Blog

  • Kempen kamar tidur IKEA beri inspirasi utamakan tidur berkualiti

    Kempen kamar tidur IKEA beri inspirasi utamakan tidur berkualiti

    SEBAHAGIAN besar individu berusaha mengecapi kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan harian sehingga sanggup mengabaikan tidur berkualiti.

    Ia diperkukuhkan menerusi kajian, Life at Home IKEA yang mendapati majoriti responden berpendapat waktu tidur tidak mencukupi adalah harga perlu dibayar demi mencapai kejayaan dihajati.

    Walhal, tidur yang tidak sempurna itu boleh menyebabkan seseorang kurang bermaya, sekali gus memberi kesan produktiviti diri.

    Sehubungan itu, enggan membiarkan situasi tersebut berterusan, IKEA yang merupakan gedung jenama perabot terkemuka Sweden melancarkan kempen bertemakan, Make Home Count.

    Kempen yang bakal berlangsung sepanjang tahun 2020 itu memberi tumpuan khusus pada kamar tidur yang berfungsi sebagai tempat pemulihan termasuk lokasi ideal untuk merehatkan tubuh dan minda.

    Menurut Timbalan Pengarah Runcit, IKEA Asia Tenggara, Gerard Jansen, masyarakat hari ini dilihat menjalani kehidupan dalam keadaan yang tidak cukup tidur. Secara purata, hanya menikmati tidur lebih kurang enam jam sehari.

    “Justeru, menerusi kempen Make Home Count ini, diharapkan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia supaya mengutamakan tidur berkualiti. Satu daripadanya adalah dengan menerapkan ruang kamar konsep menarik, mampu milik dan lestari agar kita memperoleh ketenangan yang terbaik,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Make Home Count di ibu kota baru-baru ini.

    Tambah beliau, akur segelintir individu mengalami kesukaran melakukan transformasi bilik baik dari segi kekangan masa mahupun bajet mulai bulan ini hingga Disember depan, IKEA menampilkan tekstil berbeza pada harga berpatutan.

    “Bukan itu sahaja, ruang pameran di gedung IKEA juga diberi nafas baharu bagi memudahkan pelanggan mendapat inspirasi, seterusnya menerapkan di rumah sendiri dengan kos perbelanjaan di bawah RM320,” jelasnya.

    ANEKDOT

    Produk IKEA

    – Set cadar dan sarung bantal

    – Sarung kusyen

    – Langsir

    – Meja mini

    – Bingkai gambar

    – Karpet

    Lokasi: IKEA Damansara, IKEA Cheras, IKEA Tebrau dan IKEA Batu Kawan.

    Web: IKEA.my/catalogue



    Sumber

  • #QuranHour: Suntikan semangat kepada masyarakat

    #QuranHour: Suntikan semangat kepada masyarakat

    SELEPAS lima tahun penganjurannya, kempen Malaysia #QuranHour dilihat semakin dekat di hati rakyat khususnya yang beragama Islam di negara ini.

    Menariknya, tahun ini juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) muncul sebagai penganjur utama bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dalam merancakkan lagi usaha mengajak orang ramai membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran.

    Pemilihan Masjid Putra, Putrajaya sebagai lokasi yang dianggarkan bakal menerima kehadiran 7, 000 peserta pada majlis yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini pastinya mempunyai tarikan tersendiri.

    Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pengisian dan persiapan program yang sangat dinanti-nantikan itu, ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Nurul Huda Husain dan jurugambar, Rosli Talib bersama KETUA PENGARAH JAKIM, DATUK MOHAMAD NORDIN IBRAHIM di di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    SINAR HARIAN: Apakah pandangan Datuk mengenai Malaysia #QuranHour dalam mengajak orang ramai mendekati al-Quran melalui baca, faham dan amal?

    MOHAMAD NORDIN: Program ini kami lihat sebagai program yang sangat berpotensi dan amat baik, sesuai kepada masyarakat Islam yang semakin matang, yang perlukan kepada satu suntikan nilai-nilai al-Quran sebagai rujukan dalam kehidupan. Program ini kita lihat sebagai satu fenomena yang sangat baik bukan sahaja dalam negeri bahkan memberi semangat kepada masyarakat di luar negara kerana selain membaca, peserta juga dapat memahami dan seterusnya mengamalkan apa yang terkandung dalam kitab suci al-Quran.

