Blog

  • Gerakan mengqurankan ummah

    Gerakan mengqurankan ummah

    Ingin bersama menggerakkan GERAKAN MENGQURANKAN UMMAH di seluruh Malaysia dan dunia?

    Menuju perubahan karakter dan ekosistem melalui program berinteraksi dengan Al-Quran melalui kempen berskala besar.

    Melatih para ustaz dan ustazah dengan tadabbur dan tazakkur Quran.

    Menggerakkan misi Masuk Syurga Sekeluarga dengan kelas-kelas serta program mengubah mindset melalui Baca, Faham dan Amal.

    Banyak lagi program berlandaskan Al-Quran dan As Sunnah.

    Zakat dan infak boleh disalurkan kepada TABUNG MENGQURANKAN UMMAH, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas untuk sinergi melakukan islah melalui Al-Quran dan As Sunnah.

    LATARBELAKANG

    Yayasan Warisan Ummah Ikhlas telah ditubuhkan pada tahun 2013 dengan memulakan kempen Berinteraksi dengan Al-Quran: Baca, Faham dan Amal. Sehingga kini lebih 1300 buah Rumah Ngaji telah ditubuhkan yang memberikan pengajian percuma di dalam masyarakat. Melalui #QuranHourdi peringkat negeri dan dunia, hampir 300 lokasi di 68 buah negara telah diadakan World #QuranHour dengan capaian 1.46 billion pada tahun 2019. Setiap tahun 1 dari 114 surah dipilih untuk dilahirkan dari nilai menjadi tindakan/ amalan. Matlamatnya pada tahun 1500H akan berlaku perubahan ekosistem di dalam pendidikan, ekonomi sosial dan banyak aspek kembali berlandaskan Al Quran dan As Sunnah. Biidznillah.

    From Malaysia to the World.

    Berlumba-lumba berbuat kebaikan.

    Solidariti MengQurankan Ummah



    Sumber

  • ‘Bukan mudah bekerja di pagi Syawal’

    ‘Bukan mudah bekerja di pagi Syawal’

    SEPERTI polis, tentera, jururawat, doktor, bomba mahupun askar yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri, juruterbang juga tidak ketinggalan.

    Jika tiada mereka, tidak berpeluanglah orang ramai pulang ke kampung waima ke mana-mana destinasi pada musim perayaan.

    Apa yang pasti, memang tidak mudah untuk sesiapa pun bekerja pada pagi lebaran. Rasanya kalau terdengar alunan lagu raya, air mata jantan pun boleh berguguran.

    Fiq (kiri) dan Azri sentiasa ingin memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang AirAsia.

    Fiq (kiri) dan Azri sentiasa ingin memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang AirAsia.

    Mengenangkan pengorbanan kerjaya seorang juruterbang, Oh! Lelaki mengambil kesempatan menemubual dua orang juruterbang AirAsia yang pernah berpengalaman bekerja pada hari raya.

    Mereka ialah Shafiq Haizam Mohd Kamil, 28, atau mesra di panggil Fiq dan Azri Sharif Badar Sharif, 33, atau Azri.

    Kedua-duanya menyimpulkan, pengalaman yang direntas sebelum ini merupakan memori yang terindah walaupun sejujurnya bukan mudah.

    Fiq yang merupakan Juruterbang Kanan AirAsia X Malaysia berkata, beliau secara peribadi tidak kisah kerana kesedihan yang ditanggung hilang sama sekali tatkala melihat wajah pelanggan yang gembira sebaik tiba di kampung halaman.

    Berdasarkan rekod, beliau pernah menerbangkan sejumlah penumpang ke Tianjin, China; Fukuoka, Japan; Jeju, Korea; Amritsar, India dan Melbourne, Australia.

    Fiq sedia memberikan khidmat yang diperlukan di hari lebaran

    Fiq sedia memberikan khidmat yang diperlukan di hari lebaran

    “Saya bersedia dengan pelbagai keadaan termasuk bertugas pada hari lebaran. Darah daging keluarga yang bekerja dalam industri penerbangan membuatkan saya lebih memahami,” katanya sambil memberitahu, ayah dan abangnya juga seorang juruterbang manakala kakak ipar dan isterinya bertugas sebagai pramugari.

    Apa pula cerita Azri yang merupakan Juruterbang Kanan AirAsia Malaysia yang pernah membawa penumpang melewati beberapa negara seperti Bangkok, Thailand; Jakarta, Indonesia; Manila, Filipina; Kota Kinabalu, Sabah dan Guangzhou, China?

    “Saya sama seperti Fiq. Bagi saya apabila kita sudah memilih sesuatu kerjaya, kita harus berkorban dengan segala macam perkara termasuk bekerja pada hari raya. Memang sedikit sedih namun tanggungjawab harus dilunaskan,” katanya yang meminati kerjaya juruterbang sejak kecil lagi.

    Ikuti temu bual lanjut Oh! Lelaki bersama dua juruterbang macho itu mengenai cetusan perasaan mereka ketika bertugas sekali gus beraya di awan biru.

    1. Terlebih dahulu, boleh kongsi dengan Oh! Lelaki tentang bidang tugas seorang juruterbang?

    FIQ: Penerbangan saya meliputi destinasi penerbangan lebih dari empat jam ke atas dan ada perlu bermalam di sesuatu destinasi. Paling pendek, trip penerbangan saya mengambil masa tiga hari dan paling lama sampai sembilan hari.

    Skop tugas saya bermula sejam sebelum penerbangan. Kami akan menerima taklimat dan maklumat tentang setiap penerbangan yang bakal dilakukan.

    Sebelum penerbangan, kami akan menyemak pelan penerbangan berdasarkan keadaan cuaca, suhu, kelajuan angin dan berat pesawat semasa berlepas serta keperluan bahan api di samping memeriksa kelengkapan dan peralatan elektronik.

    Semasa penerbangan pula, kami akan membuat pemeriksaan rutin terhadap semua sistem yang beroperasi, menerima dan mengikut arahan daripada pengawal lalu lintas udara dari mula hingga akhir penerbangan.

    AZRI: Lebih kurang sama seperti yang dinyatakan oleh Fiq.

