AZHARI KARIM

    AZHARI KARIM

    Beliau menambah, aplikasi itu turut dijadikan sebagai platform untuk merangka program kesetiaan pelanggan dan pada masa sama, menambah baik sistem dan fungsi dalam masa terdekat.

    “Misalnya seperti program ‘mendapat dan menebus mata ganjaran’ atau diskaun khas jika menggunakan aplikasi secara berterusan.

    “Selain menjadi salah satu mekanisme terbaik untuk membantu pengguna, aplikasi tersebut akan memudahkan pihak Prolintas memaklumkan kepada pengguna mengenai promosi, pengumuman, kempen dan berita korporat syarikat,” katanya sambil menambah aplikasi tersebut turut memberi peluang kepada pengguna memberi maklum balas mengenai pengalaman menggunakan lebuh raya Prolintas.

    Prolintas Smart e-Bike

    Bagaimana pula dengan Smart e-Bike seperti yang diuar-uarkan tadi? Mengulas lanjut mengenai penggunaan teknologi kenderaan elektrik itu, Azhari menjelaskan, pihaknya telah melancarkan motosikal mesra alam tanpa penggunaan petrol, Smart e-Bike yang pertama di Malaysia.

    “Terkini, Prolintas mempunyai sejumlah 18 motosikal elektrik yang dibeli daripada pengeluar motosikal elektrik tempatan.

    “e-Bike itu yang dirujuk sebagai motosikal pintar akan digunakan di semua lebuh raya seperti AKLEH, GCE, LKSA dan SILK,” ujar beliau.

    KEMUDAHAN Smart e-Bike mampu melengkapkan keperluan pasukan peronda sekali gus meningkatkan kecekapan dan kekerapan rondaan.

    KEMUDAHAN Smart e-Bike mampu melengkapkan keperluan pasukan peronda sekali gus meningkatkan kecekapan dan kekerapan rondaan.

    Inovasi tersebut juga antara lain katanya, sebagai sokongan terhadap agenda Prolintas yang cenderung ke arah penggunaan teknologi hijau dalam operasinya, selaras dengan Pelan Induk Teknologi Hijau.

    “Dengan adanya e-Bike ini, ia mampu melengkapkan keperluan pasukan peronda sekali gus meningkatkan kecekapan dan kekerapan rondaan. Kemudahan itu juga berupaya meningkatkan tahap keyakinan pengguna lebuh raya kami,” katanya.

    Berdasarkan rekod, e-Bike mampu ditunggang sejauh lebih kurang 100 kilometer dengan sekali caj bateri penuh. Stesen pengecaj pula disediakan di setiap pusat operasi bagi memudahkan kekerapan rondaan pasukan.



    Sumber

  • Badan bebas selulit

    Badan bebas selulit

    Rawatan baharu, inovatif bertindak kurangkan selulit, bentuk kontur badan terutamanya pada bahagian perut, punggung, paha

    MAJORITI individu berpendapat golongan berbadan gempal sahaja akan mengalami selulit khususnya pada permukaan kulit betis, paha, punggung atau perut.

    Walhal, masalah kulit tampak berkedut bak buah oren itu turut membelenggu mereka yang bertubuh langsing, berusia dan kaum Adam.

    Apa itu selulit? Ringkasnya selulit berlaku apabila lapisan lemak yang terletak di bawah kulit mengalami kerosakan.

    Justeru, untuk menghilangkan selulit selain meningkatkan pengambilan makanan yang kaya kandungan minyak Omega-3 atau bersenam, masalah tersebut juga dapat diatasi dengan mendapatkan rawatan Thermal Shape di butik STRIP, Ministry of Waxing (pakar penjagaan intim).

    Menurut Jurulatih Strip, Eline Chang, Thermal Shape merupakan rawatan baharu dan inovatif yang bertindak mengurangkan selulit dan membentuk kontur badan terutamanya pada bahagian perut, punggung dan paha.

    “Kaedah ini membantu membentuk dan membaiki kulit badan yang kendur. Menariknya, ia bukan rawatan invasif yang mana kesan dapat dilihat serta-merta dan tidak memerlukan sebarang tempoh pemulihan.

    “Rawatan Thermal Shape menggunakan teknologi terbaik iaitu sistem 4 dalam 1 yang menggabungkan peronggaan ultrabunyi (ultrasound cavitation), frekuensi radio (radio frequency), sedutan vakum (vacuum suction) dan tenaga haba (heat energy),” jelas beliau ketika ditemui Femina di Strip Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Tambah Eline, alatan model yang selamat digunakan itu akan menyalurkan tenaga mampat pada kawasan sasar seperti lapisan dermis dan lemak.