    Bagaimana penglibatan dan komitmen pihak Jakim dalam menjayakan Malaysia #QuranHour?

    MOHAMAD NORDIN: Kita di pihak Jakim akan menggerakkan sokongan dan kerjasama terhadap program ini di mana idea penganjuran Malaysia #QuranHour ini juga dilihat sesuai dengan tagline kami iaitu Melebar Risalah, Menyantuni Ummah.

    Selain itu, bentuk sokongan lain adalah kita menyediakan tempat yang selesa dan sesuai untuk penganjuran program berskala besar sebegini. Lokasi yang dipilih iaitu Masjid Putra yang mempunyai kemudahan lengkap dan nilai yang tersendiri.

    Mohamad Nordin  FOTO: ROSLI TALIB

    Mohamad Nordin FOTO: ROSLI TALIB

    Berapa ramaikah kakitangan Jakim yang akan terlibat dan agensi manakah lagi yang turut terlibat bagi memartabatkan lagi al-Quran?

    MOHAMAD NORDIN: Buat masa ini, saya belum lagi keluarkan surat pekeliling kepada kakitangan Jakim tetapi saya akan minta mereka hadir dengan jangkaan 300 orang akan hadir.

    Selain itu, saya juga akan membuat perjumpaan dengan Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) untuk meminta agensi itu menggerakkan masjid dan surat di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya ini untuk turut serta ke Masjid Putra atau mereka boleh lakukan di tempat masing-masing.

    Mengapakah Masjid Putra menjadi lokasi perdana untuk Malaysia #QuranHour?

    MOHAMAD NORDIN: Masjid Putra bukan sahaja sebuah masjid yang berprestij di Putrajaya tetapi turut mempunyai nilai tersendiri apabila menjadi masjid pertama didirikan bersama-sama Perdana Putra yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Selain itu, Putrajaya juga sangat dikenali dan sering dikunjungi pelancong asing, jadi di situ juga mempunyai daya tarikan pelancong.

    Berapa ramaikah dijangka peserta yang akan sertai program julung kali diadakan di Masjid Putra ini?

    MOHAMAD NORDIN: Kami menjangkakan seramai 7,000 peserta akan mengambil bahagian pada program julung kalinya di Masjid Putra ini.

    Apakah sasaran pihak Jakim dalam menerajui Malaysia #QuranHour?

    MOHAMAD NORDIN: Program bersifat dakwah sebegini sememangnya menjadi antara fokus utama pihak kami. Bukan sahaja ia disampaikan secara terus oleh pihak Jakim tetapi juga melalui kerjasama pelbagai pihak.

    Alhamdulillah, kita melihat program ini semakin mendapat tempat serta turut memberi kesan. Justeru sebab itulah kita perlu yakin dan percaya bahawa al-Quran sahajalah menjadi kitab yang perlu dirujuk oleh semua umat Islam.

    Jadi, pihak kami menyasarkan lebih ramai yang akan memanfaatkan program ini dengan turut serta untuk membaca, faham dan seterusnya amal apa yang terkandung dalam al-Quran untuk terus berjaya dalam hidup.

    Pandangan Datuk mengenai tema Malaysia #QuranHour iaitu Bangsa, Berbudi dan Rahmah, tahun ini?

    MOHAMAD NORDIN: Sesuai dengan konsep ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat (Rahmah) yang diketengahkan kerajaan, konsep ini turut mengajar kepada nilai-nilai perpaduan, keamanan, menjauhi kebencian, kasih sayang lain-lain amalan yang baik. Perkara ini sememangnya menjadi teras kepada masyarakat serta ia turut disebut di dalam kitab suci al-Quran.

    Malaysia #QuranHour membawa misi al-Kahf iaitu bertadabbur. Boleh Datuk terangkan kepentingan surah ini yang mungkin boleh kaitkan dengan sambutan Hari Kemerdekaan bagi rakyat untuk menghayati nilai-nilai al-Quran?