    Azri ingin melakukan terbaik buat penumpang

    Azri ingin melakukan terbaik buat penumpang

    Namun, penerbangan saya cuma mengambil masa satu hari dan kebiasaannya ada empat trip. Maksimum perjalan mengambil masa selama enam jam.

    Skop kerja yang paling mencabar bagi setiap juruterbang ialah ketika berlepas, pendakian, penurunan dan pendaratan yang mana memerlukan penumpuan penuh agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

    2. Kedua-dua anda sudah lama bekerja dan pastinya pernah bertugas pada bulan Ramadan. Cabarannya lebih besar atau sama sahaja pada hari-hari lain?

    FIQ: Ya, cabarannya sedikit lain. Lazimnya, pada bulan puasa, kita akan berhadapan dengan perubahan musim sesebuah negara itu. Contohnya, sekarang musim panas di bahagian utara, waktu siang akan menjadi lebih panjang dan kita perlu berpuasa lebih lama.

    Seperkara, stamina yang diperlukan pada bulan Ramadan juga perlu tinggi. Kita kena sentiasa bertenaga dan cergas.

    AZRI: Saya pula berhadapan dengan cabaran waktu berbuka puasa. Adakalanya, ketika masuk waktu, pada masa itulah penerbangan baru berlepas kemudian diikuti dengan pendakian, penurunan dan pendaratan. Situasi itu tidak mengizinkan saya untuk berbuka puasa pada waktu yang tepat.

    Azri (tengah) bersama ahli keluarganya

    Azri (tengah) bersama ahli keluarganya

    Selepas itu, saya hanya minum seteguk air dan meneruskan perjalanan. Saya kena terus fokus demi keselamatan anak kapal.

    3. Seawal perbualan, Fiq dan Azri mengatakan pernah ada pengalaman menarik berpuasa dan beraya di awan biru. Boleh kongsikan?

    FIQ: Ya, saya masih teringat. Ketika awal penglibatan saya di AirAsia, saya dikehendaki menyertai latihan di Perancis. Kursus itu mengambil masa selama sebulan.

    Saya berpuasa dan beraya di sana. Kami mengambil inisiatif meraikan Hari Raya dengan menyediakan juadah seperti rendang, nasi impit dan kuah kacang bagi menghangatkan sambutan Aidilfitri di perantauan.

    Saya juga pernah sampai di lapangan terbang pada pagi hari raya. Ketika orang sedang sembahyang raya dan melawat sahabat-handai, saya baru sahaja dalam perjalanan pulang ke rumah di Cyberjaya. Oh! Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.

    AZRI: Pernah suatu ketika dulu, saya dikehendaki bertugas di Johor pada hari raya kedua. Hari raya pertama saya berlalu begitu sahaja kerana pada waktu tengah hari, saya perlu menaiki kapal terbang ke Johor.

    Saya tinggal di hotel ketika berada di sana. Ya ALLAH, betapa sedihnya melihat orang lain berpakaian baju raya dan bergembira melawat sanak-saudara tetapi saya pula perlu bekerja.

    Hati saya begitu tersentuh berbanding jika kita berada di luar negara kerana orang asing tidak tahu dan tidak kisah dengan perayaan kita.

    Selain itu, saya juga pernah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pagi hari raya pertama, jam 4 pagi. Namun, saya bersyukur kerana masih sempat untuk sembahyang raya di darat. Bukan mudah bekerja di pagi raya.

    4. Anda di awan biru ketika lebaran, keluarga pula di kampung masing-masing. Apa reaksi mereka (keluarga)?

    FIQ: Latar belakang keluarga saya kebanyakannya terlibat dalam bidang penerbangan. Tidak dapat berkumpul termasuk beraya bersama merupakan satu perkara biasa buat kami.

    Boleh dikatakan amat mustahil sepanjang kehidupan kami untuk satu keluarga berkumpul bersama, pasti akan ada ahli keluarga yang tidak ada.

    Pada tahun ini, ada berita baik kerana saya dan isteri tidak bekerja. Alhamdulillah, dapatlah kami menyambut Syawal dengan lebih meriah.

    AZRI: Insan yang begitu mengharap saya ada bersama meraikan hari raya sudah semestinya ibu.

    Saya anak sulung daripada empat beradik, kebiasaannya kami akan beraya di Kedah. Sambutan Aidilfitri di sana memang meriah sangat.

    Namun, tugas saya merupakan amanah yang perlu dilangsaikan dan mereka sangat memahaminya. Saya bersyukur untuk itu semua. Bagi saya, ini satu-satunya pengorbanan murni seorang juruterbang boleh lakukan kepada masyarakat dengan membawa penumpang pulang berhari raya.

    Bukan kami sahaja perlu bekerja di hari lebaran malah kakitangan AirAsia lain seperti sekuriti, jurutera, pramugara perlu melupakan seketika detik-detik indah meraikan Aidilfitri.

    5. Barangkali suasana beraya di awan biru ada kelainan. Lazimnya apa yang dilakukan oleh seorang juruterbang bersama petugas-petugas yang lain?

    FIQ: Sebagai juruterbang, kami tidak boleh meraikan sambutan raya, kami perlu fokus kepada tugas kami.

    Keselamatan dan keselesaan penumpang keutamaan AirAsia. Namun, apabila kerja sudah habis, kami sesama petugas akan makan bersama. Selalunya, setiap daripada kami akan membawa bekalan makanan.

    Menariknya, dalam penerbangan AirAsia X Malaysia, ramai juruterbang terdiri dalam kalangan warganegara Jepun, Korea Selatan dan Indonesia. Mereka begitu teruja menikmati juadah raya seperti nasi impit dan rendang yang dibawa saya.

    Mereka akan bertanya itu dan ini. Pertanyaan-pertanyaan itulah yang melenyapkan rasa sedih saya.

    AZRI: Pada musim perayaan terutama dalam penerbangan domestik, AirAsia akan memasang lagu-lagu raya dan memberi sampul duit raya.

    Kepada mereka yang sudah tahu, AirAsia akan menyediakan menu istimewa pada setiap Hari Raya.

    Tahun ini misalnya, syarikat menyediakan Nasi Padang.

    Keluarga bahagia Fiq ketika menyambut Syawal

    Keluarga bahagia Fiq ketika menyambut Syawal

    Sebelum berpisah, kami akan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua penumpang sebelum mereka turun dari pesawat.