    Misalnya, peronggaan ultrabunyi akan mengemulsi dan mengecutkan sel-sel lemak manakala sedutan vakum, haba dan frekuensi radio pula menembusi jauh ke dalam lapisan dermis untuk memanaskan kulit tisu, mengecutkan serat kolagen dan menegangkan.

    “Hasilnya, siluet badan kelihatan menawan dan menarik selepas satu sesi rawatan,” jelasnya lanjut.

    Langkah-langkah Rawatan Thermal Shape Strip

    1 Sebelum dibenarkan menjalani rawatan Thermal Shape, pakar terapi Strip akan mengadakan sesi rundingan bagi mengenalpasti beberapa perkara utama.

    Antaranya adalah memastikan wanita tidak melakukan sebarang prosedur pembedahan dalam tempoh enam bulan; hamil atau menyusu badan atau mengalami ulser, luka atau ketuat pada bahagian yang akan menjalani rawatan.

    2 Sebaik sahaja direhatkan di atas katil di dalam bilik rawatan, pakar terapi akan menyapu krim antiseptik pada bahagian badan pilihan pelanggan.

    3 Kemudian, gel ultrasonic disapukan bagi melancarkan sesi rawatan Thermal Shape.

    4 Seterusnya adalah dengan mengolekkan alat ultrasound cavitation pada bahagian yang telah disapu gel ultrasonic sebentar tadi.

    Pada peringkat ini, deringan bunyi ringan akan kedengaran pada telinga pelanggan ekoran getaran mikro yang bergerak sekitar tubuh. Badan pula terasa hangat seperti menjalani rawatan urutan menggunakan ketulan batu panas.

    5 Selepas itu, pakar terapi akan mengaplikasikan pula Thermal O2 menggunakan mesin teknologi moden menggabungkan teknik vakum, haba dan frekuensi radio.

    Mesin berkenaan bertujuan untuk menegangkan semula permukaan kulit berselulit.

    Thermal Shape Strip

    Lokasi: Strip Bangsar Village 2, Kuala Lumpur

    Masa operasi: 9 pagi hingga 6 petang (Isnin-Jumaat)

    Web: www.strip-my.com

    Facebook: https://www.facebook.com/StripMalaysia

    Instagram: @stripmalaysia

    E-mel: info@strip-my.com



    Sumber

  • Al-Kahf terjemahan zaman ini

    Al-Kahf terjemahan zaman ini

    PEMILIHAN surah al-Kahf sempena penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini bakal memberi ilmu baharu kepada masyarakat apabila dapat diterjemahkan dalam konteks masa kini supaya ia lebih relevan.

    Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir itu merupakan cerminan ayat antara satu sama lain yang mana ALLAH telah susun sebaiknya untuk manusia menghayati serta mengamalkannya.

    Menurutnya, Malaysia #QuranHour bukan satu program tetapi merupakan kempen berterusan supaya pergerakan pemikiran umat Islam kepada al-Quran terus berpanjangan.

    “Motif kita adalah untuk menghidupkan budaya al-Quran kepada bangsa dan mengikhlaskan ummah.

    “Masalah hari ini menyebabkan ramai umat Islam tertekan berpunca daripada kelemahan orang Islam itu sendiri,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama bertajuk Quran Hour: Mengqurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah.

    Hussamuddin berkata, Malaysia #QuranHour yang bakal berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya hari ini merupakan kempen terbaik di mana menggalakkan umat Islam kembali berinteraksi dengan al-Quran.

    Jelas beliau, Islam juga ialah cara bagaimana seseorang itu menjalani kehidupan dan bersedia dengan kematian, jadi panduan hidup dan mati itu terdapat dalam al-Quran.

    “Kita mengambil inisiatif itu dengan mengajak mereka pegang, belek dan baca al-Quran selain faham, hayati serta amalkannya.

    “Masalah umat Islam hari ini mereka tidak faham, membacanya pun tidak faham,” tegasnya.

    Mengulas mengenai penglibatan pelbagai pihak sempena Malaysia #QuranHour, beliau berkata, media adalah antara pihak yang berpengaruh menggerakkan ummah dalam menjadikan al-Quran itu sesuai untuk semua.

    Jelasnya, sesiapa sahaja mempunyai pengaruh namun institusi media antara kumpulan yang boleh menggerakkan ummah secara bersepadu dan besar-besaran.

    “Kita berharap usaha ini membantu kebangkitan umat Islam untuk menarik lebih ramai pihak mengenal Islam,” katanya.



    Sumber