    MOHAMAD NORDIN: Umum mengetahui surah al-Kahf ini mempunyai banyak pengajaran, falsafah berkait rapat dengan kehidupan kita seharian.

    Terjemahan ayat itu merangkumi perjuangan, cabaran, ciri pemimpin yang amanah dan sebagainya yang dilihat sangat berkait rapat dengan kita dan atas sebab itulah ia wajar didalami oleh seluruh umat Islam.

    Selain itu, bersesuaian dengan masyarakat Malaysia yang bakal menyambut beberapa tarikh penting seperti Hari Kemerdekaan dan Tahun Baharu Hijrah, secara tidak langsung memberikan semangat yang berbeza.

    Menyambut kemerdekaan dalam konteks al-Quran supaya ia tidak lari daripada landasan sebenar. Dalam al-Quran itu sendiri turut mempunyai hal-hal berkaitan kenegaraan, disiplin rakyat dan sebagainya. Apa yang saya boleh simpulkan, semua panduan itu ada dalam al-Quran.

    Apakah harapan Datuk terhadap program ini?

    MOHAMAD NORDIN: Saya berharap agar masyarakat dapat turun beramai-ramai untuk menyokong usaha murni ini dalam memastikan masyarakat terus dekat dengan al-Quran. Selain itu, saya juga berharap agar kerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) ini akan berterusan dalam mengadakan program #QuranHour pada masa akan datang.

    5 HARI - 25 OGOS

    5 HARI – 25 OGOS



    Sumber

  • Baju Melayu, kurta pilihan segak raya 2019

    Baju Melayu, kurta pilihan segak raya 2019

    DALAM keterujaan meraikan nikmat lebaran bersama keluarga dan sahabat handai, golongan lelaki khususnya dinasihatkan supaya tidak mengabaikan aspek penampilan diri dikala menghadiri majlis rumah terbuka.

    Tampil segak menyarungkan persalinan pakaian cantik dan selesa bukan sahaja menyuntik mood ceria malah membantu individu tampak bergaya dalam rakaman foto kenangan.

    Justeru, memahami kehendak jejaka moden yang sentiasa mendambakan variasi pakaian menarik, jenama Hassan Adli tampil dengan koleksi Hari Raya 2019 koloborasi bersama jenama wanita, Zawyya dan kanak-kanak, Taeyl.

    Kurta Hassan Adli

    Jenama yang diasaskan Imam Muda Hassan Adli dan Jarir Haron itu menawarkan baju Melayu dalam sentuhan rekaan eksklusif termasuk kemasan dan pemilihan fabrik berkualiti tinggi yang menyerlahkan sisi maskulin.

    Bagi seleksi jubah dan kurta, terdapat tiga konsep iaitu Kontemporari, Premium dan Platinum yang mana golongan lelaki bebas gaya pilihan sepanjang Syawal.

    Rekaan minimalis Zawyya

    Sementara itu, koleksi Zawya pula memperkenalkan blaus terbaharu yang mengetengahkan rekaan minimalis tetapi masih memberikan sentuhan sopan dan anggun.

    Himpunan busana wanita jenama berkenaan ideal digayakan sedondon bersama baju raya lelaki jenama Hassan Adli.

    Taeyl untuk si kecil

    Kepada famili yang mempunyai anak kecil, koloborasi Hassan Adli bersama jenama Taeyl adalah pilihan tepat.

    Padanan sedondon kurta dan baju Melayu kontemporari menggunakan material selesa, praktikal dan berkualiti tinggi menjanjikan keselesaan dan keceriaan si comel ketika beraya.

    Anekdot:

    Instagram: @hassanadliboutique

    Facebook: Hassan Adli Boutique



    Sumber

  • Bahaya penyakit tekanan darah rendah

    Bahaya penyakit tekanan darah rendah

    PENING kepala dan pengsan secara tiba-tiba salah satu gejala mereka yang berhadapan dengan masalah tekanan darah rendah.