    Tiada apa yang lebih menggembirakan kami selain melihat wajah kegirangan penumpang yang ingin pulang berhari raya bersama keluarga mereka.

    6. Selepas beberapa beraya di awan biru, adakah anda berdua pernah membuat permintaan istimewa kepada keluarga masing-masing untuk beraya seolah-olah berada pada pagi raya pertama?

    FIQ: Sudah semestinya. Saya akan minta ibu menyediakan menu kegemaran saya iaitu lontong Jawa, rendang dan sambal sotong.

    Kami akan mencari hari terbaik untuk meraikan bersama-sama sanak-saudara di Shah Alam dan keluarga mertua di Rawang. Namun, jika saya terpaksa bertugas dalam tempoh yang lama, saya akan minta keluarga meraikan hari raya lebih awal.

    AZRI: Sudah pasti. Saya akan minta ibu saya yang berketurunan India masak capati dan kari. Kuah karinya sangat lazat. Bayangkan, orang kampung akan memenuhi ruang rumah saya semata-mata demi kari dan capati.

    Selain beraya dengan ahli keluarga, saya juga akan menziarahi sanak-saudara saya yang ramai di Kedah. Macam biasa, saya akan pastikan mereka menghidangkan menu asam pedas, ketupat daun palas, lontong dan rendang.

    ANEKDOT

    NAMA PENUH: Azri Sharif Badar Sharif/Azri

    UMUR: 33

    TARIKH LAHIR: 9 September 1986

    ASAL: Kuala Lumpur

    JAWATAN: Juruterbang Kanan AirAsia Malaysia

    DESTINASI PENERBANGAN: Bangkok, Thailand; Jakarta, Indonesia; Manila, Filipina; Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia dan Guangzhou, China

    STATUS: Bujang

    PENDIDIKAN: Basair Aviation College, Australia

    TAHUN BERTUGAS DI AirAsia: 2016

    HOBI: Melancong

    UCAPAN HARI RAYA: “Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada keluarga terdekat, rakan sekerja dan penumpang AirAsia di atas sokongan yang diberikan.

    “NAMA PENUH: Shafiq Haizam Mohd Kamil/Fiq.

    UMUR: 28

    TARIKH LAHIR: 23 Februari 1991

    ASAL: Bukit Jelutong, Shah Alam

    JAWATAN: Juruterbang Kanan AirAsia X Malaysia

    DESTINASI PENERBANGAN: Tianjin, China; Fukuoka, Japan; Jeju, Korea Selatan; Amritsar, India dan Melbourne, Australia.

    STATUS: Berkahwin

    PENDIDIKAN: Asia Pacific Flight Training

    TAHUN BERTUGAS DI AirAsia X: 10 Julai 2014 HOBI: Bersenam dan melancong

    UCAPAN HARI RAYA: “Saya ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada keluarga, rakan sekerja, sahabat-handai dan penumpang AirAsia X.



    Sumber

  • Sorghum alternatif pesakit alah gluten

    Sorghum alternatif pesakit alah gluten

    Tahukah Anda?

    SORGHUM atau tanaman sekoi (sorghum bicolor lnn moench) barangkali tidak begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun tahukah anda, ia ibarat ‘mutiara’ tanaman bagi penduduk di India dan sebahagian Afrika.

    SEKOI mengandungi sumber protein dan mikronutrien yang tinggi.

    SEKOI mengandungi sumber protein dan mikronutrien yang tinggi.

    Sekoi sebenarnya merupakan salah satu daripada tanaman bijirin utama dunia selepas gandum, padi, jagung dan barli. Ia sesuai ditanam di kawasan beriklim tropika, selain subtropika, sederhana dan separa kering.

    Bercakap mengenai sekoi dari aspek kesihatan, Felo Pengajar, Jabatan Sains Tanaman Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia, Dr Nazatul Shima Naharudin berkata, tanaman itu telah dijadikan sebagai alternatif buat pesakit yang alah dengan gluten.

    Ujar beliau, sekoi mempunyai nilai nutrisi yang tinggi selain kaya dengan kandungan lemak tidak tepu, protein, serat dan mineral seperti phosphorus, potasium, kalsium dan zat besi.

    Dr Nazatul Shima turut menemui kebaikan lain tanaman sekoi kepada kesihatan.

    Antaranya:

    1. Bebas gluten dan bernutrisi tinggi

    Bijirin dan tepung yang dikisar daripada sekoi mempunyai ciri bebas gluten menjadikannya sebagai alternatif kepada pesakit celiac disease yang merujuk kepada situasi kesukaran untuk mencerna makanan dan alergi terhadap produk bergluten.

    Di Amerika syarikat, seorang daripada 133 orang penghidap celiac disease tidak boleh makan produk bergluten. Bagi yang tidak alergi gluten, sekoi boleh juga dijadikan makanan kesihatan kerana nilai nutrisi yang tinggi.

    2. Merendahkan risiko kanser kolon

    Kandungan fitokimia dan khasiat bijirin sekoi mampu merendahkan risiko kanser kolon dan membantu kesihatan jantung dengan mengurangkan tahap kolesterol LDL. Kebaikannya sama seperti memakan oat.

    Sekoi boleh dijadikan bijirin menggantikan oat dengan harga lebih murah.

    SEKOI tumbuh subur di kawasan tropika dan subtropika seperti di kawasan benua Afrika.

    SEKOI tumbuh subur di kawasan tropika dan subtropika seperti di kawasan benua Afrika.

    3. Membantu sistem penghadaman

    Kandungan serat sebanyak 48 peratus yang ada pada sekoi membantu sistem penghadaman. Saluran pencernaan mudah untuk menghadam makanan. Ia juga mencegah masalah kekejangan, kembung, sembelit, gas berlebihan dalam perut dan cirit-birit.

    4. Mengurangkan paras glukosa

    Sekoi mempunyai enzim yang boleh menghalang penyerapan kanji oleh badan dan membantu mengawal insulin serta tahap glukosa.

    Bagi pesakit diabetes, pengambilan sekoi membantu mengawal peningkatan paras glukosa dan risiko gejala diabetes.

    5. Mencegah osteoporosis dan artritis

    Sumber magnesium yang ada pada sekoi meningkatkan penyerapan kalsium dan membantu pertumbuhan tisu tulang serta mempercepatkan penyembuhan tulang yang rosak atau mengalami penuaan.

    Sekoi berguna untuk mencegah penyakit osteoporosis dan artritis.

    ANEKDOT

    KENALI sekoi

    Tanaman yang tidak memerlukan air dan baja yang tinggi. Sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah.

    Kajian tentang sekoi di Malaysia masih baru bermula.

    Kandungan nutrisi sekoi terdiri daripada 12.4 gram (g) air, 329 kilokalori (kcal) tenaga, 10.62g protein, 3.46g lemak, 72.09g karbohidrat, 6.7g fiber, 2.53g gula , 13 miligram (mg) kalsium, 3.36mg iron , 28mg fosforus, 363mg potasium, 2mg sodium, 1.67mg zink dan 0.33mg thiamin.

    Mempunyai jaringan akar yang boleh menembus hingga 1.5 hingga 2.5 meter ke dalam tanah, membolehkan ia ditanam di kawasan kering.

    Sekoi tahan kemarau dan kemasinan.

    Seperti beras, ia boleh dikisar untuk dibuat tepung menggantikan gandum dalam pembikinan pasta, roti, kek dan bijirin sarapan.

    Membantu penghasilan bioenergi dan biofuel ekoran batang sekoi mempunyai kandungan gula yang tinggi. Sesuai dijadikan sebagai sumber tenaga efisien.

    Khasiat lain:

    Mengurangkan risiko anemia. Kandungan zat besinya meningkatkan perkembangan sel darah merah.

    Meningkatkan kestabilan tenaga dalam tubuh hasil kandungan vitamin B3.

    Mencegah penyakit alzheimer. Kandungan fosforus membantu mengekalkan tindak balas emosi, neuron, hormon, mencegah penurunan kognitif dan gangguan umur.

    Membantu fungsi kelenjar tiroid.

    Merangsang pertumbuhan sel.

    Meningkatkan pertumbuhan rambut.

    Mempercepatkan metabolisme.

    Indeks glisemik yang rendah sesuai untuk mereka mengekalkan keseimbangan gula darah.

    Sumber protein dan mikronutrien yang tinggi.

    Mencegah aterosklerosis dan strok.

    Profil

    DR Nazatul Shima

    DR Nazatul Shima

    Dr Nazatul Shima Naharudin merupakan Felo Pengajar, Jabatan Sains Tanaman Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor



    Sumber

  • Maka Bergembiralah didik kita bersikap optimis

    Maka Bergembiralah didik kita bersikap optimis

    HIDUP ini memang banyak ujian dan ranjau yang perlu direntas oleh setiap manusia.

    Andai kita gagal mengawal diri akan tercetuslah ledakan kemarahan yang tidak disangka-sangka.

    Percayalah, setiap apa yang berlaku pasti ada jalan penyelesaian dan sentiasalah mendidik diri bersikap lebih optimis dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini.

    Demikian antara intipati buku terbaharu pendakwah terkemuka, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani yang bertajuk Fal Yafrahu: Maka Bergembiralah, terbitan Karya Bestari yang dilancarkan baru-baru ini

    Menurut Ustaz Ahmad Dusuki, apabila berhadapan dengan tekanan dan ujian yang banyak, maka berzikirlah dan menyebut nama ALLAH SWT serta berdoalah kepada-NYA.

    Beliau turut menganjurkan doa yang boleh diamalkan iaitu: “Ya ALLAH, bantulah saya ya ALLAH dengan sentiasa menyebut nama-MU dan bersyukur di atas setiap apa yang Engkau kurniakan ke atas kami dan semoga biar sentiasa cantik amal ibadah yang kami lakukan ini.”

    “Semoga kita menjadi Mukmin yang gembira dalam hidup dan jangan kecewa kerana pada saat itu syaitan sebenarnya akan mendatangi kita dan merosakkan kita.

    “Hiduplah dalam keadaan penuh optimis dengan agama Islam,” katanya ketika ditemui pada majlis mini pelancaran buku berkenaan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    Buku tersebut boleh didapati di Karangkraf Mall atau kedai buku berhampiran pada harga RM25.

    Ia merupakan buku ketiga Ustaz Ahmad Dusuki yang diterbitkan oleh Karya Bestari.

    Sebelum ini, beliau pernah menulis buku bertajuk Mohonlah Redha Ilahi dan Nota Ajal Seorang Mukmin.



    Sumber

  • Penyusuan eksklusif Arif, Azzahra

    Penyusuan eksklusif Arif, Azzahra

    KEHADIRAN si comel Arif Jiwa Asyraf Khalid sememangnya dinantikan selebriti kelahiran Palembang, Indonesia, Tya Arifin.

    Usai mendirikan rumah tangga bersama suami, Asyraf Khalid pada 1 November 2015, Tya atau nama sebenarnya Nutria Wulandari memanjatkan doa semoga segera dikurniakan cahaya mata.

    Menurut wanita yang memiliki rambut hitam dan panjang mengurai itu, segalanya bermula selepas beliau mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur demi berada di samping suami tercinta.

    “Pada fasa awal perkahwinan saya menjalani kehidupan sebagai seorang isteri sepenuh masa dan memperlahankan karier seni seketika di tanah air (Indonesia).

    “Tambahan pula, pada tempoh berkenaan saya belum aktif mengusahakan bisnes jamu, Mutyara. Bertitik-tolak daripada itu saya terfikir alangkah indahnya hari-hari mendatang diserikan dengan tangis dan tawa bersama bersama anak,” tutur Tya ketika ditemui Femina di kediamannya di Cyberjaya baru-baru ini.

    Ujar beliau yang merupakan menantu kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, keterujaannya semakin membuak-buak apabila disahkan hamil dan selamat melahirkan cahaya pertama pada 31 Mac 2017.

    “Pada ketika itu, perasaan saya bercampur-baur. Bersyukur memiliki Arif, tetapi kaget kerana tidak tahu cara menguruskan hal penyusuan badan, mengenali ragam bayi dan perlu berpantang dalam tempoh yang sama.

    “Lebih menyedihkan, seminggu awal selepas bersalin air susu badan pula terlalu sedikit. Saya bimbang anak tidak kenyang dengan air susu sendiri. Namun begitu, saya enggan menyerah kalah lantas berusaha tip supaya perjalanan motherhood berjalan sempurna,” imbasnya yang dinobatkan sebagai Ikon Selebriti Penyusuan Susu Ibu 2019 oleh pihak Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur (WCH KL) pada bulan lalu.