    Tekanan darah rendah tidak hanya berlaku kepada ibu hamil. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

    Tekanan darah rendah berlaku apabila pesakit mempunyai tekanan lebih rendah daripada bacaan normal. Julat tekanan darah yang normal adalah di antara bacaan 90/60 milimeter merkuri (mmHg) hingga 140/90mmHg.

    Jika tekanan darah kurang daripada bacaan itu, pesakit akan mengalami masalah pening kepala dan pengsan. Namun, jika ia lebih daripada julat tersebut pula pesakit dikatakan mengalami tekanan darah tinggi.

    Tidak semua pesakit menunjukkan simptom tekanan darah rendah. Ia mungkin disebabkan memang bacaan untuk tekanan darah sebelum itu mempunyai bacaan yang rendah.

    Bacaan yang rendah itu biasanya berlaku kepada kaum wanita, kurus dan faktor keturunan.

    Antara simptom yang ditunjukkan masalah itu seperti:

    – Rasa berdebar-debar

    – Pening kepala

    – Badan menjadi lemah

    – Pengsan

    – Sesak nafas

    – Pandangan menjadi berpinar ataupun kabur

    – Merasakan badan sejuk

    – Muka pucat

    Beberapa punca sebenar yang boleh menyebabkan tekanan menjadi terlalu rendah adalah:

    1. Masalah jantung

    Jantung berfungsi untuk mengepam darah ke seluruh bahagian badan. Jika organ itu mengalami masalah, ia akan menyebabkan tekanan darah menjadi rendah. Beberapa penyakit yang menyebabkan masalah pada jantung adalah serangan sakit jantung, injap jantung bermasalah, jantung berdenyut tidak normal, lemah jantung, keradangan pada otot jantung.

    2. Masalah endokrin

    Sistem endokrin adalah sistem yang melibatkan penghasilan hormon di dalam badan. Ia boleh mempengaruhi pelbagai organ dalam badan termasuk jantung, buah pinggang dan sebagainya.

    Beberapa masalah yang boleh menyebabkan tekanan darah rendah disebabkan masalah endokrin adalah Diabetic Ketoacidosis (masalah kencing manis dan gula dalam darah sangat tinggi) dan Addison’s Disease (tidak dapat menghasilkan hormon yang cukup untuk mengekalkan kandungan gram dalam darah.

    3. Kurang air

    Masalah yang menyebabkan muntah-muntah dan boleh membuatkan seseorang itu kekurangan air dalam badan. Terutamanya jika pesakit tidak boleh minum air disebabkan asyik muntah.

    Masalah itu akan menyebabkan isipadu darah semakin kurang dan tekanan darah juga menjadi kurang.

    4. Pendarahan

    Pendarahan yang teruk juga akan menyebabkan isipadu darah menjadi berkurangan. Bagi pesakit kehilangan darah perlu diganti dengan darah semula.

    5. Jangkitan kuman yang teruk(Sepsis)

    Jika kuman telah memasuki darah, ia boleh menyebabkan satu keadaan yang dinamakan sebagai sepsis. Jika tidak dirawat dengan cepat, pesakit akan mengalami tekanan darah rendah dan keadaan itu dipanggil sebagai Septic Shock dan boleh membawa kepada maut.

    Jangkitan yang boleh berlaku dengan teruk adalah jangkitan paru-paru, jangkitan pada kulit(cellulitis), jangkitan pada tempat buang air kencing atau kencing kotor dan banyak lagi.

    Siapa lebih berisiko:

    – Pesakit yang berumur lebih daripada 65 tahun dan mempunyai pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.

    – Pesakit yang mengambil ubat tekanan darah.

    – Mereka yang menghadapi penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan pernah mengalami serangan sakit jantung adalah berisiko

    Rawatan masalah tekanan darah rendah adalah berdasarkan punca-punca yang telah dinyatakan. Punca yang berlainan memerlukan rawatan yang berlainan.

    Sumber: https://thediagnosa.com



    Sumber

  • Surah al-Fatihah membuka potensi diri

    Surah al-Fatihah membuka potensi diri

    TIDAK lengkap rasanya jika satu hari kita ‘meninggalkan’ Surah al-Fatihah kecuali disebabkan keuzuran.