    Nampaknya, komitmen Tya menggali ilmu khususnya berkaitan penyusuan badan membuahkan hasil. Jika sebelum ini, beliau bimbang kuantiti susu yang sedikit, namun kini sebaliknya.

    Baik untuk Arif, 3, mahupun Azzahra berusia empat bulan susu badan, Tya tidak pernah surut sehingga mampu memberikan susu badan secara eksklusif.

    Bagaimana wanita yang memiliki ketinggian setinggi 166 sentimeter itu berupaya memberikan penyusuan eksklusif selama dua tahun buat anaknya? Adakah rutin penyusuan badan sesuatu yang memenatkan dan membebankan?

    Kepada wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF, Tya berkongsi pengalamannya dalam melunaskan tanggungjawab sebaik sahaja bergelar ibu.

    1. Tahniah telah dinobatkan sebagai Ikon Selebriti Penyusuan Susu Ibu 2019. Kongsikan perasaan anda apabila dipilih menerima penghargaan tersebut daripada pihak WCH KL?

    TYA: Alhamdullilah….semestinya tanggal 16 Ogos lalu akan tersemat kemas dalam kamus hidup saya kerana menerima penghormatan seumpama ini.

    Saya tidak menyangka perkongsian ikhlas mengenai pengalaman penyusuan badan dan tip parenting (keibubapaan) bersama pengikut laman sosial Instagram peribadi, @tyaarifinnw telah menarik minat hospital.

    Pada awalnya, saya sekadar berkongsi tentang masalah asas yang dihadapi minggu pertama usai melahirkan Arif. Antaranya kuantiti susu badan yang sedikit dan sebab bayi menangis sama ada dia kelaparan ataupun perut masuk angin.

    Bagaimanapun, saya tidak meluahkan masalah semata-mata, sebaliknya disusuli dengan tip dan cara penyelesaian yang dipraktikkan secara konsisten.

    Hari demi hari, saya bersama followers (pengikut) terutamanya mereka yang pertama kali menjadi ibu kerap bertukar pandangan dan saling bersoal jawab. Lantas, saya mengambil keputusan mewujudkan Instagram, @journeywithtya.

    2. Rumuskan dengan lebih lanjut fungsi Instagram @journeywithtya?

    Akaun instagram tersebut adalah untuk memudahkan para ibu muda dan baharu khususnya memahami panduan penyusuan susu badan dan ilmu keibubapaan berdasarkan perjalanan peribadi saya.

    Selain doktor dan keluarga golongan ibu muda hari ini turut memerlukan pengetahuan dan sokongan daripada rakan sebaya yang sedang mengalami detik (penyusuan badan) sama.

    Rata-rata ibu muda yang menghantar komen atau DM (pesanan terus) kepada @jouneywithtya beranggapan proses berkenaan hanya memerlukan mereka memberikan susu badan kepada bayi sehingga kenyang.

    Walhal, sepanjang melaksanakan proses ini ia perlu disusuli ilmu dan teknik ideal supaya hasilnya menggembirakan ibu manakala anak kecil pula kenyang dengan baik.

    Penyusuan susu ibu akan menjadi mudah dan momen membahagiakan sekiranya kita berfikiran positif dan menggali ilmu pengetahuan sebelum fasa bersalin.

    Selepas melahirkan Arif, saya menjadi panik kerana tidak mengetahui pengurusan penyusuan susu badan termasuk kaedah mengepam susu yang betul. Pada masa sama, buntu memikirkan kuantiti susu badan sedikit.

    Justeru, dalam tempoh seminggu saya giat mencari ilmu menerusi laman sosial, bahan bacaan dan merujuk doktor. Kemudian, secara perlahan-lahan saya amalkan untuk Arif dan kini diteruskan kepada Azzahra.

    Bagi saya situasi kelam-kabut tidak akan berlaku sekiranya melakukan persediaan sebelum bersalin.

    Justeru, setiap detik yang ditempuhi saya catat dan berkongsi bersama wanita dalam @journeywithtya.

    3. Anda antara wanita yang memberikan susu badan secara eksklusif kepada anak-anak. Mengapa memilih berbuat demikian, sedangkan segelintir ibu bertindak memberikan susu formula meskipun anak mereka belum mencecah usia setahun?

    Seperti yang kita sedia maklum, susu ibu mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan dan tumbesaran bayi. Disebabkan itu para ibu disarankan memberi susu badan secara minimum sehingga bayi berusia enam bulan atau maksimum dua tahun.

    Bagaimanapun, saya tidak mahu menghakimi wanita yang cepat memberikan susu formula kerana kemungkinan mereka mempunyai kekangan peribadi sehingga terpaksa berbuat demikian.

    Namun begitu, nasihat saya selagi mempunyai susu badan baik sedikit mahupun banyak adalah lebih bagus memberikan kedua-duanya kepada bayi.

    Selain menguatkan antibodi bayi kelak, sesi menyusu badan secara terus membantu mengikat kasih sayang antara anak dan ibu.

    Pada waktu itu, ibu bukan sahaja dapat berehat seketika, bahkan berpeluang bersentuhan, membelai, memeluk dan menatap wajah si kecil.

    Jangan terburu-buru ketika menyusu badan. Biarkan setiap titis air susu tersebut dinikmati anak dengan baik dan inilah masa istimewa bayi ‘mengenali’ ibunya.

    4. Selain isteri, ibu dan pelakon anda juga bergelar usahawan jamu jenama Mutyara dan aktif berniaga di ekspo di dalam ataupun di negara jiran. Justeru, bagaimana anda menguruskan proses penyusuan badan ketika berada di gerai jualan khususnya?

    Ramai wanita bertanyakan soalan sama, tetapi seperti yang saya maklumkan kita perlu berfikiran positif dan bertenang. Jangan sesekali beranggapan bahawa memberikan susu badan secara terus atau mengepam susu tugas yang membebankan.

    Ironinya, sama ada di rumah, pejabat atau booth (gerai jualan) saya tetap mengamalkan rutin harian iaitu memberikan susu badan secara terus kepada anak dan mengepam setiap dua jam sekali.

    Namun begitu, aktiviti mengepam susu merupakan inisiatif masing-masing. Saya melaksanakannya mengikut formula demand (permintaan) dan supply (penghasilan).

    Lagipun mengepam susu badan di kawasan awam tidak menjadi masalah memandangkan masyarakat kini semakin terbuka dan memahami situasi para ibu sedang ‘bertugas’.

    Selain mencari ruang yang terlindung atau bilik rehat bayi golongan ibu juga boleh melakukannya di mana-mana, asalkan badan dilindungi lapisan napkin nursing.

    Pastikan sebelum keluar rumah anda menyarungkan busana dan pakaian dalam yang longgar bagi memudahkan proses memasang alatan mengepam.

    Paling utama, jangan lupa membawa beg yang lengkap dengan peralatan mengepam. Ini termasuklah, sarung plastik khas mengisi susu, pen dan pek ais supaya susu bertahan sebelum dipindahkan ke dalam peti sejuk beku.

    5. Anda menyatakan aktiviti mengepam susu dilakukan demi demand dan supply. Huraikan definisi formulasi berkenaan?

    Dalam proses menyusu badan bermula daripada Arif dan terbaharu Azzahra saya kekal mengamalkan formula demand dan supply.

    Ia merujuk pada semakin banyak permintaan susu badan maka semakin tinggi pembuatannya.

    Bagaimana? Caranya adalah menerusi kaedah menyusu badan secara terus dan mengepam secara berselang-seli selagi susu badan belum kering.

    Misalnya, wanita yang hanya melakukan direct breastfeeding maka jumlah susu akan keluar cukup-cukup untuk permintaan kaedah berkenaan.

    Namun begitu, apabila disusuli pula dengan proses mengepam maka hasilnya kuantiti susu badan ibu meningkat dua kali ganda kegunaan penyusuan secara terus dan pam.

    Selain itu, kita wajar mengosongkan payudara kerana otak akan bekerja untuk melakukan pengeluaran berdasarkan pemintaan.

    Saya bersyukur, berkat kesungguhan mempraktikkan formula ini air susu untuk anak-anak tidak pernah putus.

    Stok susu di rumah juga bertambah sehingga suami terpaksa membeli peti sejuk beku tambahan khas untuk penyimpanan pek susu badan.

    Sehubungan itu, saya juga tidak bimbang apabila terpaksa bertugas di luar daerah. Walaupun anak-anak tidak berpeluang minum susu badan secara terus, tetapi mereka tetap menikmati susu saya menggunakan botol.

    ANEKDOT

    Tip Tya Ariffin

    a) Payudara bengkak

    – Tekan buah dada bersama air suam selama dua hingga tiga minit sahaja.

    – Kemudian, urut lembut payudara bagi mmengurangkan kesakitan bengkak tersebut.

    – Sentiasa menyusukan bayi secara terus.

    – Perah susu badan menggunakan tangan.

    b) Cara banyakkan susu badan

    – Para ibu perlu sentiasa berfikiran positif berbanding tertekan kerana stres akan mempengaruhi produksi air susu.

    – Minum air putih sekurang-kurangnya tiga hingga lima liter sehari bagi mengelakkan dehidrasi yang boleh menjejaskan pengeluaran air susu.

    – Sentiasa melakukan rutin mengepam untuk mengosongkan payudara. Selepas kosong maka secara automatik ia akan mengeluarkan air susu yang lebih banyak.

    c) Taktik menceraikan susu badan daripada anak

    – Dua minggu sebelum itu berikan kata-kata positif kepada anak supaya minum menggunakan botol susu.

    – Orang sekeliling seperti suami, ibu mertua atau kakak perlu memberi sokongan terhadap keputusan tersebut.

    – Para ibu perlu tegas dan kuat dari segi mental dan emosi apabila anak-anak enggan menyusu menggunakan botol. Pujuk mereka dengan baik.

    Nama penuh: Nurtria Wulandari Arifin

    Nama pentas: Tya Arifin

    Umur: 24 tahun

    Asal: Palembang, Indonesia

    Adik-beradik: Anak ketiga daripada empat beradik

    Kerjaya: Penyanyi, pelakon, usahawan

    Hobi: Memasak dan menonton wayang

    Nama suami: Asyraf Khalid

    Tinggi: 166 cm

    Berat: 53 kg

    Anak: Arif Jiwa (3 tahun) dan Azzahra Jiwa (4 bulan)

    Warna kegemaran: Hitam dan nude

    Instagram: @tyaarifinnw

    : @journeywithtya

    Terima kasih

    Solekan:@ynsakinah

    Rambut: @norezzidris

    Busana: @syaifulbaharimrtw

    Tip penyusuan susu ibu

    Selebriti kelahiran Palembang, Indonesia, Tya Arifin pernah mengalami air susu badan yang sedikit ibarat titisan embun selepas melahirkan cahaya mata pertama, Arif Jiwa Asyraf. Bagaimanapun, beliau enggan menyerah kalah lalu mencari ilmu dan tip penyusuan badan terbaik. Kini hasilnya amat memberangsangkan sehingga beliau menerima anugerah daripada pihak Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur pada bulan lalu. Justeru apakah anugerah yang dinobatkan kepada @tyaarifinnw? dan ketahui momen beliau bersama ibu mentuanya iaitu penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin @ctdk. Ikuti perkongsian eksklusif Tya bersama wartawan Femina, Izyan Liyana Mohd Darif dan juruvideo, Shukri Mohamad di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini. Artikel penuh klik: https://www.sinarharian.com.my/article/49626/SISIPAN/Femina/Penyusuan-eksklusif-Arif-Azzahra Wartawan: Izyan Liyana Mohd Darif Penyunting video: Nurul Adriana Amir #FEMINA #tyaarifin

    Posted by Sinar Harian on Sunday, September 29, 2019



    Sumber

  • Tabung wakaf surah al-kahf

    Tabung wakaf surah al-kahf

    Alhamdulillah…

    Tabung Wakaf Surah Al-Kahf semakin bertambah hasil sumbangan sahabah-sahabah Al-Quran.

    Kita perlukan lagi RM5,355 untuk cukupkan RM25,000.00 bagi 5,000 naskhah Surah AlKahf!!!