    Begitu signifikannya surah itu kerana ia merupakan salah satu rukun solat sama ada bagi solat fardu mahupun sunat.

    Selain itu, Surah al-Fatihah ‘diangkat’ sebagai surah yang pertama dalam al-Quran dan dipanggil sebagai ummul kitab.

    Ketika memulakan sebarang majlis, bacaan surah itu sudah pasti akan meniti pada bibir kita.

    Segmen Kapsul Surah pada edisi sulung kali ini akan berkongsi tentang manfaat surah berkenaan dalam membuka potensi diri.

    Ikuti kupasannya bersama Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail.



    Sumber

  • Dendeng balado cita rasa Yusnilah Yunus

    Dendeng balado cita rasa Yusnilah Yunus

    BAHAN-BAHAN A:

    Daging 1/2kg

    Bawang putih 6 ulas

    Halia 1 inci

    Satu sudu biji ketumbar

    Satu sudu kecil kecil lada hitam

    Satu sudu kecil lada putih

    Garam secukup rasa

    BAHAN-BAHAN B:

    Cili merah 10 batang

    Bawang besar

    Tomato 1 biji

    Daun limau purut 3 helai

    Gula secukup rasa

    Garam secukup rasa

    CARA MEMASAK A:

    1) Daging direbus bersama bumbu bawang putih, halia, ketumbar, lada hitam, lada putih sehingga kering.

    2) Tambah garam secukup rasa.

    3) Kemudian, hiris daging mengikut saiz pilihan.

    4) Memarkan hirisan daging.

    5) Goreng seketika, tidak perlu garing lalu ketepikan.

    CARA MEMASAK B:

    1) Cili merah, bawang, tomato dikukus atau direbus seketika.

    2) Kemudian, tumbuk atau menggesek bagi mendapatkan tekstur kasar.

    3) Tumis sehingga masak dan letakkan garam, gula serta daun limau purut.

    4) Seterusnya masukkan daging dendeng yang telah dihiris sebentar tadi.

    5) Siap untuk dinikmati bersama nasi putih.

    Sumber: Yusnilah Yunus



    Sumber

  • Gema #QuranHour di Madrid

    Gema #QuranHour di Madrid

    SHAH ALAM – Program Malaysia #QuranHour buat julung kalinya bakal diadakan di Madrid hasil sokongan daripada Kedutaan Besar Malaysia di Sepanyol di bawah Kementerian Luar Negara.

    Kuasa Usaha Sementaranya, Khaeriah Zaehera Abd Kayyum berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Sepanyol akan menganjurkan program itu di pejabat kedutaan di Madrid.

    Menurutnya, program #QuranHour dilihat sebagai satu platform yang baik dalam usaha merapatkan perpaduan dan silaturahim seluruh rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

    “Program ini juga mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat merentasi budaya yang berlainan dan negara di seluruh dunia.

    “Secara tidak langsung kempen ini menaikkan imej Islam dan menyuntik semangat mendalami, menghayati serta mempraktikkan ajaran terkandung di dalam al-Quran,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

    Justeru, katanya, masyarakat di Malaysia tidak harus melepaskan peluang untuk menyertai program itu kerana ia adalah satu cara untuk berinteraksi dengan al-Quran dan seterusnya sebagai satu tanda sokongan membentuk solidariti ummah di seluruh dunia.

    Pejabat kedutaan di Madrid akan menjadi lokasi penganjuran Malaysia #QuranHour.

    Pejabat kedutaan di Madrid akan menjadi lokasi penganjuran Malaysia #QuranHour.

    “Program ini berjaya mengangkat budaya tadarus al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia dan kesungguhan menjadikan ia sebagai acara tahunan menggambarkan semangat untuk bersama menyebarkan syiar Islam,” katanya.

    Mengulas mengenai persiapan untuk penganjuran program itu, beliau berkata, pihaknya telah membuat hebahan dan menguar-uarkan jemputan program itu kepada seluruh rakyat Malaysia yang bermastautin di Madrid dan bandar-bandar lain yang berdekatan.