    Jom sumbang utk Wakaf Surah Al-Kahf yang akan berikan kepada mereka yang menghadiri Malaysia#QuranHour di Masjid Putra, Putrajaya 30 Ogos ini.

    Daftar lokasi anda di http://bit.ly/MQH1440H

    Malaysia #QuranHour

    #MisiAlKahf2019

    #BacaFahamAmal

    #BangsaBerbudiDanPenyayang



    Sumber

  • Sedondon bapa, anak pagi raya

    Sedondon bapa, anak pagi raya

    ByRAA Exclusive menawarkan koleksi baju Melayu potongan moden slim fit dalam sembilan rona menawan

    KESUKARAN mencari persalinan baju Melayu selesa dan kemas untuk dua anak lelakinya, Khalish Rayhan, 9, dan Khaleel Raif, 4, telah mendorong Roshidi Abdul Akib mengeluarkan set pakaian tersebut di bawah jenama ByRAA Exclusive (ByRAA).

    Menurut Roshidi yang merupakan pengasas jenama berkenaan, inisiatif itu diambil selepas mendapati sebahagian besar koleksi baju Melayu si cilik yang ditawarkan di pasaran tidak menepati cita rasanya.

    “Jika diperhatikan baju Melayu kanak-kanak potongan moden dan menggunakan fabrik berkualiti amatlah terhad. Walhal, mereka (kanak-kanak) juga berhak menyarungkan pakaian bermutu dan selesa khususnya pada hari raya.

    “Bertitik tolak daripada situasi itu, saya mengambil keputusan melancarkan jenama ByRAA yang menampilkan koleksi baju Melayu kanak-kanak dan dewasa kerana menyedari trend golongan bapa gemar bergaya sedondon dengan anak-anak,” katanya kepada Oh! Lelaki baru-baru ini.

    Bicara Roshidi, himpunan baju Melayu ByRAA didatangkan dalam sembilan nuansa pilihan seperti biru lembut, biru gelap, ungu muda, hijau zamrud, hijau mint, hijau buah zaitun, biru diraja, hitam dan merah hati.

    Berasaskan kain kapas Itali yang diimport dari luar negara, material itu disifatkan bersesuaian dengan cuaca panas dan lembap di Malaysia.

    Sementara itu, teksturnya yang lembut memberikan impak mewah kepada setiap helaian baju Melayu ByRAA agar golongan Adam tampak bergaya pada pagi lebaran.

    Potongan slim fit“Menariknya, baju Melayu jenama ByRAA hanya menampilkan garisan leher cekak musang dan potongan moden slim fit susulan permintaan tinggi dalam kalangan jejaka moden yang mementingkan aspek penampilan meskipun pada musim perayaan.

    “Pada masa sama, rekaan (slim fit) itu membantu mencipta siluet langsing dan terletak kemas pada badan pemakai,” jelasnya.

    Mengulas lanjut keistimewaan baju Melayu ByRAA, selain segak dipadankan bersama kain samping dan songkok, ia juga boleh digayakan sebagai kurta kerana ukurannya yang sedikit labuh dan mempunyai poket pada bahagian dada.

    SELAIN baju Melayu, koleksi ByRAA juga boleh digayakan sebagai kurta kerana
ukurannya yang sedikit labuh dan mempunyai poket pada bahagian dada.

    SELAIN baju Melayu, koleksi ByRAA juga boleh digayakan sebagai kurta kerana
    ukurannya yang sedikit labuh dan mempunyai poket pada bahagian dada.

    ByRAA Exclusive

    Harga: RM219 (dewasa), RM129 (kanak-kanak)

    Saiz: XS hingga XXL (dewasa), enam hingga 12 tahun(kanak-kanak)

    Telefon: 010-654 7907 (WhatsApp)

    Instagram: @byraaexclusive

    Lokasi -Butik vendor Hashtagvendors, Bangi Sentral

    -Butik Mishaboutiqueofficial, Taman Tun Dr Ismail

    -Butik vendor Gondola31, Meru Ipoh, Perak



    Sumber

  • Ayam Brand terap hidangan sihat kepada kanak-kanak

    Ayam Brand terap hidangan sihat kepada kanak-kanak

    AMPANG – Ayam Brand meneruskan sumbangan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) menerusi Kempen Komuniti Penyayang Ayam Brand 2019, Sihatkan Malaysia, Mula Sekarang yang menerapkan penyediaan hidangan Pinggan Sihat Malaysia (suku-suku separuh) kepada golongan kanak-kanak.

    Pengerusi Ayam Brand, Datuk Mu’tamir Mohamed berkata, kempen itu akan memperkasakan kanak-kanak dari 10 negeri untuk mengenal pasti pilihan makanan yang lebih sihat seterusnya melengkapkan mereka dengan kemahiran menyediakan hidangan Pinggan Sihat Malaysia.

    Menurutnya, ia juga sebagai menyokong saranan Kementerian Kesihatan menggalakkan pembahagian plat kepada satu perempat protein, satu perempat karbohidrat kompleks dan separuh untuk buah-buahan dan sayur-sayuran.

    “Malaysia ialah antara negara tertinggi di Asia melibatkan obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Sebagai peneraju dalam industri makanan Malaysia selama lebih dari 100 tahun, Ayam Brand amat prihatin terhadap isu obesiti dan bersedia membantu bermula dengan kanak-kanak kerana mereka ialah yang paling mudah dididik.

    “Menerusi kempen itu, kami berharap dapat membantu mengurangkan obesiti kanak-kanak dengan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk memilih, membuat dan menyediakan makanan yang lebih berkhasiat,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Kempen Komuniti Penyayang Ayam Brand 2019, Sihatkan Malaysia, Mula Sekarang di KPJ Ampang Puteri di sini kelmarin.

    Mu'tamir (berdiri, lapan dari kanan) bersama peserta Pertandingan Ayam Brand Suku-Suku Separuh di Hospital KPJ Ampang, Kuala Lumpur kelmarin.

    Mu’tamir (berdiri, lapan dari kanan) bersama peserta Pertandingan Ayam Brand Suku-Suku Separuh di Hospital KPJ Ampang, Kuala Lumpur kelmarin.

    Mu’tamir berkata, kempen CSR yang dijalankan Ayam Brand kini berusia 12 tahun dan telah menyumbang sebanyak 1.76 juta makanan sihat untuk tujuan kebajikan.

    Katanya, melalui CSR yang dijalankan itu lebih 20,000 orang daripada 482 rumah amal dan NGO telah menerima manfaat.

    “Kempen tahun ini membiayai dan mendidik 42 rumah amal, mendidik 25 sekolah di seluruh negara, selama tiga bulan. Seramai 1,800 penerima dengan jumlah 324,000 hidangan Ayam Brand akan menerima manfaat,” katanya.

    Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan kepada enam rumah amal yang menerima bekalan Ayam Brand selama dua bulan yang bersamaan dengan 46,260 makanan sihat untuk 257 penghuni.

    Pada masa sama, seramai 40 kanak-kanak sekolah rendah Kuala Lumpur dan Selangor menyertai kempen berkenaan yang dimulakan dengan pengenalan interaktif kepada konsep #sukusukuseparuh oleh Pakar Pemakanan Sihat, KPJ Ampang Puteri, Nur Hayati Azmi.

    Kemudian, semua peserta yang dibahagikan kepada sepuluh kumpulan itu perlu menyediakan makanan berdasarkan prinsip 3S dalam masa 30 minit dengan bantuan minima dari orang dewasa, menggunakan resipi yang telah diselidiki oleh pakar pemakanan.



    Sumber

  • Agnesia legakan kerengsaan kulit

    Agnesia legakan kerengsaan kulit

    SETELAH berjaya memantapkan kedudukannya selama lebih 80 tahun, bedak Agnesia Hygiene Care kini menampilkan wajah terkini di bawah rangkaian produk Beau Carenya dengan dua haruman menyegarkan iaitu lavender dan ros.

    AGNESIA Hygiene Care Lavender.

    AGNESIA Hygiene Care Lavender.

    Produk terkini itu didatangkan dalam bekas 100 gram dan dirumus secara eksklusif bagi menghasilkan haruman yang memikat lagi menyenangkan.

    Terbukti berupaya membasmi 99.9 peratus bakteria dan tidak mengandungi asbestos, bedak Agnesia Hygiene Care sangat terkenal kerana rumusannya yang melegakan dan menenangkan.

    Penolong Pengurus Besar Apex Pharma, Ang Girl Bee berkata, varian terbaharu itu juga mengandungi bahan pelindung dan antibakteria dengan 25 peratus zink oksida dan 0.5 peratus chlorohexidine.

    Girl Bee berkata, bedak pelindung yang menjadi pilihan ramai itu membantu menyerap lembapan berlebihan pada kulit. Ia juga berkesan melegakan kegatalan kulit.

    “Kita sememangnya beruntung kerana dapat menikmati sinaran matahari dan cuaca tropika sepanjang tahun. Namun, kerana kita berada dekat dengan air, cuaca sentiasa lembap sekali gus membuatkan kita mudah berpeluh.

    AGNESIA Hygiene Care Rose.

    AGNESIA Hygiene Care Rose.

    “Oleh yang demikian, bedak Agnesia Hygiene Care merupakan pilihan terbaik kerana ia berupaya memberikan keselesaan dan kekeringan kepada para pengguna agar mereka sentiasa segar dan lega daripada kegatalan kulit,” katanya sambil menambah bedak Agnesia telah memainkan peranan penting dalam melindungi keluarga daripada kegatalan kulit dan memberikan kebebasan kepada mereka untuk melakukan aktiviti harian bersama-sama orang yang tersayang.

    Bedak tersebut disahkan halal dan elok digunakan setiap kali selepas mandi bagi memberikan kesegaran sepanjang hari.

    AGNESIA Hygiene Care Classic.

    AGNESIA Hygiene Care Classic.

    Rangkaian bedak Agnesia boleh didapati di semua farmasi utama, Aeon Wellness, pasar raya besar seperti Mydin dan 99 Speedmart.



    Sumber

  • Terlalu banyak portal cari jodoh tapi bab mencari jodoh, ramai nak tahu…

    Terlalu banyak portal cari jodoh tapi bab mencari jodoh, ramai nak tahu…

    DENGAN kecanggihan teknologi pada hari ini, bukan sahaja informasi yang boleh diperoleh, malah jodoh juga boleh dicari di internet.

    Masakan tidak, pada hari ini, ada banyak portal mencari jodoh yang membantu masyarakat untuk memilih pasangan masing-masing seterusnya menghalalkan hubungan mereka dengan ikatan perkahwinan.

    Apakah hukum mencari jodoh dalam laman sesawang sebegini? Bagaimana pula jika kita memuat naik gambar yang barangkali bersifat tabarruj di portal berkenaan?

    Sebenarnya, tiada masalah jika kita ingin menggunakan laman web mencari jodoh berkenaan.

    Ini kerana penggunaan portal tersebut pada asalnya adalah diharuskan berdasarkan kaedah fekah iaitu “pada asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil ke atas pengharamannya”.

    Tujuan pembinaan laman web berkenaan diharuskan sekiranya matlamatnya adalah untuk kebaikan.

    Namun, ia menjadi haram jika bertujuan untuk kemaksiatan.

    Begitu juga dengan tujuan dan tatacara penggunaannya yang berdasarkan hukum yang hendak dicapai.

    Ia bermaksud, setiap perkara yang membawa kepada hukum haram, maka matlamat yang hendak dicapai itu juga haram hukumnya.

    Bagaimana pula hukumnya jika gambar tabarruj dimuat naik dalam portal berkenaan?

    Hukumnya adalah haram jika gambar berkenaan bersifat tabarruj dan menonjolkan perhiasan yang berlebihan hingga boleh menimbulkan syahwat dan fitnah kepada orang yang melihatnya.

    Sebaiknya, pihak yang menguruskan laman sesawang berkenaan perlulah menetapkan garis panduan yang sepatutnya antaranya gambar menutup aurat, menjaga privasi pengguna dan menjaga batas pergaulan yang berlainan jantina serta selainnya.

    Apapun gunakan kemudahan teknologi dengan sebaiknya dan jangan sampai ia ‘memakan’ diri kita.

    Sesungguhnya kemudahan itu dicipta untuk menyenangkan kerja kita, bukan untuk menghakis pahala kita.

    (Sumber: Alkafi #1369: Apakah Hukum Menggunakan Page Mencari Jodoh untuk Muat Naik Gambar di dalamnya, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)



    Sumber