    “Jemputan ini bukan hanya dalam kalangan rakyat Malaysia yang tinggal di sini tetapi pihak kedutaan turut menghebahkan kepada komuniti Islam tempatan,” katanya.

    Dalam pada itu, Khaeriah Zaehera berkata, penganjuran Malaysia #QuranHour yang dijadualkan berlangsung menjelang ambang sambutan kemerdekaan negara yang ke-62 tahun sangat memberi makna kepada seluruh rakyat di negara ini kerana dapat bersama menghayati semangat cintakan negara dan membentuk jati diri umat Islam yang baik.

    “Program Malaysia #QuranHour kali ini mengangkat tema Bangsa Berbudi Penyayang dengan mengajak masyarakat memahami cabaran dunia akhir zaman dan solusi daripada surah al-Kahf.

    “Antara lain ia juga memperjelaskan inspirasi dan usaha agar manusia mampu melonjakkan potensi berlandaskan nilai diri berteraskan al-Quran dan sunnah,” katanya.



    Sumber

  • Kajian bukti golongan bapa pandang ‘sepi’ cuti bersalin

    Kajian bukti golongan bapa pandang ‘sepi’ cuti bersalin

    SATU kajian baharu menggambarkan perbezaan ‘tugas’ antara lelaki dan wanita adalah bermula dari rumah.

    Ia berdasarkan hasil keputusan yang diperoleh iaitu hanya sebahagian kecil golongan bapa sanggup mengambil cuti bersalin (paternity leave) manakala selebihnya menyifatkan proses menjaga bayi merupakan tugas hakiki wanita bukannya lelaki.

    Berdasarkan laporan Organisasi Promundo di Amerika Syarikat, biarpun 90 daripada 187 buah negara menawarkan cuti bersalin namun, nampaknya peluang tersebut dipandang ‘sepi’ oleh sesetengah kaum bapa.

    Buktinya, sebanyak 80 peratus lelaki di 15 buah negara seperti Mesir, India, Pakistan, Mali, Moldova dan Nigeria berpendapat proses menukar lampin, memandikan mahupun menyusu bayi adalah tugas seorang ibu.

    Sementara itu, The State of the World’s Fathers pula melaporkan sebanyak 40 peratus bapa di Kanada dan 35 peratus di Jepun tidak merebut peluang cuti bersalin kerana lebih cenderung memikirkan soal kerja dan kewangan keluarga.

    Situasi sama turut berlaku di Brazil, Argentina, Belanda dan Britain walaupun golongan ibu memberitahu keadaan fizikal dan mental mereka selepas tempoh bersalin akan bertambah sihat sekiranya para suami mengambil cuti selama dua minggu.

    Bagaimanapun, hasil kajian di tujuh buah negara yang melibatkan 12,000 individu mendapati separuh daripada lelaki sukarela memohon cuti bersalin selepas isteri mereka bersalin atau mengambil anak angkat.

    Menurut Penyelidik Promundo, Brian Heilman pula, terlalu banyak laporan ataupun kajian mendedahkan perihal stereotaip jantina yang berlaku di seantero dunia.

    “Kesannya, jika di rumah sudah wujud perbezaan tugas antara lelaki dan wanita maka tidak mustahil amalan seumpama itu akan berlarutan di luar kediaman terutamanya di tempat kerja,” katanya kepada Yayasan Thomson Reuters.



    Sumber

  • Budak kecil berpotensi terkena gastrik

    Budak kecil berpotensi terkena gastrik

    Anda Musykil, Doktor Jawab

    SOALAN 1

    IBU bapa perlu mempunyai pengetahuan membezakan antara sakit perut biasa dengan gastrik yang dialami oleh anak.

    IBU bapa perlu mempunyai pengetahuan membezakan antara sakit perut biasa dengan gastrik yang dialami oleh anak.

    DOKTOR, anak saya sering mengadu sakit perut, pening dan loya. Gejala itu akan hilang apabila ubat disapu pada perutnya. Bagaimanapun, sakitnya tetap berulang.

    Saya ingin bertanya kepada doktor, bolehkah gastrik berlaku kepada kanak-kanak dan mudahkah ia menyerang si kecil? Seperkara, benarkah gastrik boleh dikaitkan dengan psikologi pesakit. Jika ya, apakah rawatannya?

    -INGIN TAHU, MARINA YUSOF, 39, BESUT, TERENGGANU

    JAWAPAN:

    PUAN, gastrik merupakan penyakit yang berlaku akibat keradangan pada dinding perut. Ia terdiri daripada penyakit gastritis, ulser gastrik (ketumbuhan polip dalam perut) dan penyakit GERD atau simptom pedih hulu hati.

    Gastrik mudah menyerang sesiapa sahaja yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat. Makan berlebihan pada satu-satu masa, berlemak, pedas, kafein, berkarbonat, makan tidak teratur, perokok, mengambil ubat tahan sakit (aspirin) dan minum alkohol merupakan antara punca gastrik boleh terjadi.

    Sesiapa tidak menjaga kesihatan dan pemakanan juga berisiko, tidak terkecuali kanak-kanak. Ia bergantung kepada cara kanak-kanak itu dibesarkan, corak pemakanan serta gaya hidup kanak-kanak itu main peranan.

    Puan, biasanya ada perbezaan sakit gastrik atau sakit perut biasa. Sakit perut biasa akan mengakibatkan ketidakselesaan pada perut, cirit-birit atau sakit yang akan berhenti selepas beberapa jam atau hari.

    GAMBARAN masalah gastrik yang berlaku.

    GAMBARAN masalah gastrik yang berlaku.

    Masalah gastrik pula simptomnya berulang. Jika tidak dikawal corak pemakanan, kesannya boleh mengakibatkan pelbagai masalah lain.

    Tanda gastrik seperti ketidakselesaan dan sakit perut pada bahagian atas abdomen (pedih hulu hati), perut senak, berangin, pedih, kembung, sendawa, loya dan hilang selera makan. Untuk pengesahan, berjumpalah doktor. Pemeriksaan pada perut akan dibuat melalui proses endoskopi. Pemeriksaan ujian darah juga akan dilakukan untuk mengenal pasti punca sakit perut biasa atau gastrik.

    Ubat-ubatan

    Gastrik turut dikaitkan dengan psikologi pesakit pada sesetengah kes. Ada pesakit menganggap mereka diserang gastrik, namun apabila pemeriksaan menyeluruh dijalankan, mereka tidak menunjukkan simptom-simptom berkenaan.

    Faktor luaran seperti stres membuatkan pesakit berfikir simptom-simptom yang dialami merupakan masalah gastrik.

    Bagi merawatnya, doktor akan mengesyorkan rawatan untuk meneutralkan asid dalam badan. Ubat-ubatan tertentu akan diberikan. Doktor akan menyarankan pesakit mengamalkan cara hidup sihat.

    Untuk pesakit kanak-kanak, mereka tidak perlu mengambil ubat seperti pesakit dewasa. Namun, doktor tetap perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh sebelum memberikan sebarang jawapan.

    Pesakit dinasihati tidak terus mendapatkan ubat di farmasi tanpa sebarang pemeriksaan. Segera berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda membimbangkan.

    Profil

    DR KIRUBAKARAN

    DR KIRUBAKARAN

    Dr Kirubakaran Malapan merupakan Pakar Bedah Am, Payudara, Bariatrik dan Endokrin di Hospital Gleneagles Pulau Pinang.



    Sumber

  • Ruginya tak bangun sebelum subuh

    Ruginya tak bangun sebelum subuh

    DUNIA Subuh sesungguhnya begitu indah dan terkandung hikmah di sebaliknya. Yang pasti, ia berkait dengan keberkatan dan rahmat ALLAH bagi sesiapa yang menghidupkan awal pagi mereka dengan perkara yang bermanfaat.

    Kenapa bangun awal pagi begitu digalakkan Islam? Apakah kelebihannya waktu awal pagi?

    Segala persoalan berkenaan akan dikupas beberapa agamawan menerusi sisipan Sinar Islam esok.



    Sumber